Friday, July 13, 2012

FIQH - IVF ( In Vitro Fertilisation ) ( 1 )


SEMINAR FIQH MEDIK 2012
15 MAC 2012


ARTIFICIAL REPRODUCTIVE TECHNIQUE [ART]
PERSENYAWAAN LUAR RAHIM
DAN MASA DEPAN GLOBAL


DISEDIAKAN OLEH:
FARAH AISYAH BINTI AHMAD
MADIHAH BINTI MD YUSOF
ASILAH BINTI ARIPIN
NUR HUSNA BINTI ISMAIL
NURUL NASUHA BINTI MOHAMAD ZAWAWI
AFIFAH BINTI HAMDAN
ADILA AZURA BINTI ABDULLAH




PENDAHULUAN
Fitrah manusia pasti menginginkan kebahagiaan. Kebahagiaan bagi sepasang suami isteri ialah kurniaan anak, sebagai penyejuk mata dan penawar hati. Dalam Islam sendiri, antara matlamat perkahwinan adalah untuk meramaikan umat Nabi Muhammad SAW, sebagaimana yang tercatit dalam hadis Rasulullah SAW:
Anas Ibnu Malik Radliyallaahu 'anhu berkata:
Rasulullah SAW memerintahkan kami berkeluarga dan sangat melarang kami membujang. Baginda bersabda: “Nikahilah perempuan yang subur dan penyayang, sebab dengan jumlahmu yang banyak, aku akan berbangga di hadapan para Nabi pada hari kiamat.”[1]
Namun, realiti kehidupan di dunia milik Allah SWT, akan ada yang diuji olehNya sebagai ukuran keimanan, yakni dengan masalah ketidaksuburan.
Seiring dengan peredaran zaman, kemajuan dan kemodenan dalam bidang perubatan juga tidak ketinggalan. Pelbagai kajian telah dilakukan oleh para saintis, maka muncul pelbagai alternatif baru bagi meyelesaikan masalah ketidaksuburan. Alternatif ini dikenali sebagai Assisted Reproductive Technology (ART) iaitu Teknologi Bantuan Pembiakan.
Kertas kerja ini mengupas isu yang berkaitan dengan salah satu teknik daripada ART yang banyak digunakan oleh pasangan yang menghadapi masalah ketidaksuburan iaitu In Vitro Fertilization (IVF) atau Persenyawaan Luar Rahim atau lebih dikenali sebagai Bayi Tabung Uji.
Islam adalah agama yang syumul, mengambil berat setiap inci perkara dalam kehidupan, begitu juga dalam sudut perubatan moden. Isu ini bukanlah perkara baru dalam perbahasan, namun berapa ramai daripada kalangan kita yang cakna akan perkara ini terutamanya dari sudut Fiqh Perubatan?

APA ITU KETIDAKSUBURAN?
Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, subur membawa maksud berupaya menjalani persenyawaan (antara benih lelaki dengan benih perempuan). Ketidaksuburan pula diertikan sebagai keadaan tidak subur, yakni tidak mampu melahirkan anak.
Merujuk kepada buku Blueprints Obstetric & Gynecology edisi kelima menyatakan infertility iaitu ketidaksuburan bermaksud kegagalan pasangan untuk memperoleh zuriat selepas 12 bulan mencuba melalui persetubuhan yang selamat dan natural.[2]
Berdasarkan statistik yang dikeluarkan oleh Dr Hamid Arshat, pakar sakit puan terkenal di Malaysia, kes-kes ketidaksuburan, 35% adalah disebabkan penyakit atau kecacatan pada zakar dan sperma oleh suami, 35% lagi ialah oleh penyakit dan kecacatan di organ peranakan isteri, 5% pula kedua-dua sama-sama menyumbang kepada masalah ketidaksuburan di dalam perkahwinan mereka. 20% lagi tidak diketahui puncanya serta 5 % lagi mandul dan disahkan gagal untuk menghasilkan cahayamata akibat tiada sperma dan juga mengalami kerosakan yang berkekalan pada organ peranakan.[3]
Seiring peredaran zaman, maka terciptalah pelbagai teknik dan kaedah bagi menyelesaikan masalah kesuburan ini. Buktinya di United States, pada tahun 2001, 1.2 juta wanita telah menggunakan bantuan perubatan untuk membolehkan mereka hamil dan 10 peratus wanita telah menerima rawatan kesuburan sepanjang hidup mereka.

KETIDAKSUBURAN DALAM ISLAM
Terdapat beberapa senario kes yang digambarkan di dalam Al-Quran yang membantu kita untuk mendapatkan gambaran yang betul tentang masalah ketidaksuburan.
Dalam Al-Quran diceritakan kisah Nabi Zakaria AS tetap setia dan memberi sokongan kepada isterinya. Dalam surah 21:89-90, Allah berfirman:
"Dan (ingatlah kisah) Zakaria, ketika dia berdoa kepada Tuhannya:"Ya  Tuhanku, janganlah Engkau biarkan aku hidup seorang diri (tanpa keturunan) dan Engkaulah ahli waris yang terbaik". Maka Kami kabulkan (doa)nya, dan Kami anugerahkan kepadanya Yahya, dan Kami jadikan isterinya (dapat mengandung). Sungguh, mereka selalu bersegera dalam (mengerjakan) kebaikan, dan mereka berdoa kepada Kami dengan penuh harap dan cemas. Dan mereka orang-orang yang khusyuk kepada Kami.”[4]
Sebagai qudwah yang ditonjolkan oleh Nabi Zakaria AS, setiap permasalahan yang berlaku, memerlukan kita untuk bergantung kepada Allah swt, Tuhan Yang Maha Berkuasa. Baginda sendiri, walaupun seorang Nabi, tidak henti-henti berdoa memohon kepada Allah SWT supaya dikurniakan cahaya mata untuk mewarisi perjuangan mentauhidkan Allah.


Cukup untuk kita petik satu hadis, Rasulullah SAW bersabda:
“Setiap penyakit pasti ada penawarnya.”[5]
            Inilah satu prinsip penting yang diajar oleh Rasulullah SAW iaitu kita sebagai orang mukmin tidak boleh berputus asa apabila ditimpa penyakit. Carilah penawarnya kerana setiap penyakit itu pasti ada ubatnya.
Manusia perlulah berusaha mencari alternatif terbaik untuk mengatasi masalah kesuburan. Namun begitu terdapat beberapa kes ketidaksuburan tidak dapat dirawat walaupun pelbagai alternatif dan teknologi terkini telah dicuba. Semua ini ialah ketentuan Allah swt.
Seperti firman Allah swt dalam surah Asy-Syura 42: 49-50;
"Milik Allah-lah kerajaan langit dan bumi; Dia menciptakan apa yang Dia kehendaki,  memberikan anak perempuan kepada siapa yang Dia kehendaki, dan memberikan anak lelaki kepada siapa yang Dia kehendaki. Atau Dia menganugerahkan jenis laki-laki dan perempuan, dan menjadikan mandul siapa yang Dia kehendaki. Dia Maha Mengetahui dan Mahakuasa.”[6]

DEFINISI
In-Vitro Fertilization (IVF) merupakan antara teknologi yang tidak asing lagi yang dilakukan bagi mengatasi masalah kesuburan. IVF atau Persenyawaan Luar Rahim adalah asas bagi Teknologi Pembiakan Gesaan (Basic Assisted Reproduction Technique). Secara asasnya, teori IVF adalah persenyawaan berlaku dalam vitro (kaca). Sperma lelaki dan ovum (telur) perempuan dicampurkan dalam satu piring makmal dalam persekitaran yang sesuai. Setelah disenyawakan, embrio yang terhasil akan dipindahkan ke dalam rahim.[7] Kaedah IVF ini merupakan kaedah persenyawaan antara ovum dan sperma yang berlaku di dalam tabung uji, bertentangan dengan norma, di mana persenyawaan seharusnya berlaku di dalam tiub fallopian wanita.

Penggunaan teknologi IVF ini juga turut membawa kepada beberapa permasalahan lain. Seiring dengan perkembangan teknologi dunia, di mana kaedah-kaedah baharu pula diperkenalkan dalam mengatasi masalah kesuburan dan menjamin kualiti keturunan seperti kaedah Pembekuan Embrio, yang mana embrio dibekukan untuk tujuan penggunaan akan datang, GIFT atau Gamete Intrafallopian Transfer (Pemindahan Gamet Ke Dalam Salur Rahim) iaitu pemindahan hasil campuran sperma dan ovum ke dalam salur rahim tanpa persenyawaan, ZIFT atau Zygote Intrafallopian Transfer (Pemindahan Zigot Ke Dalam Salur Rahim) juga dikenali sebagai PROST (Pronuclear Stage Transfer), terdapat juga kaedah TET (Tubal Embyo Transfer) iaitu pemindahan Embrio ke dalam salur rahim, teknologi IUI (Intrauterine Insemination) iaitu permanian beradas yang mana air mani disalurkan ke dalam tubuh wanita tanpa melalui kaedah biasa iaitu persetubuhan, kaedah PGD (Preimplantation Genetic Disorder) iaitu mengenal pasti keadaan bayi terlebih dahulu sebelum kehamilan berlaku, dan yang terakhir kaedah ibu tumpang yang kini mendapat sambutan terutama di negara Barat dimana sperma dan ovum milik pasangan suami isteri diimplankan pada dinding rahim wanita lain[8]. Tidak dinafikan dengan kewujudan Teknologi Pembiakan Gesaan ini membawa banyak kebaikan dalam institusi kekeluargaan, namun hadir bersamanya kemudaratan yang perlu diberi perhatian.

Teknologi-teknologi baharu ini bukan sahaja berbeza menurut fitrah asal kejadian manusia, tetapi turut mewujudkan persoalan-persoalan dalam menentukan nasab dan keturunan, pemilikan harta pusaka, persoalan wali dalam pernikahan, hubungan kekeluargaan dan sebagainya. Ringkas kata, teknologi-teknologi ini memberi kesan kepada masa hadapan populasi dunia, di mana sekiranya diaplikasi secara berleluasa, akan menyebabkan kekeliruan dalam pelbagai isu. Justeru, diharap dengan penyediaan kertas kerja ini, IVF dan masa depan global memberi sedikit penjelasan terhadap isu penggunaan teknologi IVF sekaligus membantu menyelamatkan generasi masa depan.

SEJARAH IVF
Bermulanya kajian tentang IVF ini bukanlah mengambil jangka masa yang pendek dan usaha yang enteng, namun memerlukan tempoh masa yang panjang dan usaha yang berterusan. Hakikatnya, IVF bermula daripada kajian keatas haiwan iaitu pada tahun 1959 oleh seorang Doktor di Boston, United States (US), Dr.Shang. Beliau telah melaksanakan kajian keatas seekor arnab dengan menggunakan sperma dan telur arnab, kemudian dimasukkan ke dalam rahim arnab .Kejayaan seterusnya direkod pada tahun 1968 keatas seekor tikus.
Rentetan daripada itu, kajian keatas manusia dilakukan. Sudah berkali-kali percubaan yang dilakukan keatas manusia, namun gagal.
Sehingga tahun 1976 hasil usaha Dr. Robert Edwards, seorang wanita telah berjaya hamil, malangnya wanita tersebut menanggung risiko tinggi apabila kehamilan berlaku diluar rahim (kelahiran ektopik) iaitu embrio tertempel pada tiub fallopian (saluran rahim). Oleh sebab itu, pembedahan terpaksa dilakukan untuk memotong tiub berkenaan.
Walaubagaimanapun,  usaha Dr. Robert Edwards tidak ternoktah dek kegagalan itu. Beliau meneruskan usaha dan bersatu tenaga bersama Dr.Patrick Steptoe. Maka tercatatlah satu sejarah dunia pada tanggal 25 Julai 1978, di Oldham Gen Hospital, England. Pada hari tersebut, lahirnya seorang bayi tabung uji pertama di dunia; Louise Brown selepas hampir seratus kali percubaan menemui kegagalan.
Kejayaan ini bukanlah pengakhiran, namun sebagai satu permulaan dan pencetusan kepada kajian untuk teknik penyelesaian bagi masalah kesuburan. Selepas detik kelahiran Louise Brown, pelbagai teknik baru berkaitan IVF diperkenalkan dan tumbuhnya pusat-pusat rawatan dan klinik-klinik yang menawarkan kaedah ini kepada mana-mana pasangan yang mengalami masalah kesuburan. Bermula dari itu, hampir lebih sejuta kelahiran melalui teknik moden ini telah direkodkan.[9]

PROSEDUR IVF
Pertama sekali, ujian kesihatan perlu dijalani terlebih dahulu di pusat perubatan yang menawarkan perkhidmatan bayi tabung uji ini. Ujian kesihatan ini bertujuan bagi mengenalpasti kitaran haid, kitaran ovulasi, keadaan rahim, respon tubuh badan terhadap beberapa jenis dadah bagi membolehkan doktor menjadualkan prosedur yang sebaiknya mengikut kiraan yang dilakukan.
·         Stimulasi
Seterusnya, persediaan bagi membolehkan doktor mengeluarkan ovum daripada rahim akan dilakukan. Doktor akan memberi beberapa jenis dadah bagi membolehkan penghasilan folikel yang banyak, supaya dapat meningkatkan kemungkinan untuk menghasilkan ovum yang banyak. Hal ini penting untuk menghasilkan ovum yang berkualiti bagi proses persenyawaan. Mengikut siri Lupron, 14 suntikan akan diberikan untuk merangsang ovulasi dan suntikan pada peringkat akhir adalah bagi menjadikan ovum matang dan siap untuk diovulasi.
·         Pengeluaran Ovum
Selepas jumlah ovum yang diperlukan berjaya diperolehi, prosedur bagi mengeluarkan ovum dari faraj akan dilakukan. Bagi menjalankan proses ini ubat pelali akan diberikan supaya kesakitan tidak dirasai. Ovum yang telah diekstrak akan disimpan di dalam bekas khas yang terdiri daripada medium cecair kultur dan disimpan di dalam inkubator pada suhu badan. Prosedur ini hanya memakan masa 15-30 minit, dan jadual untuk pemindahan embrio akan ditentukan kemudiannya.
·         Persenyawaan
Ovum dan sperma akan disenyawakan di dalam makmal. Lebih kurang 100,000 sperma akan diletakkan bersama dengan satu ovum. Persenyawaan ovum dan sperma ini akan didokumentasikan dan embrio yang terhasil akan disimpan di dalam tabung uji dan diletakkan di dalam inkubator.  Peringkat awal persenyawaan ialah dengan terhasilnya dua nukleus dan ovum yang telah disenyawakan ini dinamakan zigot.
·         Pemindahan embrio
Ovum mengambil masa lebih kurang 18 jam untuk disenyawakan dan dalam tempoh 16-18 jam kemudiannya, ovum yang telah disenyawakan akan membahagi menjadi dua sel, dan seterusnya empat sel. Selepas 48 jam setelah ovum diekstrak, embrio akan terbentuk dan sedia untuk dipindahkan ke dalam rahim. Setelah pemindahan berjaya dilakukan, janin yang terbentuk akan membesar di dalam rahim seperti kehamilan normal.[10]

Hubungan antara anak dan ibu bapanya.
Secara fitrahnya kaedah kelahiran bayi bermula dengan pertemuan 2 anggota sulit pasangan suami isteri ketika melakukan hubungan kelamin.Lantas, berlakulah kaedah persenyawaan antara benih si suami (sperma) dan benih si isteri (ovum) dan seterusnya membesar menjadi embrio. Oleh sebab inilah anak yang dilahirkan itu mempunyai hubungan dan ikatan yang sangat erat dengan kedua ibu bapanya.
Hubungan anak dengan bapanya merupakan hubungan kejadian manusia melalui air mani si bapa dan pewarisan (صلة التكوين والوارثة) begitu juga dengan ibunya, anak tersebut mempunyai hubungan kejadian manusia melalui ovum (telur) si ibu. Bahkan, ada satu lagi hubungan antara anak dan ibunya iaitu hubungan ketika mengandungkan anak dan penjagaan yang bersumberkan daripada rahim si ibu (صلة الحمل والولادة).
Oleh sebab ini, sekiranya sperma bukan milik si bapa tetapi milik lelaki lain maka di sana terputuslah hubungan si anak dengan si bapanya yang merupakan suami kepada wanita tersebut. Apabila ovum yang bukan milik si ibu yang mengandungkan si anak, maka di sana terputuslah salah satu daripada dua hubungan antara ibu dan anak.
Secara kesimpulan ringkas, apabila terputus salah satu hubungan tersebut maka si bapa buka     nlah si bapa yang sah terhadap anak itu dan si ibu bukanlah si ibu yang sah.

Fasal 1 :Situasi penggunaan kaedah IVF dalam masyarakat
Sebelum dibincangkan permasalahan yang berlaku dalam hal ini maka cantiklah sekiranya disenaraikan tiga perkara yang sangat penting dalam masalah ini :-
·         Sperma (air mani) lelaki
·         Ovum (telur) perempuan
·         Dinding rahim (tempat berlakunya penempelan) perempuan
Perlu juga diingatkan kembali, bahawa salah satu Maqasid Syari’ah ialah menjaga keturunan.




Situasi persenyawaan melalui teknologi IVF
1.         Persenyawaan air mani daripada pasangan suami isteri dilakukan, selepas itu dikembalikan embrio tersebut ke dalam rahim si isteri.
2.         Persenyawaan air mani daripada pasangan suami isteri dilakukan, selepas itu embrio tersebut diletakkan ke dalam rahim isteri kedua (kes poligami).
3.         Persenyawaan air mani daripada pasangan suami isteri dilakukan, selepas itu diletakkan ke dalam rahim perempuan lain.
4.         Persenyawaan air mani daripada seorang suami dengan air (telur) perempuan asing, kemudian diletakkan embrio tersebut ke dalam rahim isterinya.
5.         Persenyawaan air mani yang dilakukan oleh dua orang ajnabi, kemudian diletakkan kembali embrio tersebut ke dalam rahim wanita ajnabi tersebut.
6.         Persenyawaan air mani yang dilakukan oleh seorang lelaki ajnabi dengan seorang isteri, kemudian diletakkan embrio tersebut ke dalam rahim perempuan lain.
7.         Persenyawaan air mani yang dilakukan oleh seorang lelaki ajnabi dengan seorang  isteri, kemudian diletakkan embrio ke dalam rahim isteri lelaki tersebut.
8.         Persenyawaan oleh pasangan bukan suami isteri tetapi embrio diletakkan ke dalam rahim isterinya.
9.         Persenyawaan air mani daripada pasangan bukan suami isteri, kemudian diletakkan ke dalam rahim perempuan lain. ( Dalam kes ini melibatkan 3 individu yang langsung tidak mempunyai sebarang hubungan).


[1] Sunan al Nasai
[2] Blueprint Obstetric & Gynaecology Ed Ke-5. Tamara L. Callahan, Aaron B Caughey, Philadelphia:Luppincott Williams & Wilkins (LWW), 2009.
[4] Surah Al-Anbiya’ ayat 89-90
[5] Hadith Sahih Muslim
[6] Surah Asy-Syura ayat 49-50
[7]. Kertas Kerja Bayi Tabung Uji menurut Perspektif Sains oleh Ahmad Shuib Yahaya. Program Thaqafah Online Perubatan 2005.
[9] In Vitro Fertilization and Embryo Transfer. J.D Biggers, United States of America: Churchill Livingstone, 1984
[10] Ivfprocedure.org
www.pulse-hospital.com/ivf-pregnancy-procedure.html



I 24 Sya'ban 1433 I
I Bayt Dzuu Fadhleen I
I Irbid, Jordan I

No comments: