Showing posts with label CERPEN. Show all posts
Showing posts with label CERPEN. Show all posts

Thursday, May 17, 2012

CERPEN : KEAJAIBAN HATI ( 1 )

11:08 AM 0 Comments


Sahabat, kita pasti kembali bersatu. 
Kematian bukan pengakhiran kepada suatu ikatan persahabatan.  
Sahabat, moga kasihku padamu terus setia kerana aku tahu kita berkongsi Kasih Dia yang SATU..


    " Pak cik boleh pandu lebih laju lagi? Saya ada temujanji ni, takut tiba lewat pula nanti ." Pinta Khaulah kepada pemandu teksi yang berusia lingkungan 40-an itu. Seakan-akan dia ingin memintas waktu bagi memenuhi temujanji bersama sahabatnya.

Dia tergesa-gesa.

" Assalamualaikum mak cik, maafkan saya kerana menghalang perjalanan. Mengapa jalan ini di tutup dan orang ramai bersesak-sesak di hadapan sana ye ? " Dia kehairanan.

" Waalaikumussalam. Oh, ada runtuhan bangunan. Highland Towers telah sujud ke bumi." Balas mak cik yang ingin meneruskan perjalanan.

Khaulah terus mencari sahabatnya di tempat yang dijanjikan.

Rasa cemas terpancar di wajahnya.

Sekujur tubuh berwajah pucat yang kaku diangkat atas pengusung menghampiri Khaulah seolah-olah menyambut ketibaannya.

" Berhenti! Tunggu, nanti dulu. " Dia menjerit perlahan ketika usungan itu hendak di masukkan ke dalam ambulans.

Didakapnya seerat mungkin sambil air mata kerinduan mengalir deras.

" Ya Allah ! Qalbi ! Sahabat, maafkan aku. Bangunlah. Janganlah terus membisu. Qalbi.." Khaulah terus merangkul tubuh sahabatnya sambil manangis teresak-esak. Qalbi yang sentiasa menjadi peneman setia sewaktu dirinya sukar dan senang sudah tiada lagi.

Wajah ceria Qalbi yang sentiasa tersenyum kini tinggal dalam bayangan. Hanya kasih yang terpatri bersama kebaikan budi tetap kekal di dalam hati.

Pada hari saat Khaulah terbangun, dia benar-benar terlupa dengan SMS itu. Dia sibuk menyiapkan assignment. SMS itu baru dia baca lewat tengah hari, itu pun setelah assignmentnya selesai. Dia benar-benar menyesal kerananya !

" Demi masa. Sesungguhnya manusia berada dalam kerugian, kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan kebajikan serta berpesan-pesan kepada kebenaran dan saling menasihati dengan kesabaran " 
( Surah Al-Asr : 1-3 )

" Khaulah, jangan lupa temujanji kita di Highland Towers tepat jam 5 petang. Saya berharap sangat kita dapat bertemu sebelum saya berangkat jauh dari negeri kelahiran. Jangan lewat walau seminit ye - Sahabatmu Qalbi ."

Begitu bunyi SMS dari Qalbi. Dia sangat berpegang pada ketepatan waktu. Sesiapa yang melewati waktu perjanjian tidak harus dinanti. Kebiasaannya, orang yang hadir lewat menghadiri temujanji bagai dihargai sebaliknya orang yang tiba awal dihukum pula. Mungkinlah orang yang tiba awal itu telah membatalkan temujanji dengan orang lain semata-mata ingin memenuhi temujanji bersama kita.

Tidak hairanlah dengan petua kontroversinya itu Qalbi berjaya melanjutkan pelajaran ke Australia. Namun telah ditakdirkan dia harus pergi ke tempat yang lebih jauh di mana dia tidak mungkin kembali lagi di dunia.

“ Pada hari kiamat ,sudah tidak berguna lagi harta benda,anak-anak kecuali orang yang datang menghadap Allah dengan hati yang sejahtera.”
( Surah As-Syura,ayat 88-89 )

Walaupun Qalbi lebih jauh dari dulu, Khaulah semakin rapat dengan ahli keluarga Qalbi. Tidak pernah dia melupakan jasa mereka sewaktu dia sekeluarga kehilangan tempat berteduh dek kerana hangus dijilat api.



***


Duhai Bintang,
tanpamu di langit terbentang,
tak indah bila malam datang,
sepi berlalu tanpamu,
langit terlalu luas,
bagi helang seperti aku...


Kisahnya bersama Qalbi sudah lama berlalu, dia tidak pernah menutup ruang persahabatan dengan sesiapa. Tempat untuk insan bergelar sahabat duduk di hatinya tidak dihadkan. Sekiranya ada insan yang dapat mengganti Qalbi, dia pasti akan lebih setia..lebih setia pada janji.

Khaulah menyambung pengajiannya dalam bidang kejuruteraan di Universiti Putra Malaysia ( UPM ). Tanpa disengajakan di asrama, dia sebilik dengan mahasiswi Cina berwajah putih gebu.

Pada mulanya, Karen memang seorang yang keras kepala. Suka berfoya-foya bila waktu malam tiba. Sering mengajak rakan-rakannya melepak di bilik mereka. Tapi, tujuan mereka bukan untuk membincangkan hal pelajaran sebaliknya sengaja ingin mengganggu ketenteraman Khaulah. 

Mereka tidak menyukai muslimah sepertinya. Tiap kali Khaulah ingin membaca Al-Quran, ketika itulah Karen menguatkan suara lagu di laptopnya. Langsung tiada hormat.

Namun, semua perlakuan rakan sebiliknya itu tidak sedikit pun mengundang kemarahan dan menggugat aktiviti ibadahnya setiap waktu. Sebaliknya akhlak yang ditonjolkan Khaulah selama beberapa bulan telah menawan hati Karen.

" Hei perempuan! Baca buku ke, nak menyanyi ke, boleh perlahan sikit tak ? Mengapa kau tak nak berambus dari bilik ini hah?! Tak serik lagi ke apa yang aku lakukan semuanya pada kau? Tak pernah pula kau marah padaku. " Bentak Karen.

Terhenti bacaan Al-Quran Khaulah. Dia menoleh sabar.

" Mengapa saya perlu memarahi awak? Dan mengapa pula saya ingin keluar dari bilik ini? Bukan ada haiwan buas ingin membaham saya. Lagi pun saya berasa begitu selesa di sini." Jawabnya ringkas dengan senyuman manis terukir di bibirnya.

" Islam tidak pernah mengajar bertindak keras sesama makhluk termasuklah golongan orang bukan Islam seperti awak. Malah harus menghormati agama yang mereka anuti. Selagi tiada kemudaratan pada maruah agama dan diri." Tambahnya dengan suara yang lembut dan sopan.

" Nah, sudilah ambil. Coklat ini buat awak, juga sebagai rakan bilik saya dan teman-teman awak tu, tetamu bilik 'kita' juga.. " Hulur Khaulah sambil tersenyum.

Karen terpana sebentar. Terus dia mendiamkan diri serta beransur keluar dari bilik.

" Dong ! " Pintu ditutup kuat.

" Haha. Setakat coklat, aku ada banyak la. Semua sama je. Tak payah tunjuk baik sangatlah. 
Muslimah konon! " Kedengaran dari luar tingkap suara Karen.


Sabda Rasulullah SAW , mafhumnya :
" Sesungguhnya dalam diri manusia itu ada seketul daging. Apabila daging itu baik, maka baiklah seluruh anggota, dan apabila daging itu rosak, maka rosaklah seluruh anggota. Ketahuilah, itulah hati."
( Hadith direkodkan oleh Imam Bukhari dan Muslim )


 ***
bersambung..




I 2 Zulkaedah 1431H I
I 10 Oktober 2010 I
I Plaza Home, Irbid I



Monday, October 25, 2010

Kalau Tak Suka,Pulangkan..

11:12 AM 0 Comments




***

Kereta dihentikan betul-betul di hadapan rumah. Pintu pagar automatiknya terbuka. Perlahan kereta dihalakan ke dalam garaj.

“Horey! Papa balik!” Kelihatan anak-anaknya berlari mengiringi keretanya.

“Tepi! Bahaya tau tak?” Jeritnya.

Anak-anak termanggu. Cahaya kegembiraan di wajah mereka pudar.

“Aimin bawa adik ke belakang.” Arahnya pada anak yang sulong.

Pulangnya petang itu disambut dingin oleh anak-anak. Isterinya turut terdiam bila mendengar anak-anak mengadu tentang papa mereka.

“Papa penat. Aimin bawa adik mandi dulu. Mama siapkan minum petang. Lepas minum papa mesti nak main bola dengan kita,” pujuk Laila.

Dia yang mendengar di ruang tamu hanya mendengus. Seketika kemudian terdengar hilai tawa anak-anaknya di bilik mandi. Dia bangun.

“Hah! Main air. Bil bulan ini papa kena bayar dekat seratus. Cepat! Tutup paip tu! Buka shower!” Sergahnya. Suara yang bergema mematikan tawa anak-anaknya.

“Asal saya balik rumah mesti bersepah. Kain baju berselerak. Apa awak makan tidur aje ke duduk rumah?” sambungnya kembali bila isterinya terpacul di belakang pintu.

“Anak-anak pa. Diorang yang main tu. Takpe nanti mama kemas. Papa minum ye. Mama dah siapkan kat taman.” Balas isterinya lembut.

“Fail saya kat depan tu mana?”

“Mama letak dalam bilik. Takut budak-budak alihkan.”

“Boleh tak awak jangan usik barang-barang saya? Susah tau tak? Fail tu patutnya saya bawa meeting tengahari tadi.” Rungutnya sekalipun di hati kecil mengakui kebenaran kata-kata isterinya itu.

Suasana sepi kembali. Dia menarik nafas berat. Terasa begitu jauh berbeza. Dia tercari-cari riuh suara anak-anak dan wajah isterinya. “Laila” Keluhnya Akhirnya dia terlena di sofa.

—————————————————————————-

“Saya nak ke out station minggu depan.”

“Lama?” Soal Laila.

“Dalam seminggu.”

“Cuti sekolah pun lama. Mama ikut boleh?”

“Budak-budak? “

“Ikut jugalah.”

“Dah! Takde! Takde! Susah nanti. Macam-macam diorang buat kat sana . Tengok masa kat Legacy dulu tu..”

“Masa tu Amirul kecik lagi.” Balas Laila.

Wajahnya sayu. Dia masih berusaha memujuk biarpun dia tahu suaminya tak mungkin berganjak dari keputusan yang dibuat. Tak mungkin peristiwa Amirul terpecahkan pinggan di hotel dulu berulang. Anak itu masih kecil benar sewaktu ia berlaku. Lagipun apa sangatlah harganya pinggan itu malahan pihak hotel pun tak minta ganti rugi.

” Bolehlah Pa ! Lama sangat kita tak ke mana-mana.”

“Nak jalan sangat Sabtu ni saya hantar awak balik kampung,” Muktamad!

Demikianlah seperti kata-katanya. Anak-anak dan isterinya dihantar ke kampung. Laila tak merungut apa-apa meskipun dia tahu isterinya berkecil hati. Anak-anak terlompat riang sebaik kereta berhenti di pengkarangan rumah nenek mereka. Tak sampai setengah jam dia telah bergegas semula untuk pulang. Bapa mertuanya membekalkan sebuah kitab lama.

“Cuba-cubalah baca. Kitab tu pun abah ambil dari masjid. Dari mereka bakar abah ambik bagi kamu!”

“Manalah saya ada masa..”

“Takpe..pegang dulu. Kalau tak suka pulangkan balik!” Dia tersentak dari khayalannya.

“Kalau tak suka pulangkan balik!” Kata-kata itu bergema di fikirannya. Dia rasa tersindir.

Tahukah bapa mertuanya masalah yang melanda rumahtangganya itu? Bukan..bukan tak suka malah dia tetap sayang sekalipun Laila bukan pilihannya. Dunia akhirat Laila adalah isterinya. Cuma..

“Mizi, makan!” Panggil ibunya yang datang menemaninya sejak seminggu lalu. “Jangan ikutkan hati. Yang sudah tu sudahlah.”

———————————————————————————-

“Papa! Makan!” Jerit Aiman ,anak keduanya sambil tersengih-sengih mendapatkan dirinya.

“Tak boleh panggil papa elok-elok. Ingat papa ni pekak ke?”

Aiman menggaru kepalanya yang tak gatal. Pelik! Kenapa papanya tiba-tiba saja marah. Dia berpatah semula ke dapur.

“Awak masak apa?”

“Mama masak sup tulang dengan sambal udang!” jawab Amirul memotong sebelum sempat mamanya membuka mulut.

“Takde benda lain ke awak boleh masak? Dah saya tak nak makan. Hilang selera!”

“Papa nak ke mana?” Soal isterinya perlahan.

“Keluar!”

“Mama dah masak Pa!”

“Awak saja makan!”

“Takpe Aiman boleh habiskan. Cepatlah ma!”

Laila tahu Aiman hanya memujuk. Anak keduanya itu sudah pandai mengambil hatinya. Aimin tersandar di kerusi makan. Sekadar memerhati langkah papanya keluar dari ruang makan.

“Kenapa sekarang ni papa selalu marah-marah ma?” Soal Aimin sambil menarik pinggannya yang telah berisi nasi.

“Papa banyak kerja agaknya. Dah! Makan.”

“Abang tak suka tengok papa marah-marah. .”

“Adik pun sama. Bila papa marah muka dia macam gorilla kan ?”

Kata-kata Aiman disambut tawa oleh abang-abangnya yang lain. Laila menjeling. Di hati kecilnya turut terguris.Besar sangatkah dosanya hingga menjamah nasi pun tidak. Kalau ada pun salahnya, apa?

Syamizi menjengah ke ruang dapur. Kosong.

“Laila..” serunya

“Sudahlah tu Mizi! Jangan diingat-ingat. Kerja Tuhan ni tak dapat kita tolak-tolak. Bawak-bawaklah beristighfar. Kalau terus macam ni sakit kau nanti.” Kata ibunya yang muncul tiba-tiba.

“Sunyi pulak rumah ni mak,”

“Lama-lama kau biasalah.”

Airmatanya menitis laju. “Kalau tak suka pulangkan!” Dia rasa terhukum. Hampir segenap saat kata-kata itu bergema di sekitarnya. Dia rasa terluka. Kehilangan yang amat sangat.

———————————————————————————-

“Papa beli apa untuk Aiman?” Soal Aiman sebaik dia pulang dari outstationnya.

“Beli apa pulak? Barang permainan kan bersepah dalam bilik belakang tu.”

“Tak ada lah?”

“Ingat papa ni cop duit?”

Aiman termangu. Dia berlalu mencari mamanya di dapur. Seketika kemudian rumah kembali riuh dengan telatah anak-anak lelakinya yang bertiga itu mengiringi mama mereka yang sedang menatang dulang berisi hidangan minum petang.

Wajah Laila direnungnya. Ada kelainan pada raut itu. Riaknya tenang tapi ada sesuatu yang sukar ditafsirkannya.

“Awak tak sihat ke?”

Laila tersenyum. Tangannya pantas menuang air ke cawan.

“Papa, tak lama lagi abang dapat adik lagi.” Aimin mencelah di antara perbualan kedua ibu bapanya.

Shamizi tersenyum. Jemari isterinya digenggam erat. Tiba-tiba cawan berisi kopi yang masih panas terjatuh dan pecah di lantai. Aiman tercegat.

“Tengok! Ada saja yang kamu buat. Cuba duduk baik-baik. Kalau air tu tak tumpah tak sah!” Tempiknya membuatkan anak itu tertunduk ketakutan. Baju mamanya dipegang kejap.

Lengan Aiman dipegangnya kuat hingga anak kecil itu mula menangis. Pantas saja akhbar di tangannya hinggap ke kepala anaknya itu. Laila cuba menghalang tapi dia pantas dulu menolak isterinya ke tepi. Aiman di pukul lagi. Amirul menangis. Aimin mendapatkan mamanya.

“Perangai macam beruk! Tak pernah buat orang senang!”

Laila bangun dari jatuhnya dan menarik lembut Aiman ke dalam pelukkannya. Airmata mereka bersatu. Pilu sungguh hatinya melihat kekasaran suaminya terhadap anak-anak.

“Cukuplah pa. Papa dah hukum pun dia tapi janganlah sebut yang bukan-bukan. ” Ujar Laila perlahan

“Macamana awak didik budak-budak sampai macam ni teruk perangainya? Tengok anak orang lain ada macam ni? Anak kak Long tu tak pulak macam ni. Panjat sana , kecah barang. Gila apa?” Omelnya kembali.

Shamizi meraut wajah. Bukan kepalang salahnya pada Aiman. Padanya anak itu tak pernah dapat memuaskan hatinya. Ada saja salah Aiman di matanya. Ada saja yang kurang di hatinya terhadap anak-anak dan isteri. Tak cukup dengan perbuatan malah dia begitu mudah melemparkan kata-kata yang bukan-bukan terhadap mereka.

———————————————————————————–

“Tak boleh ke kamu semua senyap? Dalam sehari ni boleh tak diam? Rimas betul duduk dalam rumah ni.”

Laila menyuruh anak-anaknya bermain di halaman belakang rumah. Memberi sedikit ruang buat suaminya menonton dengan tenang.

Malangnya tak lama kemudian kedengaran bunyi tingkap kaca pecah.

“Celaka betul!” Sumpahnya sambil menghempaskan akhbar ke meja.

“Abang!”

“Baik awak tengok anak-anak awak tu sebelum saya hambat dengan rotan! Perangai satu-satu macam tak siuman!” Getusnya kasar.

Akhirnya tingkap yang pecah kembali diganti. Cerita sumpah seranahnya petang itu hilang begitu saja. Laila berubah. Sikapnya yang pendiam menjadi semakin pendiam. Anak-anak juga sedikit menjauh. Tak ada lagi cerita Amirul di tadika. Tak ada lagi kisah Aimin yang cemerlang di dalam sukan sekolahnya. Aiman juga tak lagi mahu memanggilnya makan.

Shamizi terasa puas hati. Barangkali itu saja caranya untuk memberi sedikit pengajaran pada anak-anak.

“Pak Ngah, Eddie nak balik!” Shamizi terpana. Dia mengangguk.

“Kak Long balik dulu Mizi. Sudahlah! Kamu muda lagi. Cari pengganti.”

Alangkah mudahnya. Kalaulah dia boleh bertemu lagi yang serupa seperti Laila. Laila tak ada yang kurang Cuma dia yang tak pernah puas hati. Laila tak pernah merungut. Laila tak pernah membantah. Sepanjang usia perkahwinan mereka Laila tak pernah meminta lebih dari apa yang dia beri. Laila cuma dapat gred B walaupun dia teramat layak untuk mendapat gred yang lebih baik dari A.

“Laila”

—————————————————————————————————-

“Papa nak ke mana hensem-hensem gini?” Dia tersenyum sambil menjeling ke cermin meninjau bayang isterinya yang kian sarat. “Wangi-wangi lagi. Dating ye?”

“Saya ada makan malam di rumah bos besar. Dia buat makan-makan untuk staff.” Ujarnya masih leka membetulkan kolar kemeja batiknya.

“Ikut boleh?”

“Dia tak ajak family. Staff only!” Terangnya sedangkan difikirannya terfikir lain. Kali ni dia akan pergi ke jamuan tu dengan Helmi. Helmi akan turut menumpangkan Maria dan Harlina. Staff yang masih muda dan bujang.

“Dalam setahun papa selalu ke jamuan office tapi tak pernah pun bawak kami.”

“Leceh kalau ada budak-budak. Bukan tau duduk diam Lari sana sini, panjat itu ini. “

“Papa pesanlah..”

“Nantilah besar sikit.” Dalihnya.

“Kalau tunggu besar takut takde peluang. Nanti diorang tu dah tak nak ikut pergi mana pun.”

“Lagi senang. Saya kalau lasak-lasak ni buat hati panas je,”

Laila terdiam. “Namanya budak-budak. Anak-anak papa tu lelaki.”

“Saya pergi kejap je. Lepas tu terus balik.”

“Mama tanya sikit boleh?” Dia mengangguk

“Bos tak pelawa atau papa malu nak bawa mama dan anak-anak?”

Mereka dia tinggalkan di rumah. Di jamuan tu ramai staff yang membawa keluarga mereka bersama. Pada Shamizi dia mahukan keselesaan sedangkan hakikatnya anak-anak staff yang lain lebih lasak dan nakal. Semeja hidangan untuk anak-anak staff berderai bila ada yang bermain tarik-tarik alas kainnya.

“Never mind. Budak-budak memang macam tu. Kalau tak lasak tak cerdik,” ujar Mr. Kwai, tuan rumah.

Shamizi sedikit mengakui kebenaran kata-kata itu. Anak-anaknya pun nakal tapi amat membanggakan dalam pelajaran. Namun dia rasa serba tak kena bila bersama mereka. Bimbang ada yang menyata yang bukan-bukan tentang anak-anaknya yang lasak apatah lagi tentang isterinya Laila. Bimbang dimalukan dengan perangai anak-anaknya. Bimbang jika dikatakan Laila tidak sepadan dengan dirinya. Dia lulusan luar negara sedang Laila cuma perempuan kampung. Tak pandai bergaya seperti staff wanita yang lain. Betullah jangkaan Laila, dia malu untuk memperkenalkan isteri dan anak-anaknya pada rakan-rakan.

“Kalau tak suka pulangkan!” Kata-kata itu semakin keras di fikirannya.

Pagi itu anak-anak sekali lagi dimaki sebelum ke sekolah. Semata-mata bila Aimin dan Aiman bergelut berebutkan tempat duduk di meja makan menyebabkan air cuci tangan tumpah ke meja. Berangnya tiba-tiba menguasai diri. Kepala kedua-duanya di lagakan sedangkan perebutan itu tidak pula disusuli dengan perkelahian.

“Kamu semua ni..kalau macam ni daripada ada elok tak ada. Menyusahkan! ” Laila merenungnya dalam..

Matanya berkaca dan anak-anak ke sekolah tanpa menyalaminya seperti selalu. Laila juga tidak berkata apa-apa sebelum menghidupkan enjin untuk menghantar anak-anak ke sekolah. Shamizi dapat melihat Laila mengesat airmatanya. Dia terus menghadapi sarapannya. Sejenak dia terpandang hidangan untuk anak-anak yang tak bersentuh. Susu masih penuh di cawan. Roti telur yang menjadi kesukaan anak-anak juga tidak dijamah. Bekal di dalam bekas tidak diambil.Pelik! Selama ini Laila tak pernah lupa..

“Kalau tak suka pulangkan,”

Kali ini dia benar-benar menangis. Laila dan anak-anak terus tak pulang selepas pagi itu. Hari-harinya tak lagi diganggu dengan gelagat anak-anak. Rumah terus sunyi dan sepi. Tetap dia tak dapat tidur dengan lena. Di halaman belakang hanya ada kenangan. Kelibat anak-anaknya bergumpal dan berlari mengejar bola tak lagi kelihatan. Riuh anak-anak bila mandi di bilik air juga tidak lagi kedengaran. Dia mula dihambat rindu. Hanya ada kesunyian di mana-mana. Hanya tinggal bola yang terselit di rumpun bunga.

Selaut rindu mula menghambat pantai hatinya. Laila.

Benarlah, kita hanya tahu harganya bila kita kehilangannya.

Laila terus tak pulang sekalipun dia berjanji untuk berubah.

Laila pergi membawa anak-anaknya pagi itu bila kereta mereka dirempuh sebuah kereta lain yang dipandu laju. Laila pergi tanpa meninggalkan satu pun untuknya. Laila pergi membawa Aimin, Aiman, Amirul dan zuriat yang bakal dilahirkan dua bulan lagi..

Dia menangis semahu-mahunya bila menatap wajah lesi anak-anak dan isterinya. Dia meraung memeluk tubuh Laila yang berlumuran darah. Hakikatnya Laila adalah kitab lama itu, lapuk bagaimana pun dipandangan harganya tak terbanding, dan kerana keengganannya Laila dipulangkan…….


***


Sekadar perkongsian artikal dari seorang sahabat saya.Semoga bermanfaat.





Friday, January 29, 2010

~ Tudungkan aku ibu ~

12:59 PM 0 Comments


Aku cuba melayan tangan yang ingin digerakkan.Sungguh,tinggal menuntut ilmu di Jordan banyak memberi aku ilham serta pengajaran disepanjang jalan perhambaan.Hati sebagai raja pun memberi arahan,akhirnya mula mencoret mengisi ruang yang asalnya tiada ruang untuk diri dimanjakan.

Teringat aku tika sedang rancak mencoret,watak utama berasal dari Indonesia yang aku lahirkan dalam coretan membuatkan aku teringat kepada seorang teman.Dia bernama Kar(saja aku rahsiakan nama penuhnya) berasal dari Indonesia.Aku mengenalinya hasil perkenalanku dengan sahabat arab,Rona.Tidak perlu ku lebarkan kisah Rona.Kar ialah pembantu rumah keluarga Rona.

Suatu masa,aku terbaca 'post' di Yahoogroup PERMAI tentang pasangan pelajar yang ingin meminta bantuan mencarikan pembantu rumah sekitar kawasan terdekat,Irbid,Jordan.Tugas sebagai Timbalan Pengerusi Kebajikan & Keselamatan PERMAI menyerlahkan lagi tanggungjawabku.Inginku cuba membantu.Aku terus teringat kpada Kar & terus menghubunginya agar dapat membantu pasangan itu.Setelah dia memberikan nombor agen pembantu negara Indonesia(hakikatnya amat sukar mencari pembantu mengikut pilihan),dia bersahaja memanjangkan mesej perbualan.Kadang lucu kadang sayu.

Kar :"Anisa,kalau di pikir-pikir kamu itu lucu juga.Umur kamu berapa si an,kalau aku udah mahu 24..udah punya anak laki-laki masih kecil umur 1 setengah tahun..namanya Raihan Ali Firdaus.Menurut kamu,nama anak saya bagus enggak?"

Aku : "Lucu?Apa yang lucunya kak ?..Bagus akak namanya.Sangat cantik namanya..'wangian di syurga(firdaus)' kan? akak ingin memaksudkannya apa ye? Tapi kalau Raihan Firdaus(wangian syurga) sudah baik juga,inshaAllah.

Kar : "Terima kasih Anisa,tapi Anisa kalau kamu punya anak laki-laki mau di beri nama apa ya?Sebenarnya saya datang ke Jordan cuma pelarian dari suami.Saya ke sini tanpa pengetahuan suami.Suami saya tahu selepas aku ada di jordan,makanya di suruh pulang.Anak,saya tinggalkan semenjak umur 10 bulan.Kalau melihat foto anak saya,saya menangis merasa menyesal.Saya itu orangnya egois,enggak pernah dengar nasihat suami."

Aku : "umur saya 19 tahun..tidak tahu mahu kasi nama apa..perlu ada sepakatan dengan suami dan orang lain juga(belum terfikir).Banyak saja nama yang baik-baik,tetapi nama yang terbaik perlu kita pilih untuk anak kerana itu adalah harta yang terbaik,juga amanah yang paling bernilai di dunia & di akhirat(inshaAllah)..Mungkin akak harus pulang ketemu suami & anak.Suami akak sering memarahi akak?atau dia ada melakukan sesuatu diluar batasan Islam terhadap kakak?...kerana kakak egois?itu mungkin dulu kakak,tapi kini aku yakin,akak ibu & isteri terbaik buat anak & suamimu,tiada yang bisa menggantikan dirimu kerana kamu begitu berharga(sebab itu,suamimu suruh pulang)..teringat saya tentang suatu hadith(mafhumnya):" jika mati seseorang itu maka terputuslah segalanya kecuali 3 perkara: amal jariah yang ditinggalkan,ilmu yang dimanfaatkan & doa anak yang soleh(mendoakan)" "

Maafkan aku kakak....~Semoga Allah merahmati & memudahkan urusanmu kakak Kar & sekeluarga~

Mai kakak,adik dan teman.Jangan malu jangan segan.Cerita bisu tinggalkan pesanan,mungkin hanya cebisan.Aku mulakan dengan nama Ar-Rahman.

" TUDUNGKAN AKU IBU "


“Congratulation!Awak sungguh hebat!” Sofiah rakan sekuliah memujinya kerana berjaya menyelesaikan segala permasalahan yang diutarakan pensyarah sebentar tadi dengan cepat dan tepat.
Bab ‘Bisness Management Project’ agak sukar kali ini.
“Be enjoy but be professional and proficient,ok” itulah ungkapan yang sering diutarakan dan dipraktikkan dalam segala urusan kehidupannya.
Antara kata yang dikutip dari mantan presiden Britain sekaligus menjadi prinsipnya yang teguh.
Wafa,siapa yang tidak mengenalinya,dialah pelajar Indonesia Phd yang terbaik dalam kalangan pelajar Phd yang lain di University of Wales United Kingdom.Sejak dirinya bergelar Mahasiswa Master di University of Yarmouk lagi,kepintaran dan kecekapannya sudah terserlah.Terkenal juga dengan idealisme yang tinggi.
Pangkat mumtaz yang diraihnya menyebabkan pihak University of Yarmouk menghadiahkannya biasiswa bagi melanjutkan pelajarannya dalam jurusan ekonomi dan perbankan Islam di negara orang putih.
***
Zaman dara remajanya diakhiri dengan sebuah perkahwinan.Tidak hairanlah jika dia digandingkan dengan seorang jejaka yang tidak kurang hebat seperti dirinya.Pasangan secocok yang amat berprestasi dan sepangkat meski berbeza profesion.
Wahidah adalah permata hati hasil buah percintaan mereka.Ketika ini,Wafa bekerja sebagai pembantu pengurus di salah sebuah syarikat terkenal di Indonesia sesuai dengan pangkat Phdnya.Kehadiran seorang putri bernama Wahidah telah menyerikan lagi rumahtangga yang dibina bersama suaminya.Kononnya,hanya Wahidah sahaja yang dapat melengkapkan kebahagian mereka,maka nama putri mereka itu diambil dari kalimah bahasa arab,Wahidah yang bermaksud satu atau seorang atau pun tunggal.
Sesungguhnya seorang ayah haruslah menunaikan hak ke atas seorang anak sebelum anak itu menunaikan hak terhadapnya.Hak si anak pernah dikatakan oleh Saidina Umar:
“Memilihkan ibu yang baik , menamakan dengan nama yang baik serta mengajarkannya Al-Quran.”
***
Kerja Wafa semakin menggila ketika Wahidah meningkat usianya enam bulan.Bagai ketitir betina terbang bebas kerana hampir setiap hari dia terbang dari satu kota ke kota yang lain juga dari negara ke negara yang lain.
“ Wafa,tidakkah Wahidah itu terlalu kecil untuk kau tinggalkan? “ tanya Muna kepada sahabatnya.
“Don’t worry.Everything is ok!Be enjoy but be professional and proficient.Aku sudah menyiapkan segalanya buat Wahidah “ pantas balas seorang ibu pintar dengan yakin.
Kata-katanya itu bukanlah dusta.Ia terbukti kerana layanan dan keprihatinan untuk putri kecilnya semua diuruskan oleh seorang ‘baby sitter’ yang profesional.Senang Wahidah memanggilnya Mak Fatimah.Wafa hanya mengatur dan mengawal jadual Wahidah melalui telefon.Putrinya itu membesar dengan sempurna,bijak dan aktif.
“Nanti,bila Wahidah telah dewasa,ikutlah jejak ayah dan ibumu ya” harapan seorang nenek kepada cucu kesayangannya.
Kadang neneknya sering menonjolkan kebanggaan dan kehebatan kedua ibu bapanya kepada Wahidah tentang kejayaan,wang ringgit dan kehidupan yang senang.
***
Wahidah bagai si malaikat kecil buat semua.Kini umurnya genap tujuh tahun.
“Wahidah dah besar sekarang.Jadi,kena pakai tudung.” pinta Mak Fatimah lembut.
“Skirt ini dah tak sesuai dengan Wahidah.Esok kita beli baju yang lebih sesuai dan cantik ye” tambahnya lagi.
Wafa juga sering mengingatkan Mak Fatimah agar tidak lupa mengajarkan anaknya ilmu agama.Teringat Mak Fatimah sewaktu dia mendengar tazkirah ringkas di Masjid Ar-Rahman tempoh hari.
“ Suruhlah anak-anakmu solat sedang mereka berumur tujuh tahun. “ Hadith Nabi Muhammad S.A.W
Ulama’ suka mengambil pengajaran bahawa pendidikan anak bermula tujuh tahun.Ertinya jika Islam mengarahkan pendidikan solat dibentuk ketika berumur tujuh tahun,maka hendaklah dibentuk bersama pendidikan penutupan aurat,sosial dan pergaulan serta adab dalam kehidupan.


“dan pukullah mereka sedang mereka berumur sepuluh tahun”hadith Nabi S.A.W
Islam juga menasihatkan proses peringatan tersebut mengambil tempoh tiga tahun sehingga berumur sepuluh tahun.Barulah dibenarkan si anak dipukul atau dirotan jika melakukan kesalahan seperti meninggalkan solat.

Pakar motivasi juga ada menyatakan bahawa seseorang itu dianggap telah menasihati anaknnya apabila dia melontarkan 200 kali nasihat atau ungkapan yang sama barulah mendapatkan teori pelaziman.
***

Permintaan si malaikat kecil semalam membuatkan Wafa dan suaminya mengerti bahawa anak mereka amat memerlukan perhatian.Atas pengertian itu,lalu pulanglah mereka untuk menghabiskan waktu bersamanya.
“Dia minta adik?” nada suaminya yang merasai kelainan atas permintaan anak kesayangannya.
“ Biasalah tu,tak ada kawan nak diajak bermain.“ tambah suaminya,Adli sambil tersenyum sengih.
Namun kesibukan mereka belum boleh membuktikan yang mereka bersedia menghadirkan teman sepermainan buat Wahidah.Sungguh Wahidah ‘memahami’ orang tuanya.Dia juga tidak mahu banyak merengek,seperti dia mewarisi karakter ibunya.
Meskipun ibu dan ayahnya sering pulang lewat,Wahidah tidak pernah merungut.Bahkan dia setia menanti dan menyambut kepulangan mereka dengan wajah yang ceria.Layaklah dia dengan sapaan manja si malaikat kecil oleh Wafa dan Adli.
Beruntung benar pasangan berprestasi itu.Hidupnya senang.Keluarganya bahagia,ditambah pula mempunyai anak yang memahami dan menurut kata.Pasti,makhluk disekeliling mereka mungkin ada yang berasa iri hati.Tetapi ada juga makhluk yang semakin kencang berdoa agar bahtera rumahtangga mereka terus terbina kukuh.

***
Peristiwa ini berulang dalam beberapa hari sebelum Wafa dan suaminya berangkat ke Syria atas urusan perasmian syarikat baru Wafa.
Petang itu,Mak Fatimah ingin menemaninya ke taman permainan seperti biasa.Taman permainan sering dijadikan tempat berhibur bagi Wahidah.
“Tak nak pakai..tak nak pakai..Wahidah nak ibu yang pakaikan “ rengekan Wahidah kepada Mak Fatimah apabila diminta memakai tudung dan baju yang sopan ketika hendak keluar rumah.
Wafa dan Adli berfikir bahawa Wahidah baru hendak memasuki alam persekolahan.Jadi,dia meminta ditingkatkan lagi keprihatinan terhadapnya.Cuma dengan gaya bahasa yang agak berbeza.
Tanpa menghiraukan permintaan si malaikat kecil,terus mereka berangkat pergi.
Kali ini,Wahidah menangis ketika ditinggalkan mereka.
***
Fikiran Wafa menerawang teringatkan anaknya.Hatinya terasa lain.Perasaan kasih rindu terhadap anak kecilnya,tiba-tiba menghentak kuat ketika hari terakhir mereka berada di Syria.Dibuang jauh-jauh perasaan itu sebolehnya.Hari itu mereka akan pulang ke Indonesia.
“ Puan Muna , Wahidah di masukkan ke hospital.Dia ditahan di wad sekarang ini.“ amat terkejut Muna akan berita itu.
Pantas dia ke ICU menemui anak sahabatnya.Terus dilayangkan mesej ringkas kepada Wafa dan suaminya serta menasihati mereka agar tidak terlalu risau tentang keadaan anaknya.
Setibanya Wafa dan suaminya di pintu rumah banglo tiga tingkat itu,tiada lagi si malaikat kecil yang menyambut ceria kepulangan mereka.
Segalanya telah terlewat.Dunia bagaikan kelam sebentar.Dia tidak percaya apa yang berada di hadapan matanya.Sekujur tubuh kecil terbaring kaku dipembaringan.
Patutlah fikirannya sering terfikir akan anak tunggal kesayangannya sejak kebelakangan ini.Hati diselaputi kerinduan yang tidak pernah dialaminya sepanjang kesibukannya bekerja semenjak Wahidah kecil dahulu.
Sebelum dia tiba di rumah,teringin benar dia membelikan sehelai tudung putih buat Wahidah dan memakaikannya sendiri.Rupa-rupanya itulah permintaan terakhir yang sering dituntut Wahidah selama beberapa hari sebelum ibunya berangkat pergi.
Allah S.W.T punya perancangan lain.Wahidah si malaikat kecil telah dijemput oleh Yang Maha Mengasihi.



***
Memang Wafa teringin dan menyimpan niat bahwa dia akan memakaikan sendiri pakaian anaknya.
Wafa masih mempunyai peluang dan ruang untuk dia memakaikan pakaian dan tudung buat si malaikat kecilnya itu.
Siang itu,keinginannya termakbul.
Siap dimandikan,Wafa mengafankannya dengan kain dan tudung putih yang akan membaluti seluruh tubuh serta kepalanya.
“ Wahidah,ini ibu nak.Ini ibu yang pakaikan baju dan tudung buat Wahidah” ucapannya lemah di tengah-tengah kesunyian jemaah.
Ombak deras membantai pantai kembali tenang.Awan mendung kembali cerah.Semuanya seolah-olah mengerti dan meredhai pemergiaan si malaikat kecil.
Satu persatu helaian kain putih dipakaikan sehinggalah ke anak tudung sambil hatinya meruntun sedih mengharap Wahidah kembali membuka matanya.Perlahan-lahan sahabat Wafa menjauhkan Wafa dari tubuh kecil itu sambil berusaha menyembunyikan tangisan.
***
Ketika tanah yang masih merah basah menutupi jasad Wahidah,Wafa tetap berdiri disisi pusara.Berkali-kali Muna memujuk menariknya pulang.
Wafa mengatakan “ Ini sudah takdir.Sama sahaja jika si malaikat kecil aku ini berada disisi atau aku diseberang lautan,kalau sudah masanya,dia tetap akan pergi jua.Ya kan?”
Dia langsung tidak merasa memerlukan hiburan orang lain ketika itu.Suaminya tidak terpeta kata tegap berdiri melihat pusara anak kesayangannya.
Tiba-tiba Wafa menjerit sekuat hati “ Aku ibunyaaa!!”
“ Bangunlah anakku.Ibu janji,ibu akan memakaikan tudung buat Wahidah,berilah ibu peluang sekali lagi” rintihnya kesal.

Dia redha.
 
Air matanya terus membanjiri tanah yang menaungi jasad kecil Wahidah.Sungguh,dialah anak tunggal yang tiada gantinya buat Wafa dan Adli.
Hari semakin senja.Burung-burung kembali terbang pulang ke sarang.Bunga-bunga mewangi pun menyaksikan kepulangan mereka berdua.
***
~Sekian,Wallahua'lam~
Harta yang dipinjamkan haruslah dipulangkan semula kepada tuannya yang hak.Begitu juga anugerah harta yang tidak ternilai harganya di dunia dan akhirat.Allah mengurniakan anak yang bersifat sementara buat pasangan suami dan isteri,maka harus Allah mengambilnya semula.
Ranting yang patah mati mustahil boleh dicamtumkan lagi.Perkara yang manusia sering anggap remeh itulah banyak yang menimbulkan kekesalan tiada bertepi dan amat dirasai pabila ia pergi.Bukan segalanya boleh dijual beli.Kasih sayang serta cinta sejati tiada sesuatu yang boleh menjadi pengganti.Ingatlah segala kurniaan Allah dan hargailah sebaiknya sebelum ia kembali ke negeri abadi.
~aku hanya hamba>hati_ARIA<~



Monday, December 28, 2009

~ TIKET KE SYURGA ~

8:25 AM 0 Comments
Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang

Tiket ke syurga

Suatu petang, ketika haziq dan ayahnya sedang minum kopi di anjung rumahnya..

“best betul lah kerajaan negeri Kedah ye ayah”. Haziq memulakan bicara memecah kesunyiaan

“awatnya?” Soal ayahnya inginkan kepastian

“ya la.. xpernah dalam sejarah bola sepak kat Malaysia ni, dapat tengok bola kat stadium free”. Jelas haziq.

ohh.. a’ah.. yang Selangor menang 5-1 hari tu.

“tapi abah, kenapa kata 'free' tapi 'still' kena ambik tiket?” Tanya haziq sambil mengerutkan dahinya.

“yer lah, kalau xde tiket.. takut penonton 'exceed' limit.. mau pecah stadium tuh.”. jelas ayahnya dengan panjang lebar.

“Ooo.. macam tu..” ujar haziq sambil mengangguk-angguk kepalanya tanda faham.

“Tapikan ayah.. ada yang tak dapat masuk..” jelas haziq

“A’aah.. biasalah dah ramai sangat.. xmuat..” jelas ayahnya sambil matanya terkebil-kebil menghirup kopi panas.

“Kesian la kat depa kan ayah, mai jauh-jauh tapi xdapat tiket”.keluh haziq

“Yer lah, kalau datang jauh sekali pun tapi dah sampai lambat.. time kaunter tiket dah tutup.. tiket dah habih.. so xboleh la masuk..” jelas ayahnya.

“Ooo…” haziq mengiyakan kata-kata ayahnya sambil mengangguk-anggukan kepalanya.

“Esok kita mati esok macam tu lah jugak.”

“Maksud ayah?” Tanya haziq minta kepastiaan

“Yer lah.. kita anggap stadium tu syurga. Nak masuk syurga.. mesti ada “tiket”. Walaupun kalau nak ikutkan selagi kita beriman, kompom dah masuk syurga. Tapi kita tetap perlukan tiket.

Erm.. tiket? Soal haziq sambil sesekali menggaru – garu pelipisnya yang tidak gatal.

A’aah tiket… dan tiket tuh pula mesti lah di perolehi sebelum “kaunter di tutup”. Ayahnya menambah.

"Kaunter? Erm.." soal haziq dengan sedikit mulutnya ternganga..keningnya bertambah kerut sambil cuma memikirkan maksud ayahnya itu.

Yer lah… Stadium itu umpama syurga.. kita perlukan “tiket” iaitu pahala. pahala ni kita boleh perolehi sebelum “kaunter ditutup”.

“Ohh…”
haziq mula memahami apa yang dimaksudkan oleh ayahnya.

Kaunter tu pulak tempoh untuk beramal yang kita ada sebelum sampai kiamat. Kalau dah kaunter di tutup yakni kiamat.., xguna segala amal kita selepas tuh.. tambah ayahnya, cuba memahamkan anak sulungnya itu.

“Owh…” Haziq mengangguk- angguk kepalanya sambil tersengih..

Cuma beza antara kaunter tiket nak masuk stadium dengan “kaunter tiket” nak masuk syurga ialah.. kaunter tiket nak masuk stadium hanya ada dekat dengan stadium… selalunya sebahagian daripada banggunan stadium… tapi kaunter tiket nak masuk syurga ada di mana-mana.. so tiket nak masuk syurga.. boleh di dapati di mana-mana.. iaitu amalan ibadah yang kita boleh lakukan bila-bila masa.. dan di mana-mana sahaja. Amal ibadah bukan sekadar terikat pada solat, puasa, zakat, dan haji semata-mata.. tapi keseluruhan cara hidup kita.. sekiranya cara hidup kita mengikut syariat islam.. dan pekerjaan dan kerja buat kita ni semua diniatkan sebagai ibadah kepada Allah swt, maka ia akan menjadi “tiket” kepada kita untuk ke syurga. Terang ayahnya dengan panjang lebar

OOoowh.. macam tu.. tapi ayah.. selalunya kita kerja kan untuk duit.. sebab kalau kita kerja untuk ibadah semata-mata mesti kita tak ambik duit.

Herm.. bukan macam tu haziq.. duit tu hanya hasil. Bukan tujuan. Macam contoh kita sembahyang la.. kerana nak menunaikan tanggungjawab sebagai hamba kepada Allah. Tapi hasilnya kita jugak mendapat tubuh badan yang sihat kerana perbuatan solat tu adalah satu exercise badan.

Owh… tapi ayah.. kalau kita kerja kerana nakkan wang semata-mata, macam mana?

“Kalau kita niat semata-mata wang.. maka dia xdapat la ganjaran pahala.. macam solat tadi lah… kalau dia niat kerana nak exercise badan semata-mata so dia just dapat badan sihat la… tapi tak dapat la pahala.”

“Owh… macam tu…” haziq mula faham apa yang cuba disampaikan oleh ayahnya.

“Ada satu kata-kata: Kalau tanam padi, lalang akan tumbuh sama, Tapi kalau tanam lalang, padi takkan tumbuh sama”..kalau kita cari akhirat.. maka dunia mesti datang sama.. kalau kita dok kejar dunia.. maka akhirat xkan ikut sama.

Ini bukan sekadar renungan buat teman-teman,jua bukan hanya untuk difikir-difikirkan,bahkan sebagai pegangan untuk kita terus laksanakan amalan-amalan yang diredhai Allah sekaligus mencapai matlamat dalam menggapai cinta & syurga Allah….InsyaAllah..Mana yang baik ambil & yang kurang sama-sama perbaiki…


~ "Perkongsian dari "Munajat Sufi ~

Monday, November 2, 2009

~ BUAT PEDOMAN ~

4:19 AM 3 Comments
Bismillah..bersua kembali

" Ya Allah,ambillah kerja-kerja dari kami apa yang perlu kami lakukan di sini..hindarilah kami dari kerja-kerja yang tidak perlu kami lakukan di sini " ...amiinn...

Hati milik siapa?Milik Allah sudah pasti.Namun,apakah yang telah hati kita lakukan hari ini?Apa hadiah istimewa dari hati untuk Pemilik Hati hari ini??Mari bersama kita muhasabah hati.Sekarang,apakah yang dibicarakan oleh hatimu?Pernahkah hati kita curang padaNYA walau sesaat?Jangan tunggu lama-lama!Jom Istighfar(memohon keampunan)!!Taubat & memohon keampunan sebelum hati berhenti berfungsi!!

"Assalamualaikum adik,kakak ingin berkongsi kisah ini".Mesej pendek dari kakak.Penulis menekan 'next'.Tertera kisah yang ingin disuratkan oleh kakak.




ISTERIKU JANNAH

Sebak! Hati ini terlalu sebak. Lutut ini terasa lumpuh untuk menanggung beban yang teramat berat. Tak mampu lagi dipikul oleh bahuku, apatah lagi di usia yang telah agak banyak ini. Kalaulah aku tahu beginilah hatinya, sumpah aku tidak lakukan semua ini. Dia tetap berwajah tenang. Tidak kelihatan walau secalit resah di kelopak mata, di pipinya malah bibirnya. Segalanya masih sama seperti dulu. Aku leka. Leka dengan setiap kehendak hatiku. Semua tingkah laku ku tidak pernah dipersoalkan.

Cuma ketika dia menurunkan tanda tangan keizinan, aku lihat ada titisan air mata gugur di pipinya. Itulah kali terakhir aku lihat dia menangis. Dia tidak menuntut apa-apa dariku untuk dirinya selain dari mengingati aku tentang nafkah anak-anak kami yang seramailima orang. Dia meninggalkan perkarangan mahkamah, setelah sedikit sesi kaunseling selesai. Aku mempelawa untuk menghantar pulang. Dalam senyuman yang kukira dibuat-buat, dia menolak dengan alasan, mulai dari hari ini dia akan belajar untuk mengurus hidupnya sendiri.

Aku tidak ambil pusing dengan perkara itu. Aku meneruskan niatku mengahwini

Normi. Dia tidak sedikit pun membentak bila aku memintanya menggosok sepasang baju Melayu, pakaian pengantinku. Cuma di kala itu aku kehilangan senyuman manja daripadanya. Dia terus berwajah tenang dan syahdu. Sebelum aku melangkah pergi, dia masih seperti selalunya, bersalaman dan mencium tanganku sambil berpesan jaga diri baik-baik.

Aku mengahwini Normi setelah setahun menjalin persahabatan. Aku sendiri kurang pasti mengapa aku tertarik dengan Normi. Cuma yang aku sedar, aku kasihankan kepada anaknya yang sedari awal memanggil aku ayah. Mungkin juga kerana Normi cantik. Perwatakannya yang manja membuatkan ramai lelaki tergoda. Dan akulah yang paling kalah dengan kemanjaannya.

Walau apa pun alasan, antara aku dan Normi memang ditakdirkan ada jodoh, kerana itu kami berkahwin. Walau ibu dan ayahku malah s audara mara menentang hebat kemahuanku. Apa kurangnya Nurjannah, soal mereka. Memang aku akui, tiada cacat celanya Nurjannah. Dia memiliki semuanya. cantik dan seorang perempuan yang lengkap memenuhi ciri-ciri seorang isteri, ibu dan pengasuh anak-anak yang baik. Dia juga pernah menjadi rebutan pemuda sekampung. Di antara mereka, aku orang yang paling bertuah menjadi pilihan Nurjannah. Tuah itu aku sambut dengan penuh rasa kesyukuran. Dia melahirkan zuriatku seramai lima orang. Dia tidak pernah mengeluh keletihan melayan kerenah anak-anak walau aku kurang membantu. Keperluanku juga dijaga sepenuhnya. Tiada apa yang dimusykilkan di hati ini terhadapnya. Segalanya cukup sempurna. Pendidikan agama untuk anak-anakku juga diberikan oleh Nurjannah.

Semua anak-anakku khatam Al Quran di usia sepuluh tahun. Semua itu Nurjannah yang ajarkan. Anak-anakku tahu akan tanggungjawab mengerjakan sembahyang seawal usia enam tahun. Itu juga Nurjannah, isteriku juga yang ajarkan.

Bukan sekadar anak-anak malah aku sendiri pun diuruskan oleh Nurjannah. Ketika aku sedang mandi, pakaian kerjaku dari baju hinggalah ke stokin Nurjannah sudah aturkan. Aku cuma capai sahaja. Ketika aku berwuduk, Nurjannah telah siap membentang sejadah sembahyang. Setiap kali aku pulang kerja, sekurang-kurangnya, segelas minuman telah tersedia di ruang rehat. Nurjannah tidak pernah menyusahkan aku walau menghantarnya ke pasar. Katanya, dia boleh pergi sendiri. Selama sebelas tahun hidup bersamanya,

Nurjannah faham benar seleraku. Selama sebelas tahun itu juga seingatku tidak pernah sekalipun Nurjannah menyakiti hatiku.

Menjelang hari-hari perayaan, ketika rakan-rakan sepejabatku mengeluh kerana isteri di rumah minta menukar langsir baru, Nurjannah isteriku di rumah terbongkok-bongkok mencuci langsir lama. Bila kami diberi bonus tahunan oleh majikan, rakan-rakanku resah kerana isteri masing-masing turut meminta imbuhan untuk membeli seutas dua barang kemas. Tetapi isteriku Nurjannah tidak pernah meminta semua itu. Nurjannah menasihati aku agar menyimpan wang lebihan. Untuk kegunaan masa depan katanya. Akhirnya aku menggunakan wang simpanan tersebut untuk perkahwinanku dengan Normi, madu Nurjannah. Setelah berkahwin dengan Normi, barulah aku merasai segala masalah seperti yang dihadapi teman-teman sepejabatku. Apa nak buat, terlajak perahu boleh diundur, terlajak perbuatan sepahit mana sekalipun, terpaksalah ditelan jua. Apatah lagi aku dan Normi telah dikurniakan seorang cahaya mata.

Sepanjang perkahwinan dengan Normi, aku memang jarang-jarang sekali pulang ke rumah Nurjannah. Kadang-kadang seminggu sekali, kadang-kadang sebulan sekali.. Itupun untuk memberi wang perbelanjaan anak-anak. Nurjannah tetap dengan sifat sabarnya. Walau aku memperlakukannya sedemikian, dia tidak pernah marah-marah apalagi mengamuk. Setiap kali kepulanganku, dia sambut tanpa secebis riak kemarahan. Bersalam dan mencium tanganku. Dia tetap menyediakan makanan kegemaranku. Cuma yang amat aku terasa, aku ke! hilangan senyuman mesranya. Dia pernah meminta izinku membantu abangnya yang berniaga di kedai runcit berhampiran dengan rumah kami.

Aku sedar, mungkin perbelanjaan harian dariku tidak mencukupi, tetapi aku buat-buat tidak tahu. Lagipun Nurjannah tidak pernah menyebutnya. Aku lihat tubuhnya kurus sedikit. Aku bertanya padanya apakah dia sakit atau ada apa-apa masalah. Namun dia hanya menggeleng kepala.

Aku tidak pasti reaksi anak-anak terhadapku setelah aku berkahwin lain. kelima-lima anakku dengan Nurjannah tidak pernah menunjukkan tanda-tanda membantah atau marah. Cuma antara kami kurang mesra, mungkin kerana sudah jarang berjumpa. Alhamdulillah aku punyai anak-anak sebaik Nurjannah.

Kelima-lima anakku sudah berjaya. Semuanya sudah menjejaki menara gading. Terasakan begitu cepat masa berlalu. Anak-anakku sudah menjangkau dewasa.

Fakhrul pu la pegawai di jabatan kerajaan, Farihin seorang guru dan Farina telah tamat dan majlis konvokesyennya akan diadakan dua hari lagi. Aku pulang hari ini, di atas permintaan Farina agar aku dan ibunya hadir di majlis bersejarah baginya.

Seingat aku telah dua bulan aku tidak menjengah Nurjannah. Namun kepulanganku tetap disambut baik oleh Nurjannah. Bersalam dan mencium tanganku seperti dulu-dulu. Dia tidak pernah menunjukkan riak kurang senang padaku. Walhal sudah banyak perkara yang telah aku lukai hatinya, namun sukar untuknya menunjukkan rasa memberontak. Kesabarannya banyak mengajarku apa erti kesetiaan seorang suami. Aku akui bukan seorang suami yang adil. Adil dalam mencurahkan kasih sayang. Mungkin juga pengaruh isteri mudaku, namun aku tidak menyalahinya. Keterlanjuranku mengahwini memberi satu perbandingan yang nyata antara keduanya.

Namun kesalahan masih berpihak padaku seolah-olah tidak mampu untuk berlaku adil.! Hari ini Nurjannah memasak lauk kegemaranku, udang masak lemak cili padi.. Selera sungguh aku makan. Suasana di meja makan sunyi sepi. Fariza yang juga makan bersama kami, aku lihat asyik menyuap nasi ke mulut.

Nurjannah membisu seribu bahasa dan aku sendiri bagai kehilangan cerita. Sebenarnya jauh di sudut hati, aku terlalu lama rindukan gelak tawa Nurjannah.

Entah kenapa hari ini aku kehilangan punca mencari kemesraannya. Sesudah makan malam aku duduk-duduk di ruang tamu di samping Fariza. Nurjannah menghampiriku sambil menghulur satu sampul surat berwarna jingga. Aku masih ingat, itulah sampul surat kad undangan perkahwinanku dengan Normi.

Aku bagaikan tersentak. Borang permohonan cerai. Telah lengkap diisi hampir terlepas dari tanganku. Aku terpempan. Terkedu.

Hilang sudah segala kekuatan yang ada. Aku cuba menolak rasa sangsi. Adakah aku berdepan dengan realiti atau sebaliknya. Aku lihat reaksi Nurjannah, tenang dan bersahaja. Ada sesuatu yang ingin diutarakannya. Aku menunggu dengan sabar, mahu penjelasan yang wajar darinya. "Bang, lapan belas tahun yang lalu, Jannah dengan rela hati menandatangani borang permohonan poligami, Jannah harap abang juga boleh lakukannya sekarang," pintanya dengan suara yang aku rasakan bagai belati menghiris hati. Rasanya ingin gugur air mata lelakiku.

Namun kutahan. Adakah ini balasan untuk pengorbanan yang telah kau lakukan. Kukira langkah mu tidak akan terlanjur sejauh itu. Nurjannah, barangkali beginilah deritanya hatimu dulu, ketika mahu melepas pergi orang yang dikasihi..

'Jannah tak mahu abang terus dihumban dosa kerana sememangnya abang tidak pernah berlaku adil. Selama ini pun Jannah hanya tak mahu kehidupan anak-anak kita terganggu lantaran sikap kita. Jannah rasa pengorbanan Jannah sudah sampai ke penghujungnya. Lagi pun kesabaran Jannah sudah tinggal sia-sia. Jannah tidak mahu jadi isteri derhaka apabila kesabaran sudah tiada lagi. Anak-anak kita pun sudah dewasa, mereka sudah boleh hidup sendiri," Nurjannah bersuara lagi tanpa sebarang riak api kebencian kepadaku.

"Kami adik beradik telah lama kumpul wang untuk hantar ibu tunaikan fardhu haji tahun ini," sambung Fariza. Aku merenung mata Fariza dalam-dalam. Lama. Sehinggalah Fariza bersuara. "Kami bukan tak mahu hantar ayah ke Mekah, tapi kalau ayah pergi nanti, siapa nak jaga mak cik Normi, kan ayah tak pernah tinggal mak cik Normi sorang-sorang."

"Jannah, abang tak mahu kehilangan Jannah, biar abang tinggalkan Normi,"

pintasku cuba melerai! kekusutan yang membelit diri.

"Sejauh mana sekali pun abang tinggalkan Normi, hati Jannah tetap terluka.

Tanda tangan borang tu bang," pinta Nurjannah sungguh-sungguh.

Aku rasakan itulah dentuman petir yang paling kuat pernah memanahi pendengaranku dan beban yang teramat sarat yang menghempap bahuku.

Tiba-tiba aku terkenangkan sejadah yang sering dihampar oleh Nurjannah isteriku. Dengan langkah yang longlai aku mengambil wuduk, Nurjannah hanya memerhati dari jauh. Di dalam bilik sembahyang aku mencari-cari sejadah yang terbentang. Tiada. Aku jatuh terduduk.

~Apa kata hati anda?~

~WAllahua Ta'ala A'lam~

-kisah benar yg diceritakan dari hati seorang suami-