Pengikut yang menemani..

FIQH - IVF ( In Vitro Fertilisation ) ( 2 )


Hukum syarak tentang perbincangan ini :

Situasi yang pertama : Hukum persenyawaan air mani daripada pasangan suami isteri dilakukan, selepas itu dikembalikan embrio tersebut ke dalam rahim si isteri.
Pendapat yang pertama : HARUS mengikut pandangan Majma’ al-Fiqh al-Islami[1] . Harus melakukan kaedah IVF dalam situasi ini dan ini merupakan pandangan kebanyakan ulama’ masa kini dan juga keputusan Persatuan Kedoktoran Islam.[2]
Pendapat yang kedua : Tiada keharusan dalam melakukan IVF walaupun dalam situasi ini, dan pandangan ini adalah pandangan yang mengHARAMkannya.
Pendapat yang paling rajih merupakan pendapat yang pertama. Dalilnya ialah :-
·         Sesungguhnya jelas di sini pensabitan nasab kepada kedua ibu bapanya (suami isteri tersebut) kerana sumbernya(sperma dan ovum) datang daripada mereka. Oleh sebab anak itu mendapat nasabnya maka, dia berhak untuk disabitkan hak pewarisan dan hak lain-lain sperti anak-anak yang dilahirkan melalui kaedah normal.
·         Perbuatan persenyawaan di luar rahim disempurnakan dengan menggunakan air mani pasangan suami isteri, kemudian di masukkan ke dalam rahim isteri, ini merupakan gambaran atau ibaratnya sama sahaja seperti melakukan persetubuhan normal oleh suami isteri, yang anak itu dinasabkan kepada pemilik sperma dan telur tersebut.[3]
·         Memiliki zuriat merupakan salah satu tujuan perkahwinan dalam islam, dan kaedah IVF merupakan salah satu cara untuk mencapai kepada tujuan tersebut.
·         Ini merupakan salah satu cara untuk merawat masalah tidak dapat melahirkan anak (sama ada masalahnya daripada pihak isteri mahupun suami) dengan syarat sperma dan ovum mestilah daripada pasangan suami isteri yang sah.
Para ilmuan fiqh telah menetapkan keharusan dalam IVF bagi situasi ini dengan syarat seperti berikut :
·         Penyempurnaan perbuatan IVF ini adalah dengan kerelaan pasangan suami isteri dan pada waktu hubungan suami isteri masih kekal(belum bercerai).
·         Doktor yang melaksanakan kaedah ini perlulah daripada kalangan doktor Muslim yang boleh dipercayai dalam agama dan ilmu kedoktorannya.[4]
·         Mempunyai jaminan yang sangat cukup daripada berlakunya percampuran nasab.[5]

Situasi yang kedua : Hukum persenyawaan air mani daripada pasangan suami isteri dilakukan, selepas itu embrio tersebut diletakkan ke dalam rahim isteri kedua (kes poligami).
Kebiasaanya keadaan ini berlaku apabila perempuan yang mendermakan telurnya mengalami masalah kesihatan, seperti rahim lemah atau dengan kehamilan itu akan menyebabkan dia mendapat masalah kesihatan serta sebab-sebab lain. Untuk gambaran situasi ini, insyaAllah kita akan bincangkan dalam fasal yang ketiga.

Situasi ketiga – kesembilan:
Dalam situasi berbaki ini, ia melibatkan individu selain suami isteri yang sah. Maka TIDAK BOLEH melakukannya, dan ia merupakan perbuatan yang diHARAMkan syarak kerana ia boleh menyebabkan masalah percampuran nasab dan menghilangkan sifat keibuan yang sebenar. Bahkan ia membawa kepada kerosakan yang sangat besar terhadap dunia.
Dalil HARAM terhadap baki situasi IVF :
·         Diriwayatkan oleh Rasulullah S.A.W : “Tidaklah halal bagi sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, menyiram benihnya kepada tanaman lelaki lain.”[6]  Ini untuk mengelakkan berlaku hasil yang merosakkan nasab.
Maka, hadis ini melarang meletakkan air mani dengan cara situasi yang ketiga hingga yang kesembilan atas dasar takut-takut berlakunya percampuran nasab, dan tidak diketahui kepada siapa untuk menasabkan anak yang lahir dalam cara ini.
·         Hadis yang diriwayatkan oleh at-Tirmizi dalam sunannya daripada Syatir bin Syakil daripada ayahnya berkata : “Aku datang kepada Nabi yang mulia, maka aku berkata, wahai Rasulullah : Ajarkanlah aku perkara yang aku perlu berlindung daripadanya”, Maka bersabda Rasulullah “Katakanlah : Allah sesungguhnya aku berlindung denganMu daripada kejahatan pendengaran, penglihatan, lisan, hati dan mani.”[7]
Secara zahirnya hadis ini menyatakan ‘kejahatan mani’ yang memberi maksud berlindung daripada melakukan persetubuhan yang haram, dan juga ditafsirkan sebagai penggunaan yang haram iaitu seorang lelaki meletakkan air maninya ke dalam rahim bukan isterinya dan ini merupakan hakikat dalam gambaran melakukan IVF kepada mereka yang tidak mempunyai ikatan suami isteri.
·         Sebarang hubungan antara perempuan dan lelaki yang tidak berlandaskan hukum syar’ie merupakan hubungan yang sia-sia dan diharamkan oleh syarak.[8]
·         Tidak sah disisi syarak seorang lelaki memasukkan air maninya ke dalam rahim perempuan yang tidak halal untuknya, dan ini (walaupun dengan cara IVF) menyerupai kepada perbuatan zina (dari segi hasilمن حيث المآل ) iaitu anak yang lahir bukan dari ikatan suami isteri yang sah.

Masalah 1 : Hukum Syarak dalam hak pewarisan kepada anak hasil IVF yang dilakukan selepas kematian suami :

Gambarannya : Telah sempurna persenyawaan luar rahim (tabung uji) dengan benih suaminya yang telah meninggal dunia sebelum sempat meletakkan embrio tersebut ke dalam rahim si isteri, namun si isteri tetap meletakkan embrio tersebut ke dalam rahimnya walaupun setelah kematian suaminya. Bagaimanakah hak pewarisan kepada anak yang dihasilkan melalui perbuatan ini?
Hukum memasukkan embrio yang telah disenyawakan diluar rahim selepas kematian suaminya adalah HARAM. Dan perempuan ini boleh dijatuhkan hukuman ta’zir.
Ini kerana, hubungan perkahwinan antara dia dan suaminya telah berakhir dengan sebab kematian suaminya. Oleh itu, memasukkan air mani ke dalam rahimnya waktu ini adalah tidak sah.[9]

Hukum syarak dalam pewarisan anak yang dilahirkan dengan cara ini adalah seperti berikut :-
Anak ini TIDAK BOLEH mendapat hak pewarisan kerana ia adalah hasil persenyawaan selepas kematian suaminya, dan mereka yang bersetuju dengan pandangan ini ialah daripada kalangan Hanafiah[10] dan juga Syafi’iah[11].
Ibnu Abidin al-Hanafi menyebut :

[12]أنه مما جرى مجرى الوطء ما لو استدخلت مني زوجها في فرجها

Dapatlah difahami di sini, persenyawaan pada hukum syarak samalah dengan hukum bersetubuh, dan seorang lelaki hanya boleh melakukan persetubuhan ketika hayatnya, bahkan mustahillah sekiranya persetubuhan boleh dilakukan selepas kematian. Sepertimana yang kita ketahui, dengan persetubuhan inilah terbinanya nasab terhadap anak yang dilahirkan, akan tetapi dalam hal ini persenyawaan selepas kematian suami maka di sana tidak terbinalah nasab, penafian nasab anak ini kepada bapanya (pemilik sperma) memberi makna kepada penafian pewarisan juga.
Para Fuqaha’ telah meletakkan kaedah dalam pewarisan : Jika telah dithabitkan nasab, maka boleh keatasnya mendapat hak warisan harta[13]. Kerana inilah anak yang dilahirkan dengan cara ini tidak berhak untuk mendapatkan hak pewarisan di sisi al-Hanafiah.
Kesimpulannya, anak yang berhak mendapat hak nasab ialah yang lahir dari hasil persenyawaan luar rahim ketika suami isteri masih hidup. Sekiranya suami meninggal kemudian si isteri masih melakukan persenyawaan tiadalah ketetapan nasabnya. Tiada ketetapan nasab memberi makna tiadanya ketetapan pewarisan juga.

Dalil Syariah TIDAK BOLEH mewariskan anak yang lahir dengan cara ini.
Tidaklah dinasabkan anak ini kepada bapanya (pemilik sperma) dan perempuan yang melakukan perbuatan ini akan menanggung perbuatannya ini di dunia dan akhirat.
·         Hubungan suami isteri akan terputus dengan sebab kematian suaminya, maka tiada lagi ikatan perkahwinan antara keduanya selepas kematian salah seorangnya[14].
·         Perbuatan ini merupakan perkara yang diharamkan, dan perlulah memberi denda kepada perempuan tersebut atas sebab perbuatannya. (Jika memberi hak pewarisan ibarat menggalakkan lagi perbuatan haram ini)
·         Nabi Muhammad S.A.W memberi nasab kepada anak yang dilahirkan daripada persetubuhan syar’ie, dan menafikannya kepada persetubuhan yang haram seperti zina. Maka, anak hasil daripada zina tidak berhak kepada bapanya, bahkan ia berhak dinasabkan kepada ibunya. Hadis Rasulullah S.A.W :
[15]الولد للفراش وللعاجر الحجر
"..penzina (muhsan) tidak lagi layak kepada sesuatu kecuali rejaman batu sehingga mati"
Persetubuhan juga mustahil dilakukan suaminya dengan rela selepas kematiannya. Begitu juga dengan persenyawaan(sperma dan ovum) selepas kematian suaminya.
·         Syariat Islam sangat menjaga keturunan daripada berlakunya percampuran nasab atau hilang keturunan. Sesungguhnya cara ini menghilangkan keturunan dan berlaku percampuran nasab.

Masalah 2 : Hukum IVF dengan menggunakan air mani lelaki yang diambil sebelum berkahwin.
Gambaran : Seorang lelaki menyimpan spermanya sebelum berkahwin (انزال) dan kemudian dia berkahwin dengan seorang wanita. Setelah mereka berkahwin, wanita itu melakukan persenyawaan luar rahim menggunakan sperma (yang diambil sebelum berkahwin tadi) dan dimasukkan ke dalam rahimnya. Adakah dibenarkan?

Dalil yang tidak membenarkan:
·         Sebahagian ulama Fuqaha’ Asy-Syafi’iah[16], menyatakan TIDAK BOLEH melakukan persenyawaan dengan sperma yang diambil sebelum aqad. Mereka mensyaratkan sperma yang diambil selepas berkahwin sahaja bole digunakan dan persenyawaan hendaklah dilakukan ketika sah sebagai suami isteri.

Dalil yang membenarkan:
·         Sperma dan ovum yang digunakan adalah dari orang yang sama, sama ada belum atau sudah berkahwin. Dengan syarat persenyawaan dilakukan selepas berkahwin.
·         Hanya boleh menggunakan kaedah ini ketika wujudnya keperluan mendesak seperti sakit.

Fasal 2 : Memilih jantina janin
Sepertimana yang kita ketahui, anak merupakan satu anugerah yang sangat bermakna dalam perkahwinan.Bahkan pemilihan jantina juga sangat penting.Kebiasaannya kehadiran anak lelaki sangat dinantikan kehadirannya dalam keluarga kerana dikatakan mempunyai banyak kelebihan.
Sebagai contoh, di zaman arab jahiliyyah dahulu mereka terasa sangat terhina sekiranya mendapat anak perempuan lalu mereka sanggup membunuh anak tersebut hidup-hidup. Adat orang cina pula anak lelaki penting untuk mewariskan perniagaan dan sebagainya.
Oleh sebab ini, wujudlah kepercayaan karut marut dalam masyarakat baik Arab jahiliyyah mahupun Melayu.Sekiranya tidur dalam tepung anak yang dikandungkan adalah anak lelaki, dan siapa yang mahukan anak perempuan tidurlah dengan barli dan banyak lagi kepercayaan.

Hukum syarak dalam pemilihan jantina janin :
Permasalahan ini tidak dibahaskan dalam mazhab-mazhab fiqah dan tidak tercatat dalam kitab mereka tentang permasalahan ini. Para ulama’ masa kini telas membahaskan hukumnya :-
·         Pendapat yang pertama : BOLEH memilih jantina janin dalam semua kaedah[17] dengan syarat ia tidak membawa kepada kemudaratan terhadap perempuan tersebut seperti mana hadis Nabi :                                                        
  [18]لا ضرر ولا ضرار
“tidak mudarat dan tidak memudaratkan”
(*terdapat sebahagian ulama' masa kini yang hanya membenarkan kaedah-kaedah tertentu sahaja).
·         Pendapat yang kedua : TIDAK BOLEH memilih jantina janin dalam semua cara[19].

Dalil pendapat yang mengharuskan :-
·         Berdoa untuk mendapat anak lelaki adalah HARUS, (apa yang dibolehkan untuk kita buat maka dibolehkan untuk berdoa) tetapi syarat berdoa ialah tidak meminta kepada yang haram. Seperti dalam al-Quran:
“Dan sesungguhnya aku merasa bimbang akan kecuaian kaum kerabatku menyempurnakan tugas-tugas agama sepeninggalanku dan isteriku pula adalah seorang yang mandul; oleh itu, kurniakanlah daku dari sisiMu seorang anak lelaki. Yang layak mewarisi daku, juga mewarisi keluarga Nabi Yaakub dan jadikanlah dia wahai Tuhanku seorang yang diredhai serta disukai.” Surah Maryam : 5 – 6.
·         Akan wujudnya darurat yang menyebabkan pasangan suami isteri terpanggil untuk memilih jantina anak. Contohnya seperti wujud penyakit yang hanya menimpa kepada lelaki mahupun perempuan sahaja pada masa hadapan, sebagai contoh penyakit genetik yang dibawa oleh kromosome.
·         Kaedah syar'iah ialah [asal kepada semua perkara adalah harus sehingga datangnya dalil yang mengharamkannya]. Isu pemilihan jantina ini tidak ada dalil yang mengharamkannya[20], maka hukumnya kekal HARUS.
Ketetapan yang diletakkan hasil ijtihad dalam keharusan memilih jantina janin :-
Sesugguhnya pemilihan jantina merupakan isu yang bahaya, sekiranya tidak dilakukan mengikut ketetapan, ia akan membawa kepada pelbagai masalah yang merosakkan. Berikut ketetapan yang telah diletakkan oleh syariah :
·         Isu pemilihan jantina tidak menjadi isu yang am atau perkara yang biasa dalam masyarakat, dan tidak dilaksanakan melainkan setelah mengikut ketetapan[21].
·         Adanya penyakit genetik yang memerlukan kepada pemilihan jantina anak seperti wujudnya penyakit yang dibawa oleh kromosome, jika ia hanya menimpa anak lelaki sahaja atau sebaliknya.
·         Wujudnya hajat yang membawa kepada keinginan pemilihan jantina. Seperti sepasang suami isteri yang hanya dikurniakan anak lelaki dan berhajat untuk memiliki anak perempuan walaupun seorang atau sebaliknya.
·         Bebas daripada sebarang pencampuran nasab dan hilangnya nasab[22].




[1] Fiqh Tibiyyah Mu’asarah (1/135)
[2] Qadaya Tibbiyah Mu’asarah, keputusan al-Fiqhi tentang IVF (1/135)
[3] At-Tantawi, Fatawa Ali at-Tantawi, (1/102)

[4] Qadaya Tibbiyah Mu’asarah (1/140)
[5] Majalah al-Fiqhi al-Islami, Keputusan Mujama’ al-Fiqhi al-Islami dalam perkara IVF dan bayi tabung uji pada Daurah yang ke-2, 1987 Masihi, (1/328)
[6] Riwayat Abu Daud, At-Tirmizi : Hadis Hasan
At-Tirmizi, Jami’ut Tirmizi [7]
[8] Qadaya Tibiyyah Mu’asarah (1/24)
[9] Qadaya Tibiyyah Mu’asarah, (1/22)
[10] Ibnu Abidin, Radda Muhtar ‘ala Darul Muhtar, kitabut talaq, babul ‘idah (5/180)
[11] Asy-Syirbini, Mughnil Muhtaj, Kitabul Li’an, fasal qazaf az-zawaj zaujatuhu, (6/530)
[12] Ibnu Abidin, Radda Muhtar ‘ala Darul Muhtar, kitabut talaq, babul ‘idah (5/180)
[13] Assirkhusi, al-Mabsut, kitab at-talak, babul li’an, (7/57)
[14] Asyarbini, Mughnil Muhtaj, Kitab Ummahatul Aulad, (6/540)
[15] Al-Bukhari, Sohih al-Bukhari, 2421
[16] Asyarbini, Mughnil Muhtaj, Kitab Ummahatul Aulad, (6/540)
[17] Kata-kata Doktor Muhammad Uthman Syabir, Qadaya Tibiyyah Mu’asarah, (2/299)
[18] Ahmad, Musnad, Hadis Hasan 2856
[19] Salah seorang yang menyatakan pandangan ini ialah Doktor Rajihul Kardi, Doktor Hamam Sa’id dalam Qadaya Tibiyyah Mu’asarah dan juga Syeikh Abdul Aziz Ali Syeikh.
[20] As-Suyuti, al-ashbahu wan-naza’ir (1/131).
[21] Al-Islam wal Musykilat al-Mua’sarah nadwatul injab, Doktor Muhammad Asyqar.
 [22] Qadaya Tibbiyah Mua’sarah, petikan daripada Doktor Ali As-Sowa, (2/299).



3 comments:

sutera ungu said...

Mohon share utk manfaat bersama. Syukran jazilan

Muhammad Iskandar said...

Harap maaf kalau saya salah ye....bukan kah kita yakin dan redha atas qada' & qadar Allah?
Tidak kah IVF ini bertentangan dengan pekerjaan Allah?

Muhammad Iskandar said...

Bukankah Allah sudah mengajar kami seperti diajarkan nabi zakaria terdahulu?