Friday, July 20, 2012

FIQH - IVF ( In Vitro Fertilisation ) ( Akhir )



Fasal 3 : Ibu Tumpang
Hukum Syarak dalam perbahasan ini terbahagi kepada 2 bahagian :
Pertama : Mengambil sperma suami dan ovum isteri kemudian disenyawakan diluar rahim kemudian diletakkan embrio tersebut untuk proses penempelan ke dalam rahim perempuan asing bukan isterinya.
Kedua : Dalam kes poligami, lelaki yang mempunyai isteri lebih daripada seorang, boleh jadi isteri pertamanya mengalami masalah kesihatan iaitu tidak mampu untuk mengandungkan janin di dalam rahimnya tetapi mampu menghasilkan telur. Maka diambil sperma si suami dan ovum isteri pertama untuk disenyawakan di luar rahim, kemudian diletakkan ke dalam rahim isteri kedua.
Hukum Syarak pada permasalahan pertama: Mengambil air mani suami dan telur isteri kemudian disenyawakan diluar rahim kemudian diletakkan embryo tersebut untuk proses penempelan ke dalam rahim perempuan asing bukan isterinya.
Ulama’ sepakat dalam kaedah ini yakni menggunakan perempuan asing sebagai ibu tumpang secara jelasnya HARAM untuk dilakukan.

Dalil Pengharaman
·         Firman Allah S.W.T :
“Dan mereka yang menjaga kehormatannya Kecuali kepada isterinya atau hamba sahayanya maka sesungguhnya mereka tidak tercela.Kemudian, sesiapa yang mengingini selain dari yang demikian, maka merekalah orang-orang yang melampaui batas.” Surah Al-Mukminun : 5-6
Mafhum daripada ayat ini, TIDAK DIBOLEHKAN meletakkan sebarang benda ke dalam rahim perempuan lain melainkan kepada isteri sendiri atau hamba sahaya yang dimiliki.
·         Firman Allah S.W.T :
“Dan Allah menjadikan bagi kamu dari diri kamu sendiri pasangan-pasangan (isteri), dan dijadikan bagi kamu dari pasangan kamu: Anak-anak dan cucu-cicit, serta dikurniakan kepada kamu dari benda yang baik lagi halal” Surah An-Nahl : 72
Mafhumnya: ibu tumpang bukanlah tergolong sebagai isteri yang menyambung zuriat keturunan.
·         Sabda Rasulullah S.A.W :
“Tidaklah halal bagi sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, menyiram benihnya kepada tanaman lelaki lain”.[1]  Maka, tidak halal sama sekali  bertemunya sperma dan telur dalam rahim wanita yang bukan isterinya.
·         Rahim perempuan juga turut terlibat dalam pembentukan janin, yakni memberi makanan daripada darah rahim wanita ini[2].
·         Dalam situasi ibu tumpang ini, rahim perempuan yang digunakan ini telah bercampur dengan air mani lelaki ajnabi.[3]
·         Konsep ibu tumpang merosakkan makna keibuan. Ini kerana ibu tumpang tersebut yang memberi makan kepada janin tersebut bahkan dia yang merasakan kesakitan mengandung. Tetapi selepas dilahirkan, bayi diserahkan kepada ibunya yang sebenar(pemilik ovum).[4]
·         Perbuatan ibu tumpang yang belum berkahwin akan mendatangkan penghinaan dan kejian daripada manusia dan membawa kesan buruk kepada masyarakat. Dan boleh jadi perempuan itu mengandungkan anak luar nikah tetapi mengaku sebagai ibu tumpang untuk menutup kesalahannya. Firman Allah S.W.T :
“Sesungguhnya orang-orang yang suka terhebah tuduhan-tuduhan yang buruk dalam kalangan orang-orang yang beriman, mereka akan beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya di dunia dan di akhirat dan (ingatlah) Allah mengetahui (segala perkara) sedang kamu tidak mengetahui (yang demikian).” Surah an-Nur : 19
Adakah perbuatan Ibu Tumpang berhak menerima hukuman zina?
Perbuatan ini merupakan perbuatan yang tidak sama dengan zina[5], dan tidak  boleh dilaksanakan hukum hudud terhadap ibu tumpang ini kerana di sana wujudnya perbezaan antara perbuatan ini dengan zina.
Namun, perbuatan ini tetap HARAM, dan orang yang melakukannya berhak menerima hukuman ta’zir yang ditentukan kadarnya oleh qadi/hakim seperti dipenjara atau bayar denda. Berikut dinyatakan perbezaan antara dua perbuatan ini  :-

ZINA
IBU TUMPANG
Maksud : memasukkan zakar ke dalam faraj perempuan ajnabi dan jika bebas daripada sebarang syak wasangka akan dijatuhkan hukuman hudud.
Tidak melibatkan syarat-syarat zina seperti memasukkan zakar ke dalam faraj. Tidak sah untuk meng'qias'kan zina dengan ibu tumpang.
Persenyawaan berlaku di dalam rahim wanita tersebut.
Persenyawaan berlaku di luar rahim. Hanya embrio sahaja dimasukkan ke dalam rahim ibu tumpang.
Diyakini bercampur nasab antara lelaki dan wanita tersebut.
Tidak bercampur nasab kerana sperma dan ovum diyakini dari suami isteri yang sah.


Hukum Syarak pada permasalahan kedua :Dalam kes poligami, lelaki yang mempunyai isteri lebih daripada seorang, boleh jadi isteri pertamanya mengalami masalah kesihatan iaitu tidak mampu untuk mengandungkan janin di dalam rahimnya tetapi mampu menghasilkan telur. Maka diambil sperma si suami dan telur isteri pertama untuk disenyawakan di luar rahim, kemudian diletakkan ke dalam rahim isteri kedua.

Pandangan ulama’ dalam situasi ini.
Pendapat yang pertama : HARUS menggunakan kaedah ibu tumpang dalam situasi ini.
Pendapat yang kedua : TIDAK HARUS menggunakan ibu tumpang dalam situasi ini.
Setelah meneliti banyak buku serta pandangan daripada ulama’ fuqaha masa kini. Maka, kami nyatakan keputusan Mesyuarat Panel Kajian Syariah (PKS) JAKIM kali ke-60 dalam permasalahan ini.
Keputusan Mesyuarat Panel Kajian Syariah (PKS) JAKIM kali ke-60
Mesyuarat JAKIM kali ke-60 yang diadakan pada 3-5 September 2007, telah membincangkan isu ini dan membuat keputusan seperti berikut :
·         Menggunakan kaedah ibu tumpang adalah HARAM, walaupun sperma dan ovum adalah diambil daripada pasangan suami isteri yang sah kerana berlaku kekeliruan dari segi nasab anak yang dilahirkan.
·         Kesucian ikatan perkahwinan yang sah TIDAK HARUS dicemari sepanjang proses bantuan reproduksi atau ART. Pengamalk ART yang beragama Islam mestilah mengawal dengan penuh tanggungjawab kesucian telur dan sperma kepada pasangan yang mendapatkan rawatan. Oleh kerana percantuman sperma dan telur bukan melalui kaedah biasa ia mestilah dilaksankan dalam linkungan perkahwinan yang sah.
·         Penglibatan pihak yang ketiga tidak dapat diterima sama sekali sama ada sumbangan sperma, telur, embrio atau rahim. Amalan di dalam kaedah ART yang berleluasa yang menggunakan kaedah sperma dan telur yang didermakan atau menyewa ibu tumpang adalah bertentangan dengan prinsip asas islam berhubung reproduksi manusia ; dan
·         Bagi kes poligami, menanam embrio ke dalam rahim salah seorang isteri sebagai ibu tumpang, sedangkan ovum diperolehi daripada isteri yang lain. Hukumnya berasaskan kaedah sad az-zara’ik.[6]
Majma’ al-Fiqh al-Islami pada daurah yang ke-lapan juga telah mengHARAM perbuatan ini kerana berlaku kemungkinan yang sangat besar yang akan mengakibatkan kepada penentuan nasab si janin.
Contoh-contoh keraguan :-
·         Isteri kedua yang menjadikan rahimnya sebagai tempat tempelan kepada benih suami yang disenyawakan dengan benih madunya, wanita ini berkemungkinan akan mengandungkan zuriatnya dengan si suami sebelum berlaku tempelan hasil antara benih suaminya dan madu si isteri tersebut.
·         Atau boleh berlaku di sana kelahiran anak kembar yang kita tidak dapat pastikan adakah kedua-duanya anak kepada isteri yang mendermakan rahim atau isteri yang memberi ovum.
·         Berkemungkinan benih antara suami isteri pemilik ovum yang ditempelkan pada rahim isteri yang menderma dinding rahimnya telah mati lalu berlaku persenyawaan baru antara suami atau isteri yang mendermakan rahimnya.
Jelasnya, keraguan yang cukup besar ini pastinya akan menyebabkan seorang mujtahid akan mengharamkan setiap cara yang mengakibatkan keraguan ini kerana islam menitikberatkan masalah nasab seseorang.[7]

Nasab anak yang dilahirkan melalui kaedah ibu tumpang :
Di sana ulama yang terlibat dalam Muktamarat, Nadwah dan Mujami’ al-Fiqhiah telah mempunyai pendapat yang berbeza tentang perbahasan penggunaan ibu tumpang bagi kes poligami, adakah ibu kepada anak itu yang melahirkan anak atau ibu pemilik telur :
Pandangan ulama’ dalam masalah ini :
·         Pendapat pertama : Anak itu dinasabkan kepada ibunya yang asal yakni yang mendermakan telur dan bukannya yang mengandungkan serta melahirkannya. Dan ini merupakan pandangan sebahagian ulama’ Syafa’iah.
·         Pendapat kedua : Ibu kandung kepada anak ini adalah ibu yang mengandung serta melahirkannya.  Dan tidak dinasabkan kepada ibu yang mendermakan telur.
Dalil yang paling rajih adalah pendapat yang pertama, berikut dalilnya :
Telur yang sempurna ditanam membawa semua sifat dan pengkhususan genetik daripada telur sehingga kepada pembentukan janin. Bahkan rahim perempuan yang mengandungkan anak itu sama sekali tidak menyumbang kepada sebarang perubahan sifat dan genetik. Ibu yang mengandungkan anak ini hanya memberikan anak itu daripada rahimnya makanan dan darah sehinggalah lahirnya anak itu.
Kelahiran secara biasa anak itu terbentuk daripada mani lelaki yang bersetubuh bercantum dengan telur perempuan yang melahirkan.


PENUTUP
Konklusinya, IVF diharuskan oleh Islam dengan bersyarat dan diharamkan dengan bersebab untuk menjaga kemaslahatan sejagat. Pensyariatan dalam Islam bukan bertujuan menghalang tetapi bertujuan untuk mengawal kehidupan manusia agar tidak melampaui batas dan tidak menyusahkan diri sendiri, keluarga dan masyarakat.
  Segala maklumat dan kandungan  yang terdapat dalam kertas kerja ini boleh dijadikan panduan kepada kita semua apabila berhadapan dengan permasalahan yang berkaitan dengannya pada hari muka. Segala kandungan yang ditulis di dalam kertas kerja ini berdasarkan sumber-sumber yang sahih dan kajian ilmiah yang meyakinkan. Hukum-hukum yang dikeluarkan boleh dijadikan panduan dan rujukan kepada kita semua. InshaAllah.
Semoga dengan penghasilan kerja ini dapat meningkatkan kefahaman kita tentang Islam dan Sains. Sesungguhnya Islam itu mudah dan menjaga kemaslahatan umatnya.


  
RUJUKAN
Al- Quran dan hadith
J.D Biggers. 1984. In Vitro Fertilization and Embryo Transfer. Alan Trounson, Carl Wood. United States of America: Churchill Livingstone.
Howard W. Jones Jr. 2002. Assisted Reproductive Technology: Accomplishment and New Horizons, Christopher J. De Jonge, Christopher L.R Barratt. United Kingdom: The PressSyndicate of the University of Cambridge .
Joseph G. Schenker 1988. In Vitro Fertilization and other Assisted Reproduction. Howard W. Jones, Jr., Charlotte Schrader Vol 541 United States of America: The New York Academy of Sciences.
Catherine M Marin, Alan S. Penzias 2003. Current Obstetric & Gynecologic: Diagnosis & Treatment. Alan H. DeCherney, Lauren Nathan Ed. Ke 9. United States of America: Appleton & Lange.
Danial Navot 2004, Textbook of Assisted Reproductive Techniques: Laboratory and Clinical Perspectives, David K Gardner, Ariel Weissman, Colin M Howles, Zee Shoham Ed Ke-2, United Kingdom: Taylor & Francais Group.
A Van Steirteghem 2004. Assisted Reproductive Technologies: Quality and Safety. Jan Gerris, Petra De Sutter. United Kingdom: Taylor & Francais Group.
Hassan Hathout 1988. Islamic Perspectives in O&G. California: The Islamic Organization of Medical Science.
Tamara L. Callahan, Aaron B Caughey 2009. Blueprint Obstetric & Gynaecology Ed Ke-5, philadelphia: Lippincott Williams & Wilkins (LWW).
Salim Daya, Robert F. Harrison, Roger D Kampers 2004. Advences in Fertility and Reproduction Medicine ( International Congress Series 1266) Netherland: Elsevier.
Ahmad Shuib Yahaya 2005. Kertas Kerja Bayi Tabung Uji menurut Perspektif Sains. Program Thaqafah Online Perubatan 2005.
Dr. Tarik Abdul Man’am, 2010 Risalah dukturah, Ahkam at-Tadkhul at-tibbi fi an-Nutfah al-basyiriah fi al-Fiqh al-Islamiy. Darul Nafais, Jordan.
Hairul Nizam Mat Husain, 2006.PMRAM, Kertas Kerja Persenyawaan Buatan dan Bayi Tabung Uji.
Kertas Kerja Hukum Menggunakan Kaedah Ibu Tumpang untuk Mendapatkan Zuriat, 2008, Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia.



[1] Riwayat Abu Daud, At-Tirmizi : Hadis Hasan
[2] At-Tantawi, Fatwa Ali at-Tantawi, (1/103)
[3] Al-Islam wal Musykilat al-Mua’sarah nadwatul injab fi dha’ul Islam, dipetik daripada kata-kata Doktor Badar Mutawalli Abdul Basit.
[4] Mansur, al-Ahkam at-Tobiyyah al-Muta’alaqah bin nisa’
[5] At-Tantawi, Fatawa Ali at-Tantawi, (1/103)

[6] Kertas Kerja Hukum Menggunakan Kaedah Ibu Tumpang untuk Mendapatkan zuriat, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, JAKIM, 2008.
[7] Kertas Kerja, Persenyawaan Buatan dan Bayi Tabung Uji oleh Ustaz Hairul Nizam Mat Husin, Master Usul Fiqh Universiti al-Azhar, Mesir, 2006.



No comments: