Saturday, July 21, 2012

UNIVERSITI RAMADHAN BUAT SI KECIL


20 Julai 2012 - Dia pulang belum sampai 3 hari dari Jordan, abah telah meminta untuk menggantikannya bagi menyampaikan sedikit pengisian buat guru-guru dan adik-adik di Sekolah Rendah Agama Parit Baru. Pada asalnya jemputan sebagai penceramah itu adalah abah sendiri. Adik-adik kecil yang sangat comel. Mereka sangat bersemangat ketika 'ustazah' memberi penyampaian tentang Ramadhan. Dapat nama baru ' Ustazah Jordan ' ! Tidak layak gelaran itu rasanya. Apa pun untuk semalam, terima kasih diucapkan kepada semua, pengetua sekolah, guru-guru dan adik-adik comel yang 'hiper-aktif'. Alhamdulillah.

Adik-adik ingin dibawa ke universiti Ramadhan. Siapa nak ikut? Jom!

Adik-adik ada berpesan, ingin masuk ke universiti ini perlu ada keyakinan dan kesungguhan. Tepat sekali.


Adik-adik comel yang ingin bersungguh masuk ke universiti Ramadhan.


Dup dap dibuatnya. Walaupun hanya di hadapan si comel, 'ustazah Jordan' tetap berdebar.


Antara soalan yang ditanya oleh adik-adik.

Adik 1 : " Ustazah, haiwan dan tumbuhan berpuasa atau tidak ? "

Adik 2 : " Ustazah, kenapa puasa tidak boleh korek hidung ? "

Adik 3 : " Ustazah, Ramadhan bulan apa ? "

Soalan yang membuatkan ustazah Jordan tersenyum.


Cukup hanya berkongsi tentang Jordan dan memberi sedikit penerangan tentang kelebihan bulan Ramadhan serta bagaimana ingin 'membangunkan universiti Ramadhan' yang adik-adik suka untuk melaluinya.


Sedang majlis sampai ke penghujungnya, seorang adik, Muhd Irsyad bangun secara tiba-tiba.

Adik Irsyad : " Ustazah, saya nak ke hadapan boleh ? "

Ustazah      : " Oh silakan, tetapi apa yang awak ingin lakukan ? Ingin bertanya? "

Adik Irsyad menuju ke hadapan dan terus meminta mikrofon.

Adik Irsyad : " Saya nak sampaikan pantun buat ustazah. "


Terharu dengan adik Muhd Irsyad. 

" Belajar bersungguh-sungguh menjadi teladan,
teladan yang baik tidak boleh dilupakan,
mari menyambut bulan Ramadhan,
pada bulan Ramadhan tidak boleh minum dan makan.. "

Ini pula dari adik Putra. Anak seorang doktor. Adik Putra seorang anak yatim. Ramadhan dan hari raya disambut tanpa bapanya yang tersayang. Antara penyoal yang aktif ketika itu. Terima kasih adik.


" Kita kena puasa. Kalau kita tidak berpuasa, kita dosa dan masuk neraka. Selamat berpuasa kakak. "


Sebelum menaiki motor untuk pulang, ramai yang berlari untuk bersalaman dengan ustazah Jordan.
" Ustazah datang lagi tak hari Isnin nanti ? " Tanya si adik.

Ada seorang adik kecil berusia 7 tahun memberikan kertas di bawah ini. Terima kasih adik Siti.


" Akak baca Al-Quran dapat pahala. Nama akak siapa..saya sayang akak. Selamat Hari Raya. "



Inilah mereka. Tidak pasti sama ada mereka menulis atau melukis apa yang disampaikan.
Adik-adik comel ini bersungguh-sungguh ingin masuk ke universiti Ramadhan.
Anda bagaimana ?


عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ 
 " مَنْ قَامَ رَمَضَانَ إِيمَانًا وَاحْتِسَابًا غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ "
 رواه البخاري 37 ومسلم 759

Daripada Abi Hurairah sesungguhnya Rasulullah Sollallahu a'laihi wasallam bersabda :

" Siapa yang mendirikannya ( Ramadhan ) penuh dengan keimanan dan keikhlasan diampunkan baginya apa dosanya yang telah lalu " 
( Hadith Riwayat Bukhari 37, Muslim 759 )  

Moga kita tergolong dalam kalangan orang-orang yang bertaqwa seperti mana yang disebutkan dalam ayat 184, surah Al-Baqarah :

“Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertakwa.”


Hari ini, jam 8.30 pagi ke masjid memberi pengisian kepada ibu-ibu dan membaca Al-Quran bersama ( tadarus ). Doakan ustazah Jordan.


Bulan ramadhan bulan bertuah
Bulan ibadah bulan mujahadah
Bulan rahmat bulan maghfirah
Ayuh kita tambahkan ibadah
Membaca Al-Quran banyakkan sedekah

Pelihara mata pelihara telinga
Kawallah lidah dari yang sia-sia
Fikirkan yang mendatangkan faedah
Hubungkan hatimu dengan Allah
Zikir selawat doa dipanjatkan
Pahala Ramadhan digandakan

Bulan Ramadhan bulan motivasi
Bulan Lailaturqadar bulan produktiviti

In shaa Allah.
 

Semoga Ramadhan kita kali ini lebih baik dari sebelumnya.

Ilal liqa' ya Sya'ban.

Ahlan wa marhaban ya Ramadhan.




I 1 Ramadhan 1433/21 Julai 2012 I
I Sabak Bernam, Selangor I 


No comments: