Pengikut yang menemani..

Perjalanan Hidup Kita Sendiri



Ajari aku menggunakan pena
akanku tulis gemercik air
udara dingin
kabut senja
sampai daun gugur

Perjalanan hidup kita sendiri..

lakukan perjalanan hidup kita sendiri
kita tidak harus menunggu orang lain untuk melakukan perjalanan
tidak harus lakukannya bersama-sama..

kita..kita bertanggungjawab atas hidup kita sendiri
kita hendak melangkah atau berhenti
hendak terhenti lama pada suatu tempat
hendak berlari kencang
kitalah yang menentukan

berhentilah menyalahkan ketiadaan teman dan keadaan
ini hidupmu sendiri

jangan sesekali menahan orang lain untuk maju
jangan membuat mereka berhenti hanya untuk menunggumu

jangan memaksa orang lain berlari
sementara langkah kakinya tak mampu mengikuti

lakukan perjalanan hidup kita meski sendiri
kita tidak perlu menunggu lama-lama orang datang
dan mengajak kita pergi

kita tidak perlu membuang waktu
 untuk seseorang yang belum tentu mahu kita ajak jalan bersama

kita bertanggungjawab atas hidup kita sendiri
setiap langkah kaki kecil kita memperdekat tujuan
tempat di mana orang-orang yang sebenarnya bertemu
tempat di mana setiap pertanyaan kecil kita sepanjang perjalanan ditemukan

diperjalanan kita akan tahu
siapa orang-orang yang memliki tujuan yang sama

diperjalanan..kita tidak perlu saling menunggu
sebab langkah kaki kita sama
..kita berjalan beriringan..

~ by suaracerita@drfina ~



Perasaan Kita




Ajari aku menggunakan pena
akanku tulis gemercik air
udara dingin
kabut senja
sampai daun gugur

Bagaimana perasaan kita 
saat kita tahu
bahawa orang yang kita kira tidak peduli pada kita
adalah orang yang paling sering menyebut nama kita di dalam doanya?

Bagaimana perasaan kita
saat kita tahu 
orang yang menulis begitu dalam dan indahnya
dan..kita kira untuk orang lain
..ternyata untuk kita

Bagaimana perasaan kita
saat kita tahu
orang yang sering bersikap dingin kepada kita
adalah orang yang paling dalam memendam perasaannya kepada kita

Bagaimana perasaan kita 
saat kita tahu
bahawa orang yang sangat kita benci 
adalah orang yang paling sabar menghadapi kita?

Bagaimana perasaan kita
saat kita tahu
bahawa orang yang menyuruh kita pergi
adalah orang yang paling takut kehilangan kita

Bagaimana perasaan kita
saat kita tahu
orang yang kita kira meninggalkan kita
adalah orang yang paaling ingin melihat kita bahagia

Bagaimana perasaan kita
saat kita tahu...


~ by suaracerita@drfina ~

SURAT TERBUKA KEPADA YANG BERJIHAD


DATUK SERI TUAN GURU ABDUL HADI AWANG | .



PERKATAAN jihad, menjadi sebutan di kalangan umum umat Islam sejak zaman berzaman, walau pun ramai yang  tidak memahaminya secara hukum feqah. Kini menjadi lumrah disebarkan oleh media dan menjadi sebutan juga di kalangan bukan Islam, lebih menjadi sasaran media apabila ada kalangan yang mengisytiharkan jihad berperang menentang kerajaan yang ditolak dan mengajak seluruh dunia menyertainya.

Jihad adalah sebahagian daripada ajaran Islam yang wajib diimani dan dihayati oleh penganut Islam dan sepatutnya difahami dengan betul oleh semua pihak mengikut tasawwurnya, supaya tidak mencalarkan ajaran Islam yang menjadi rahmat kepada seluruh alam.

Perlu diketahui bahawa setiap ajaran Islam itu ada feqahnya, bukan hanya perkara ibadat sahaja seperti solat, puasa, haji dan zakat. Maka jihad pun ada hukum feqahnya yang tersendiri.

Feqah bererti kefahaman yang betul, bermaksud diketahui secara ilmu yang sahih dan dilaksanakan dengan istiqamah dan faham terhadap setiap ajaran itu secara menyeluruh dan mendalam. Ianya meliputi cara amalan, syarat, rukun, adab, masa  dan matlamatnya yang dinyatakan oleh sumber utama ajaran islam, iaitu al-Quran, serta dihuraikan pelaksanaannya yang betul oleh Rasulullah S.A.W. dan para ulama yang mendalaminya  di sepanjang zaman dengan cara ilmu yang betul melalui bahasa al-Quran, di mana ada perkataannya yang tidak boleh diterjemah dalam bahasa lain dengan satu perkataan sahaja.

Seperti juga urusan ajaran Islam yang lain, hukum jihad itu ada di dalamnya perkara-perkara dasar yang tetap dan teguh, ada pula yang berkait dengan perkembangan kehidupan masyarakat yang berbeza dan berubah yang  semuanya berada dalam ilmu Allah dan kebijaksanaanya yang penuh rahmat dan adil.

Perkataan Jihad daripada  bahasa Arab, perkataan asalnya,  “al-Juhdu” dan “al-Jahdu”, masdar atau nama terbitan daripada perkataan “Jahada”. Al-Jahdu berarti masyaqqah, yakni kesukaran atau payah. Al-Juhdu pula bererti “Thoqah”, yakni tenaga dan kemampuan kekuatan roh dan jasad, harta dan lain-lain daripada segala nikmat yang ada pada diri. Maka ditambah pula dengan makna yang lebih kuat, dipanjangkan huruf jim, menjadi “jaahada” dan melahirkan nama terbitan “jihad” atau “mujahadah”, bermaksud menggemblengkan segala kemampuan daripada nikmat tenaga, diri dan harta dan lain-lain, serta menghadapi segala cabaran, kesulitan, kepayahan dan segala penderitaan dengan sepenuh kesungguhan.

Adapun Jihad mengikut istilah syarak (ajaran Islam) ialah melakukan amalan tersebut di atas bagi menegakkan ajaran Islam yang membawa rahmat dan adil terhadap semua, kerana Allah dengan iman dan ikhlas, sama ada dalam diri, keluarga, masyarakat dan negara. Jihad ini dilaksanakan sehingga membuktikan Islam sebenarnya adalah al-Din yang terbaik daripada segala ajaran yang lain, sama ada agama atau segala ideologi, teori dan sebagainya. Temanya ialah firman Allah:

“Dialah (Allah) Tuhan yang telah mengutuskan Rasulnya (Muhammad S.A.W), dengan petunjuk dan Din (agama dan cara hidup) yang sebenarnya , supaya menzahirkannya (dengan kemenangan) mengatasi segala ajaran yang lain walau pun dibenci oleh orang-orang musyrikin)”  (Surah Al Sof: 9-10)

Seterusnya dihuraikan oleh ayat-ayat al-Quran dalam surah yang banyak, melalui hukum syariat dan kisah para rasul dan umat terdahulu, serta pelaksanaan oleh Rasulullah S.A.W. yang mendapat bimbingan wahyu dan tarbiyah secara langsung daripada Allah, untuk menjadi ikutan seluruh umat sehingga hari kiamat.

Al-Quran dan hadis menghuraikan segala pendekatan amalan jihad, merangkumi damai dan berperang. Maka jihad itu tidak hanya berperang semata-mata, seperti mana tafsiran para orientalis musuh Islam dan mereka yang diheret oleh tafsiran yang salah ini, sehingga menjadikan perkataan jihad tidak lengkap kalau diterjemahkan dengan peperangan apatah lagi tersasar jauh kalau diterjemahkan dengan perkataan “Holy War”. Peperangan hanya salah satu daripada lapangan jihad dan perdamaian pula menjadi lapangannya yang lebih luas.

Allah menyebut kisah semua para Rasul a.s. yang memulakan pendekatan jihad secara aman dan damai terlebih dahulu, menyampaikan mesej dengan hujah yang sepatutnya diterima oleh akal yang baik, walaupun memakan masa yang panjang, untuk memberi hujah dan tempoh yang seluas-luasnya supaya menusia menerima Islam.

Para rasul dan pengikutnya yang beriman diperintah bersabar yang menjadi rukun jihad. Hukuman secara keras, sama ada peperangan atau bencana secara langsung daripada Allah, dilakukan setelah batas kesabaran sampai kemuncaknya dan dirasakan segala kezaliman dan penipuan ajaran yang sesat oleh akal yang sempurna terus berlaku. Semua kisah tersebut bukan sekadar cerita, bahkan wajib menjadi petunjuk kepada Rasulullah S.A.W. dan umatnya sehingga hari kiamat.

Rasulullah S.A.W. menunjukkan pendekatan secara amali (praktikal). Baginda berusaha supaya manusia menerima Islam seramai mungkin tanpa paksaan, kerana paksaan itu tidak membawa Islam yang sebenarnya beriman, budiman dan beramal soleh. Atau memberi peluang bebas beragama dan boleh ditunjukkan apa dia Islam tanpa gangguan. Maka tentangan secara jihad juga dilakukan terhadap gangguan berdakwah mengikut kadarnya, walau pun berperang, tetapi wajib dengan syarat dan adab mengikut batas hukum Islam bagi mencegah kezaliman.

Al-Quran dan hadis juga menunjukkan betapa bersabar dengan teguran berani dan membina, menghadapi kerajaan yang zalim ketika berada dalam satu masyarakat bersama, adalah jihad akbar dengan hadis yang sahih. Menunjukkan bahawa pendekatan jihad menghadapi kemungkaran dalaman masyarakat berbeza dengan menghadapi penceroboh yang menyerang.

Kita wajib mengambil iktibar secara perbandingan, mengapa pendekatan Rasulullah S.A.W. dan generasi awal umat Islam yang berdakwah berjaya  menarik sehingga satu bangsa dan kaum semuanya menganut Islam dalam masa yang cepat. Mengapa kita di zaman kini sangat payah untuk menarik seorang sahaja supaya masuk Islam. Mereka yang masuk Islam di masa damai di zaman awal pula lebih besar jumlahnya.

Perbandingan juga perlu difahami, mengapa berperang jihad Rasulullah S.A.W. dan generasi awal berjaya menjatuhkan kuasa besar dunia Parsi dan Rom, walau pun bala tentera Islam terlalu kecil jumlahnya dan musuh pula berlipat ganda jumlahnya dengan senjata yang berlipat ganda kecanggihannya. Tentera Islam disambut oleh penduduk menjadi penyelamat daripada kezaliman, bukannya sebagai penjajah. Selepasnya rakyat menerima agama Islam tanpa paksaan, sehingga masih ada penganut bukan Islam, gereja, biara dan kuil lama sehingga zaman kini di tengah masyarakat Islam.

Di zaman Khalifah Umar bin Al Khattab, apabila Maharaja Parsi (Kisra Yazdajur) yang berundur di perbatasan timur Parsi menulis surat kepada Maharaja China meminta bantuan bagi menyelamatkan takhtanya dan memberi amaran bahawa China juga berdepan dengan bahaya Islam. Maharaja China yang terlebih dahulu bertanyakan utusan Parsi: “Sifat dan cara orang Islam setelah menawan Parsi”. Apabila disebut segala-galanya, Maharaja China membalas bahawa kemaraan Islam dan penganutnya yang  begitu sifatnya tidak boleh dihalang kerana rakyat menerimanya, lalu China mengadakan hubungan damai dengan semua kerajaan Islam dalam sejarahnya.

Bandingkan mengapa amalan jihad secara damai dan perang di zaman awal menjadikan Islam digeruni kerana rahmat dan adilnya, bahkan kedatangan bala tentera bersenjata disambut rakyat menjadi penyelamat bukannya penjajah. Adapun jihad terkini yang diisytiharkan oleh kalangan yang betapa tinggi semangat jihadnya digambarkan dengan wajah yang buruk terhadap Islam oleh kawan dan lebih lagi lawan. Adakah kerana semangat tanpa feqah yang boleh ditembusi oleh bisikan syaitan yang merosakkan amal dan orang yang beramal. Kalau syaitan boleh masuk ke dalam hati dan saf mereka yang sedang solat berjamaah, maka syaitan lebih mudah masuk ke dalam saf mareka yang berjihad tanpa feqahnya.

Contoh yang nyata kepada wajah umat Islam terkini ialah apabila mereka melontar jumrah di musim haji. Umat Islam dahulu melontar mengikut sunnah dengan feqah hajinya, menggunakan batu sebesar hujung jari dengan semangat  melontar syaitan. Kini ada jamaah haji yang melontar kawan sendiri dengan batu besar dan kasut kerana hajinya tidak ada feqah. Maka kalau berjihad tanpa mendalami feqahnya menerima padah amaran Rasulullah S.A.W. yang membunuh dan dibunuh kedua-duanya masuk neraka, bukannya mati syahid.

Percayalah bahawa jihad tetap wajib sehingga hari kiamat, berilmu adalah wajib disertakan dengan feqahnya  bagi mensahihkan amal yang wajib. Benarlah bahawa syaitan lebih mudah menggoda seratus orang lebai yang jahil daripada seorang yang berilmu. Paling bodoh ialah orang merasakan dirinya sudah cukup berilmu segala-galanya.



PRESIDEN PAS  
14 Julai 2014

Disebalik Secebis Kain..


Terlalu banyak yang mahu dibicarakan jika menyentuh tentang wanita dan aurat. Bermula persoalan asas, batas aurat yang ditentukan syariat sehinggalah mencakupi perkara berbangkit yang timbul.          
Bukan sekadar pakaian, pembawaan diri, pergaulan dan batasannya, malahan gambar-gambar yang tersebar di ruang siber juga harus diambil kira oleh seseorang Muslimah dalam menentukan tahap kesempurnaan penutupan aurat dan hijabnya. Semua memberi gambaran tentang aurat dan hijab yang sewajarnya diambil berat oleh setiap wanita muslim.
Walaubagaimanapun, terdapat satu lagi persolan berkait penutupan aurat yang tidak kurang pentingnya untuk diketengahkan iaitu hukum pemakaian purdah atau niqab.


Wajib dan Tidak

            Baik ulama' silam mahupun kontemporari, persoalan ini tidak pernah sunyi dibincangkan demi kemaslahatan wanita Islam dan ummah secara umumnya. Secara ringkasnya, hukum pemakaian purdah merupakan masalah yang diperselisihkan hukumnya yang diiktiraf.
            Ada ulama' yang mewajibkannya dengan menganggap wajah wanita adalah aurat, manakala jumhur fuqaha' pula menganggap sebaliknya. Akan tetapi, mereka bersepakat menyatakan seseorang Muslimah itu wajib menutup wajahnya apabila keindahan paras rupanya boleh menyebabkan berlakunya fitnah dan keburukan, di samping sebagai langkah menutup pintu kerosakan (sad al-zarai' ).
            Antara barisan ulama' kontemporari yang tegas menyatakan rupa paras wanita adalah aurat ialah Sheikh Ibn Baz rhm. dalam banyak fatwanya. Dr Sa'id Ramadhan Al-Buthi dalam Ila Kul Fatat Tu'min bi Allah, Abu Al-Ala' Al-Mawdudi dalam Al-Hijab. Sementara ulama' yang menyatakan wajah wanita bukan aurat ialah majoriti ulama semasa seperti Dr. Yusuf Al-Qaradawi dalam bukunya al-Niqab li al-Mar'ah al-Muslimah bayna Al-Qawl bi Bid'iyatih wa al-Qawl bi Wujubih, Sheikh Taqiyuddin al-Nabhani dalam al-Nizam al-Ijtima'i fi al-islam dan Sheikh Nasiruddin al-Albani dalam Jilbab al-Mar'ah al-Muslimah fi al-Kitab wa as-Sunnah.


Berbeza Pandangan

            Daripada penjelasan ringkas hukum purdah di atas, seseorang Muslimah boleh berpegang pada pandangan yang mewajibkan pemakaian niqab atau tidak. Perlu diingat, ulama telah membahaskan secara panjang lebar tentang wanita, aurat dan hukum yang bersangkut paut dengannya termasuk hukum berpurdah melalui penilaian dan perbahasan dalil-dalil daripada al-Quran dan sunnah bagi tujuan dakwah dan menjauhi keburukan atas nama Islam dan iman.
            Walau bagaimanapun, tidak perlu bagi mana-mana wanita yang berpegang kepada salah satu daripanya memandang hina atau buruk kepada golongan yang berbeza pandangan daripada mereka kerana kedua-duanya masih berada dalam daerah pahala. 

Dalam hal ini, Sheikh Nasiruddin al-Albani rhm. menyatakan :

            " Dapat diambil kesimpulan bahawa permasalahan menutup wajah bagi seorang wanita dengan purdah (niqab) atau yang seumpamanya seperti yang dikenakan oleh sebahagian wanita zaman ini yang bersungguh-sungguh menjaga dirinya adalah suatu perkara yang terdapat dalam syariat dan termasuk amalan atau perbuatan yang terpuji walaupun ia bukanlah satu hukum yang diwajibkan (atas mereka). Kepada mereka yang mengenakannya (menutup wajah) beerti dia telah melakukan kebaikan dan mereka yang yang tidak melakukannya pula tidaklah berdosa. " ( Al-Albani, Jilbab Al-Mar'ah al-Muslimah fi al-Kitab wa al-Sunnah hlm. 128 ).


Kefahaman dan Taqwa

            Kini kita terlalu jauh dari tempoh kenabian dan terlalu lama terpisah dari zaman salafussoleh yang amat menitikberatkan sifat warak dan berjaga-jaga dalam setiap tindakan, sehingga terlalu banyak ajaran dan aturan Islam yang dipandang lekeh. Realiti kini menunjukkan wanita bebas berada di luar rumah tanpa batas, hilir mudik berada di hadapan lelaki ajnabi atau bersama-sama lelaki bukan mahram tanpa keperluan yang syarii. Ditambah lagi, mereka keluar dari rumah dengan mengenakan busana yang kurang sempurna, memperlihatkan perhiasan dan mengenakan haruman di badan.
            Justeru, perkara yang paling utama pada pandangan saya, baik berpurdah atau tidak kedua-duanya perlu memiliki kefahaman yang didasari ketaqwaan kepada Allah s.w.t tentang suruhan menutup aurat dan berhijab bagi wanita ketika berada di luar rumah sebagai suatu konsekuensi iman yang ada di dada mereka.
            Muslimah yang benar-benar faham tentang arahan ini pasti menyedari semua itu adalah hijab (tabir pelindung) yang bertindak umpama benteng dan diniding yang menyelamatkan mereka dari daripada pandangan nakal dan gangguan lelaki fasiq yang tidak berakhlak.
            Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya : " Wanita itu aurat. Apabila dia keluar dari rumah, syaitan terus memandangnya (untuk menghiasinya pada pandangan lelaki sehingga terjadilah fitnah). " ( Riwayat at-Tarmizi )
            Ramai umat Islam pada hari ini terlepas pandang akan hadis Nabi s.a.w di atas. Jika ada yang mengetahuinya, tidak ramai yang dapat menerima dengan hati terbuka dan bersuluh iman kerana inti patinya yang tidak selari dengan hawa nafsu mereka. Bahkan mereka mendakwa ia hanya merendah-rendahkan kaum wanita, tidak lagi relevan dengan perkembangan zaman.
            Sama ada Muslimah tersebut mengenakan purdah atau tidak, berada di luar rumah, alam nyata atau alam maya, mereka perlu diawasi dan dibatasi secukupnya. Yang perlu diimplentasi ialah roh penutupan wajah itu iaitu merendahkan pandangan daripada dipandang atau memandang secara tidak wajar.


Lazimi Rumahmu

            Allah s.w.t memerintahkan wanita duduk di rumah jika tiada sebarang urusan yang memerlukan mereka keluar seperti menuntut ilmu, bekerja menambah ekonomi keluarga, mendapatkan rawatan atau nasihat perundingan dan lain-lain yang diizinkan agama, dengan manfaat agar nilai dan harga diri wanita sebagai perhiasan dunia yang indah dapat terus dipelihara.

            Allah s.w.t berfirman, maksudnya : 

            " Dan hendaklah kamu berada di rumahmu dan janganlah kamu berhias dan bertingkah laku seperti orang Jahiliah yang terdahulu. " ( Surah al-Ahzab 33 : 33 ).

            Walaupun ayat ini ditujukan kepada isteri Nabi s.a.w, namun wanita selain mereka perlu mentadabbur ayat ini dan mengambil manfaat daripadanya. Amat wajar difahami ayat ini bukan untuk membataskan gerak-geri seorang wanita atau mengurangi peranannya dalam masyarakat. Hakikatnya, ayat ini menjelaskan tentang cara seorang wanita tatkala dia keluar dari sempadan rumahnya agar tetap selari mengikut ajaran Islam.
            Sayangnya, ramai yang telah terlupa tentang perkara ini dan "membuka" diri bukan sekadar dengan menjadi pengunjung tetap pusat beli belah tanpa tujuan membeli dan berlegar-legar, bahkan mereka menggunakan hujung-hujung jari sahaja untuk memperagakan wajah dan rupa.


Buka Diri

Malangnya, fenomena ini tidak terkecuali kepada Muslimah yang tidak menutup wajah semata-mata, tetapi turut menjangkaui Muslimah yang memakai niqab dan purdah.
Pengalaman saya sendiri tatkala menemukan foto-foto Muslimah berpurdah yang bergambar dengan solekan dibahagian mata dan dilirikkan pula mata itu dengan gaya yang tidak sesuai dengan akhlak seorang Muslimah solehah yang benar-benar mahu menutup pintu fitnah daripada menerjah masuk ke dalam dirinya atau orang yang melihatnya. Di bawah gambar-gambar tersebut, terdapat banyak pujian daripada teman-teman lelaki dan wanita kerana kecantikan matanya yang satu-satunya dapat mereka teliti dan perhati.
Benar, mengenakan solekan di mata iaitu dengan memakai celak termasuk dalam perbahasan perhiasan yang biasa nampak nampak darinya sebagaimana pendapat pendapat Ibn Abbas, Anas bin Malik dan Qatadah.
Justeru, harus mengenakan celak mata baik bagi lelaki dan wanita sebagaimana yang dinyatakan oleh Dr.Abd Karim Zaidan dalam Al-Mufassal fi ahkam al-Mar'ah wa al-Bayt al-Muslim fi al-Syariah al-Islamiyyah.
Namun, mengenakan celak dan solekan yang tebal agar lebih menyerlah kecantikan mata dan menambahkan keindahan pesonanya, sudah tentu tidak termasuk dalam keharusan ini kerana ia sudah dikira tabarruj ( berhias ) yang ditegah kerana mampu menarik perhatian orang yang melihat dan melahirkan perasaan yang tidak baik terutama kepada kaum lelaki.
Begitu juga kepada adik-adik remaja yang berpurdah di luar tetapi membiarkan gambar mereka dengan wajah tidak bertutup disebarkan dalam laman sosial dan blog sehingga boleh ditatap oleh lelaki berkali-kali oleh lelaki.
Sungguhpun tidak haram membuka purdah, namun tindakan ini tidak selari dengan objektif mereka berpurdah ketika berada di khalayak ramai dan konsep hijab itu sendiri, apatah lagi apabila gambar yang dipamerkan itu juga memperlihatkan aksi-aksi melampaui batasan yang sepatutnya. Jika sebaliknya, ia dibolehkan dengan harapan dan izin-Nya ia dapat menyedarkan Muslimah lain yang menatap untuk mencontohi tindakan mereka berpurdah dan melindungi kecantikan wajah kerana Allah s.w.t.


Disebalik Secebis Kain Itu

            Muslimahku, kita melindungi aurat dan mengenakan hijab yang sempurna bukan kerana semakin ramai wanita melakukannya, terikut-ikut trend semasa dan mahukan pujian sebagai wanita solehah yang terpilih dan mulia. Tetapi demi mencari keberkatan dengan mengikut cara para isteri Nabi dan Muslimah pada zaman Baginda s.a.w yang merupakan sebaik-baik contoh teladan dan tuntutan buat buat Muslimah beriman.
            Baik berpurdah atau tidak, insafilah kita membawa syiar Islam di sebalik apa yang dipakai. Kita melindungi diri demi mencari redha Ilahi kerana sesungguhnya Allah s.w.t menghendaki pakaian untuk melindungi aurat itu juga merupakan penutup dan tabir pelindung daripada pandangan "mata" syaitan durjana. Ia pemangkin rasa malu, penghindar cemburu melulu dan pemelihara maruah serta harga dirimu.


            
Di sebalik pakaian kita, suburkan rasa malu dengan menjauhi larangan-Nya dan berpegang erat dengan segala perintah-Nya. Sedarilah, malu itu sememangnya penentu nilai seorang Muslimah bertaqwa dan beriman. Semoga kita tergolong dalam kalangan mereka, amin.



Artikal ini dipetik dari ruangan Tanbih, Majalah Solusi #44. hlm. 52-53
Dikarang oleh Ustazah Noraslina Jusin - www.ummuhusna99.blogspot.com