Thursday, June 14, 2012

SUAMI DAN FACEBOOK ISTERI

4:04 AM 0 Comments
Soalan:

Salam ustaz, saya seorang suami. Saya amat berbesar hati sekiranya ustaz dapat memberikan saya jawapan dan penjelasan atas soalan-soalan saya di bawah:


1. Sekiranya seorang isteri mempunyai akaun jaringan sosial seperti facebook, yahoo 

messenger, email peribadi dan seumpamanya, patutkah seorang isteri tersebut memberikan akses kepada akaun akaun tersebut kepada suaminya agar dapat berkongsi sama melihat kandungan, rakan, gambar, nota, korespondences yang terdapat di dalamnya?

2. Haruskah seorang isteri berkongsi alamat email peribadi kepada lelaki lain yang bukan muhrim walaupun atas dasar berkawan?

3. Haruskah seorang isteri menerima tawaran atau panggilan untuk mejadi kawan/sahabat dari lelaki yang bukan muhrim melalui jaringan social atau email seperti diatas?


4. Salahkah seorang suami meminta seorang isteri meberitahu suaminya sekiranya si isteri ada menerima panggilan atau tawaran dari lelaki lain untuk menjadi sahabat atau rakan dari jaringan social atau email?


5. Sekiranya si isteri tidak bersetuju dengan nasihat dan pandangan suami atas perkara-perkara diatas, apakah yang patut dilakukan oleh si suami?
 

6. Adakah seorang suami itu bersikap terlalu cemburu kepada isterinya sekiranya si suami berpandangan sedemikian?


Wassalam.




Jawapan:

1. Wajib suami menjaga ahli keluarga (isteri dan anak-anak) dari perkara yang boleh memabawa mereka kepada dosa yang akhirnya membawa ke neraka. Firman Allah; “Wahai orang-orang beriman, selamatkanlah diri kamu dan ahli keluarga kamu dari api neraka” (Surah at-Tahrim, ayat 6). Di antara yang dipesan oleh Rasululllah ialah berhati-hati dalam memilih kawan sebagaimana sabda baginda ; “Seseorang itu berada di atas agama kawannya, maka hendaklah setiap dari kamu memerhati dengan siapa dia berkawan” (HR Imam Abu Daud dan at-Tirmizi dari Abu Hurairah. Menurut at-Tirmizi; hadis ini hasan). Facebook adalah jaringan kawan-kawan dan kenalan, maka suami mempunyai hak untuk memantau dengan siapa isteri dan anak-anaknya berhubungan demi membolehkannya melaksanakan kehendak ayat dan hadis tadi.

2. Suami tidak boleh terlalu menyekat isteri dari bergaul dengan orang sekeliling terutama berhubungan dengan keluarga dan rakan-rakan wanita yang solehah. Namun suami wajib menegah isteri dari terlibat dengan hubungan yang dilarang agama seperti hubungan dengan lelaki yang bukan mahram tanpa ada keperluan, bergaul denagn wanita-wanita fasik (yang tidak menjaga agama), bertandang ke tempat maksiat atau yang mendorong kepada maksiat. Suami mempunyai hak untuk menegah isteri dari terlibat dalam pergaulan sedemikian dan ia termasuk dalam kewajipan mencegah munkar (atau menutup ruang kepada mungkar) dengan kuasa yang dimiliki. Sabda Nabi; “Sesiapa dari kamu melihat kemungkaran, hendaklah ia mengubahnya dengan tangannya. Jika tidak mampu, dengan lidah. Jika tidak mampu, dengan hati dan ia adalah selemah-lemah iman” (HR Imam Muslim dari Abi Sa’id al-Khudri). Menurut ulamak; antara maksud mencegah dengan tangan ialah menggunakan kuasa yang ada untuk mengubah kemungkaran. Dinisbah kepada keluarga, bapa atau suami adalah orang yang berkuasa ke atas ahli-ahli keluarga.

3. Syariat Islam amat mengambil berat hubungan antara lelaki dan perempuan yang ajnabi (yakni yang tiada hubungan mahram atau hubungan suami-isteri) di mana ia menyempitkan hubungan dan pergaulan antara keduanya hanya kepada keperluan sahaja (bukan kebebasan). Ini kerana kebebasan akan mendorong kepada zina. Ini sebagaimana kata Nabi; “Tidak berduaan seorang lelaki dan seorang wanita melainkan syaitan akan menjadi orang ketiga” (HR Imam at-Tirmizi dari Ibnu ‘Umar). Jadi, apabila seorang lelaki dan wanita bebas berhubung dan bercating, syaitan akan membisikkan kepada setiap mereka dan menimbulkan ghairah dan seronok, lalu ingin bertemu dan akhirnya terjerumuslah ke dalam maksiat sekalipun telah bersuami. Kejadian ini tidaklah asing lagi hari ini.

4. Islam tidaklah menyekat kebebasan umatnya, namun Islam memberi peringatan; kebebasan yang terlalu luas akan menjahanamkan. Oleh itu suami perlu mengimbangi kehidupan keluarganya antara kebebasan dan sekatan. Jangan memberi kebebasan tanpa batasan dan jangan pula terlalu mengongkong. Terbaik ialah pertengahan. Suami boleh membenarkan, tetapi pada masa yang sama perlu bertegas dalam perkara tertentu. Sebagai contoh, bila isteri minta nak berlaman sosial, suami menjawab; “Boleh, tetapi saya hanya benarkan dengan wanita sahaja dan jika lelaki, saya hanya benarkan dengan keluarga sahaja”.

5. Sikap cemburu suami jika berasas, itu adalah tanda iman. Namun cemburu tanpa berasas, itu adalah tanda penyakit hati. Sabda Nabi –sallallahu ‘alaihi wasallam-; “Cemburu ada dua; satunya disukai Allah dan satu lagi dibenci Allah. Cemburu jika berpunca dari keraguan/kegusaran, ia disukai Allah. Namun jika tidak datang dari sebarang keraguan, ia dibenci Allah” (HR Imam Ahmad, at-Thabrani dan al-Hakim dari ‘Uqbah bin ‘Amir. Menurut as-Suyuti; hadis ini soleh. Lihat; al-Jami’ as-Saghier, hadis no. 5783). Menurut ulamak; maksud cermburu tanpa keraguan ialah cemburu buta, yang timbul dalam hati tanpa sebarang sebab iaitu semata-mata buruk sangka dari suami terhadap isteri atau dari isteri terhadap suami (Faidhul-Qadier). 

Di dalam hadis, Rasulullah bersabda; “Tidak akan masuk syurga lelaki yang dayus” (HR Imam at-Tayalisi dari ‘Ammar). Maksud dayus ialah; lelaki yang hilang perasaan cemburu terhadap nilai dirinya di mana ia tidak kesah siapa lelaki yang bersama dengan isteri atau anak perempuannya, dengan siapa mereka keluar dan ia tidak mengambil berat akhlak dan tingkah laku mereka (al-Fiqh ‘Ala al-Mazahib al-Arba’ah). Sabda Nabi juga; “Tiga manusia akan diharamkan Allah dari syurga:


1. Orang yang ketagih arak
2. Orang yang menderhakai dua ibu-bapanya
3. Lelaki yang dayus, iaitu yang berdiam diri atau menyetujui perbuatan zina yang di kalangan ahli keluarganya

.
(HR Imam Ahmad dari Ibnu ‘Umar. Hadis Soheh. Al-Jami’ as-Saghier, no. 3503)

Wallahu a'lam. 



Rujukan:

1. Faidhul-Qadier, Imam an-Minawi, Syarah hadis no. 5783.
2. Fatawa Dar al-Ifta’ al-Misriyyah, 10/172.
3. Al-Fiqh ‘Ala al-Mazahib al-Arba’ah, Syeikh Abd Rahman al-Jazairi, juz. 5.


Oleh : 
ilmudanulamak.blogspot.com


Thursday, June 7, 2012

BUBUR NASI ISTIMEWA

2:54 AM 0 Comments



Bismillah. Semoga teman-teman sihat hari ini. 

      Resepi ini agak istimewa kerana pada asalnya saya akan memasak bubur nasi ini buat sahabat-sabahat yang sakit di mana mereka memerlukan penjagaan yang sangat rapi termasuk pemakanannya. Sahabat saya yang sakit gigi, sakit perut, berpantang selepas bersalin dan lain-lain bertambah pulih serta berselera dengan bubur nasi ini. Alhamdulillah. 



     Ianya istimewa kerana bubur nasi ini akan bertukar resepinya mengikut keadaan pesakit. Lebih istimewa lagi bubur nasi ini dimakan oleh orang yang saya kasihi. Walaupun hakikatnya saya bukan seorang doktor, namun saya cuba mencari ikhtiar selain ubat-ubatan agar sahabat-sahabat cepat sembuh dengan izin-NYA.

     Teringat nasihat Ibnu Rushd tentang penjagaan kesihatan. Artikalnya ada menyentuh mengenai makanan yang baik juga adalah bermula dari proses penyediaannya yang baik agar penghadamannya juga baik. Memilih jenis ayam, daging atau ikan yang mudah dihadam dan sebagainya.

     Ada teman-teman yang bertanya resepi ini. Maka, saya kongsikan di sini. Para bapa yang ingin memasakkan buat isteri tercinta yang sedang sakit atau berpantang pun boleh.
Air tangan sendiri. Simple & easy. Tak perlu beli di kedai lagi. Selamat mencuba. 

Moga berjaya !


Bahan-bahan :  

1- Beras 1 cup 
2- Air putih
3- Lobak merah 
4- Sayur brocolli
5- Daun Sup
6- Sup bunjut
7- Bawang putih 
8- Bawang merah 
9- Halia 5 inci
10- Ayam atau daging dipotong dadu


Cara :

1- Masak nasi atas api seperti biasa. Masukkan ayam. Kemudian tambahkan sedikit demi sedikit air mengikut kepekatan bubur yang kita mahu.
2- Masukkan bawang merah & putih yang siap dicincang. Halia yang diketuk. 
( Tak mengapa jika bawang putih terlebih, rasanya lebih sedap & harum ) .
3- Biarkan beberapa minit.
4- Masukkan sup bunjut. 
5- Bila nasi agak lembik & air masih ada, masukkan sayur yang dicincang. Kacau & biarkan.
( kurangkan sayur brocolli dari lobak merah untuk mendapatkan rasa yang seimbang )
6- Masukkan daun sup.
7- Masukkan garam. Kacau dan masak nasi sehingga hancur lembik & rasanya sebati. Harum.
8- Siap. Hidangkan panas-panas.


Nota : 

1- Jika pesakit tidak boleh makan ayam atau daging, maka tidak perlu dimasukkan.
2- Boleh juga dimakan bersama sambal merah, sambal kicap dan sebagainya.
3- Cadangan hiasan pelengkap : daun sup, bawang goreng atau kentang goreng 'kentucky' yang dihiris kecil.







I 17 Rejab 1433 I
I   7 Jun 2012   I
I Bayt Dzuu Fadhleen I

Monday, June 4, 2012

HARAPAN YANG TERLAFAZ

2:37 PM 0 Comments

الله أكبر و لله الحمد




Semasa orang lain semuanya tidur nyenyak..

Ya Allah, aku bangun mengetuk pintu-MU  membawa unggun harapan

Aku merayu padaMU sepanjang malam

Bagaimana pedihnya penderitaan yang ku pikul



Aku bermadah..

Wahai Tuhan, kerana Engkau adalah tumpuanku


Bila saja bala menimpa

Bahawasanya Engkau sajalah tempatku berpaut

Aku mengadu padaMu aneka penderitaan

Engkau tentu mengetahui sepenuhnya

Kesabaranku sudah mulai luntur

Daya tenagaku sudah mulai lesu


Oleh itu padaMU Ya Allah aku menadah tangan dengan cukup hina

Kerana Engkau Zat yang memang layak sepenuhnya untuk ditadah

Bantulah Ya Rabbi, jangan biarkan tadahanku tidak berisi

Limpah kurniaMu seluas lautan

akan memuaskan siapa saja yang menghirupnya.








Nota : Syair arab yang di bacakan dalam Himpunan Expresi Hijau Ke Putrajaya oleh Tuan guru Dato' Bentara Setia Hj Nik Abdul Aziz Nik Mat. 

Monday, May 21, 2012

Bimbing Diri Menuju Cinta-NYA

4:04 AM 0 Comments





Assalamu’alaikum w.b.t

Mudah-mudahan semua sahabat berada dalam keadaan yang baik.

Ana mohon ruangan ini untuk berpesan kepada diri ana serta sahabat-sahabat semua agar kita sentiasa istiqamah dalam melakukan amal soleh. Kita telah saksikan peringatan-peringatan yang disabdakan oleh Nabi kita SAW bahawa kita telah berada di satu zaman terakhir sebelum berlakunya kiamat. Tanda-tanda kecil yang disebutkan oleh baginda SAW telah berlaku di hadapan kita sendiri, hanya menanti detik munculnya tanda-tanda besar kiamat.

Ketika itu, sangat dibimbangi sekiranya ibadah wajib yang kita lakukan masih lagi berada di tahap sekadar-kadar, dan tak terasa sebagai seorang hamba yang memerlukan Tuhannya. Anggota zahir bersujud kepada Allah, namun hati tidak sama-sama sujud mengagungkan Allah. Bentuklah diri kita bermula dengan hati. Sentiasa bertaubat kepada Allah dan bersedia untuk kehidupan kita yang sebenar di sana nanti.

Lihatlah di sekeliling kita, saban hari dari kenalan kita, sanak saudara serta ahli keluarga kita, kembali menemui Allah. Terukir dalam sejarah akan manusia-manusia yang melakukan kejahatan serta kezaliman di muka bumi ini, mereka telah kembali kepada Allah Raja segala raja. Yang sabar serta istiqamah dalam amal yang soleh, juga kembali bertemu dengan Kekasihnya Rabbul Jalil. Maka pada saat semua makhluk dihimpunkan di bumi mahsyar itu,  bersedialah untuk dihitung segala amal perbuatan yang telah kita lakukan.

Tiada lagi yang berharga melainkan lafaz-lafaz kalimah memuji Allah, lafaz istighfar yang dirasakan seakan tiada nilai ketika di dunia dulu kini mnjadi penyelamat dari bakaran jahannam.

Firman Allah yang bermaksud :

” Dan tiap-tiap manusia Kami kalungkan bahagian nasibnya di lehernya, dan pada hari kiamat kelak, kami akan keluarkan kepadanya kitab (suratan amalnya) yang akan didapatinya terbuka (untuk ditatapnya) Lalu Kami perintahkan kepadanya; “ Bacalah kitab (suratan amalmu), cukuplah engkau sendiri pada hari ini menjadi penghitung terhadap dirimu (tentang segala yang telah engkau lakukan).”  { surah Al-Isra’ ayat 14 dan 15 }


Berkata Syeikh Ibnu Ato’illah dalam kitab Hikam :
“ Maka orang yang sempurna akal ialah yang lebih suka(gemar) pada apa yang kekal daripada yang rosak(lenyap),kerana telah terang nur hatinya dan tampak tanda-tanda bukti nur itu pada seri mukanya. ”


~ Bimbinglah diri kita menuju cinta-NYA ~


Ahmad Kailani Zahari
Presiden
Majlis Perwakilan Mahasiswa Malaysia Jordan (MPMMJ)
Sesi 2012/2013


Artikal asal : MPMMJ