Sunday, June 7, 2009

~BILA CINTA BERTAUT,RINDU MENJEMPUT~

8:09 AM 0 Comments

Rindu tertikam

Sunyi mendakap dalam

Bila CintaMU mengetuk
tersebak jasadku
Bila kisahmu menyentuh
menangis tenang kalbuku


Hatiku berdenting memanggil
jiwaku berlutut dalam diam

tak terpeta kata..
memanggil sayu membisik rindu

Takkan kugapai cintaMu tanpa pimpinan
Penyelamat itu telah Kau lahirkan

Terangkat dirimu sebaik keturunan
Tahun gajah membawa kemunculan
Kota Mekah ingin ditawan
Ababil hadir memusnah percubaan

Kehadiranmu..
suatu keajaiban
suatu pemulihan
tanah gersang menghijau riang
ternakan gering kelihatan senang

Dirinya yatim tika dilahirkan
tanpa ayah sayu perasaan
perginya ibu kasih kesepian
ibu susuan pengganti kedukaan..

Sayangnya datuk cucu warisan
syahdu..kasih tiada berpanjangan..

Rebah jasadmu tiada degupan
Dada dibelah suatu kemaksuman
Teman sepermainan lari bertempiaran
Khabar dilayang tanda kenabian..

Kembara..
Dalam keresahan ada ketenangan
Dalam kegundahan ada kelapangan
Dalam kegelisahan ada ketenteraman
Dalam ujian ada ketabahan..
Langkahmu terus diatur,di alam penuh lakonan
Menjejak bumi Syam,mengutip rezeki Tuhan
Bapa saudara menjadi teman

Jelmaan kerisauan..
Ketemu Buhaira cerita dirungkai
Tentang tanda..tentang kedatangan
Tentang amanah Tuhan
Bakal terkesima pentas lakonan

Al-Amin gelaran pantas buatmu
Dijemput berjasa dalam perniagaan
Melimpahnya untung seiring ketulusan
Mampu merampas hati Sang Bidadari
Ikatan diredhai,cinta bersemi
Hakikat..dialah permata hati
peneman setia dijalan liku dakwah..menjadi matlamat suci

Gua Hira' tapak kedamaian
Ber'uzlah beribadah sediakala
Hingga tiba amanah dariNya
Didakap erat dirangkul ketat..
Bacalah!!
Tiada kumengerti membaca!!

Tatkala itu..
uratnya kaku membeku
rantaian pintu sinaran terbuka
Angin berlari memeluk tubuh
hatimu gegar jasad diselimuti
Namun permata hati pendamai sanubari

Dia mentarbiyah..dia berjihad & berdakwah
tanpa helah
sedangkan..betapa kotornya paluan penyerang..
kejinya budi insan pendengki
Selamatkanlah dirimu dari api neraka!!
Jauhkanlah dirimu dari api neraka!!
tapi yang tinggal..hanyalah derhaka..

Engkau mengadu padaNYA..saksikanlah..
Mencari perlindungan Thaif dituju
Dicemuh seruan tak gundah keimanan
malah bisa menelan cercaan
mengecam berhala ditentang habis-habisan
Quraisy menjaja wanita
melaris pangkat dan harta
tujuan busuk dibalik tabir pelawaan


Mengapa dirinya?Mengapa dia?
Tidakkah dia pendakwah dan parajuit ke jalanNYA?
Oh..besarnya pancaroba
Seteru-seteru terus memburu
hitam datang lagi..cuba memaku
lebih gelap berdebu
Diri diserah menongkah ombak duniawi
kadang menerkam membaham diri
tapi..itulah suratan Illahi
tiadanya kepayahan tiadalah bukti perhambaan
tiada gentar menghimpit..kerna tepisan cahaya
pancaran kilauanNya

Gegar..getar
Uhud saksi ketabahan
Badar meletus tanda keberanian
Khandak tersenyum dari kebijaksanaan
sanggup kau redahi semua samudera
Kaulah mujahid tarikan dunia..

Buatmu diri yang dirindui
tak bisa kulakarkan kisah silammu
zaman kegemilangan itu
pada warkah ini
Tiada kudrat ku ukir indah setiap perjuangan
dan pengorbananmu..
Sekalipun kulukis ketabahan,
kesabaran..keadilan
dalam goresan..
sebagai tanda kesucian yang mempererat jiwa
Engkau tetap yang termulia..

biarpun kusedar..siapa diriku..
walau dirimu tak pernah kuketemu
tak pernah jua kutatap wajahmu
jauh sekali mendengar suaramu
seribu tahun kan tetap kutunggu..

Tapi dunia hari ini..
Pilu..sayu..
Ramai muslim lupa akhirat
Kesibukan dunia yang sarat
Khayalan melampau melekat
Sedangkan peritmu tiada diingat..

Ya Allah!!..takut..gusar..akan kutetap thabat..
Agar bisa ku beroleh syafaat..

Detik itu
Payah..tidak akan diganti..
tidak bisa sekali
Burung keriangan bertapak kaku..
Hancur luluh hatinya lembutlah jiwanya
untuk Abu Bakar menerima,
dia sahabat paling setia..
jiwanya semata terpaku,
Singa Allah tergamam bisu..
bahkan sukar mempercaya andai ia palsu belaka..
Manik-manik jernih jatuh membanjiri
linangan air mata mengiringi..
pemergianmu..tubuh kaku yang amat dicintai

Betapa dia sangat mencintai
Umatku!!Umatku!!

Kita kan sanggup berjuang..sanggup mati keranaNya
Kita kan sanggup berkorban..sanggup menderita demi cinta keranaNya
Jika Dia kita kenali
Jika Dia kita fahami..

Dijemput teman tika kebuntuan
mengusir kekosongan peneguh keperibadian
menjadi rujukan dikala kejahilan
layakmu..guru memanah cinta Ar-Rahman..

Padamulah mengalir segala sinaran
disetiap tatapan
disetiap ruangan
walau tanpa rembulan..

Takkan kulepas,kan terus kugenggam
Mungkin harus ku patri mati wasiatmu
duhai Nabiku..Muhammad b Abdullah
Tanda cintaku padamu ya Rasulullah..


" Sollu a'lan Nabi "

" Ya Allah,tatkala bahang MahsyarMu menjilat tubuh,izinkan kami sama berteduh.Tatkala mizanMu meneliti mengira,beratkanlah neraca kami atas setiap setiap jasa.Naungi kami di sana,berkat kasihMu semata.."


Note : Alhamdulillah,puisi ini telah mendapat tempat kedua dalam pertandingan puisi sempena Maulidur Rasul di bawah kelolaan Majlis Perwakilan Pelajar Malaysia Sejordan pada tahun 2009.


WAllahua'lam
~hati_ARIA~