Monday, January 10, 2011

Binalah Cinta Hati.





MENGAPA ANDA BERDAKWAH ?


Saya sering ditanya oleh adik-adik di kampus tentang dakwah, tentang jamaah, tentang kaedah memilih badan yang ingin disertai… dengan pelbagai format pertanyaan.

Namun, adik-adik di kampus perlu berhenti sejenak dan menapak selangkah ke belakang. Jawab dahulu soalan yang paling penting, MENGAPA MAHU BERDAKWAH? Jawab dahulu soalan ini, sebelum pergi kepada soal organisasi dan jamaah.

Ada orang mengambil keputusan untuk berdakwah, kerana persekitarannya penuh kerosakan dan maksiat. Pengikut aliran Nafsu Nafsi semakin tinggi, mengatasi pendukung Salafi Khalafi. Ketika segelintir rancak berbincang tentang kaedah melahirkan da’ie, siswi melahirkan anak luar nikah lebih meninggi. Sesuatu mesti dilakukan, lantas keputusan diambil, saya mesti berdakwah.

Salahkah pemikiran seperti ini? Tentu tidak salah, tetapi ada kekurangannya di situ…

Ada segelintir yang mengambil keputusan untuk berdakwah kerana hasil ilmu dan pengetahuannya, dia mendapat tahu bahawa dakwah itu wajib. Kewajipan dakwah itu sangat rasional. Fathi Yakan di dalam bukunya Apa Erti Saya Menganut Islam menegaskan tiga sudut yang membawa kepada kewajipan dakwah. Himpunan ayat al-Quran dan al-Hadith tentang kewajipan dakwah, sudah pun dihadam di dalam pelbagai siri usrah dan seminar. Dakwah itu wajib, maka ia mesti dilaksanakan.

Apakah salah berpemikiran sebegini? Tentu sekali pemikiran ini adalah pemikiran yang lurus dan benar tentang dakwah. Tetapi di sana ada sesuatu yang kurang. Kurang itu mungkin tidak muncul semasa kita di kampus. Ia datang kemudian…

Sama ada kita mengambil keputusan untuk berdakwah kerana persekitaran, atau kerana sedar akan kewajipan dakwah, kedua-dua motif dakwah ini letaknya di luar. Ia datang dari luar ke dalam diri. Apabila ia datang dari luar ke dalam, kita bergerak di medan dakwah hasil dorongan luar diri.

“Apa nak jadi dengan masyarakat di kampus kita, kalau kita tidak berdakwah”, pesan seorang naqib kepada anak buahnya.

“Takkanlah aku nak malas-malas dan mengabaikan dakwah. Ini bukan cakap naqib aku, tapi Allah yang cakap, Nabi yang cakap”, monolog seorang siswa yang baru menerima panggilan telefon memanggilnya hadir ke mesyuarat Program Minggu Dakwah tidak lama lagi.

Ya, mata melihat kemungkaran. Otak tunduk kepada rasional dalil wajib dakwah. Tetapi sudahkah HATI merasainya?

TAHU DAN MAHU

Jika kita berdakwah kerana keyakinan akal terhadap hujah dan dalil, akal kita menawarkan TAHU. Apabila kita duduk dalam ‘dunia akal ‘di kampus, ia sudah cukup untuk membantu diri kita terjun ke medan dakwah. Dunia realiti bukan dunia akal. Ia bukan dunia tahu, dunia kita adalah dunia MAHU.

Sudah berkali-kali saya cuba buktikan, bahawa manusia tidak bertindak hanya berasaskan apa yang dirinya TAHU. Manusia bertindak berasaskan apa yang dia MAHU, dan mahu itu adalah soal hati.

Bagaimanakah apa yang kita TAHU tentang dakwah itu boleh dikesan telah terserap ke dalam hati menjadi MAHU? Jawapannya tidak sukar, pada jalan dakwah itu kita mendapat KEPUASAN hidup.

Bekas peserta kursus saya (rujuk artikel Apa Tajuk Bab 1 Dakwah Anda), mengatakan bahawa beliau bersyukur dapat hadir ke kursus tersebut dan merasa rugi di pihak kawan-kawannya yang tidak hadir. Dalam keadaan baju masih dedah sana sini, dan lidah masih bertindik, beliau berkata, “saya mahu sampaikan apa yang saya dapat dalam kursus ini kepada kawan-kawan saya!”

Tidakkah beliau sudah menerima konsep dakwah? Hatinya sudah mahu, sebelum akalnya tahu…

ANALOGI 3 PEKERJA

Analogikan sahaja kepada 3 pekerja. Pekerja pertama merampus-rampus dan merungut semasa mengecat dinding kerana tertekan dengan kerjanya itu. Pekerja kedua lebih tenang dan gembira mengecat dinding kerana dia tahu, kerjanya itulah nanti yang bakal menjadi gaji. Bekerja untuk menerima imbuhan. Manakala pekerja ketiga sangat gembira dan mendapat kepuasan kerja, sebelum gaji diterima, kerana padanya perbuatan mengecat dinding bukan sekadar sebahagian kerja menyiapkan bangunan, tetapi beliau menganggap dirinya sebagai sebahagian dari kebahagiaan keluarga yang bakal duduk di rumah itu. Bukan hanya cat, tetapi yang disalut pada rumah itu adalah sebuah harapan agar ahli rumah itu nanti bahagia.

Anda pendakwah kategori mana?

Semasa berdepan dengan mesyuarat dan tekanan kerja dakwah, adakah anda merampus dan merungut-rungut? Bandingkan sahaja diri seperti ini dengan pengecat pertama. Buat sesuatu kerana terpaksa, tiada matlamat, dan penuh rungutan.

Atau anda gembira dengan dakwah di kampus? Gembira kerana penglibatan anda bakal dikira di dalam jam kredit, dan boleh dimasukkan di dalam resume? Setiap kali di awal program, nama anda akan dialu-alukan oleh penceramah? Dapat berdamping dengan orang besar-besar yang datang? Dapat kawan?

Macam-macam kita boleh dapat melalui kerja dakwah. Hati gembira apabila berdakwah untuk MENERIMA.

Dakwah kategori ini, tarafnya hanya sekadar ko kurikulum. Aktiviti persatuan. Makna dakwah yang dilakukannya kepada sebuah kehidupan, tidak begitu difikirkan. Semasa miskin jam kredit dan semasa baru berkenalan dengan ‘pengaruh’, mungkin dorongan berdakwah untuk menerima sudah cukup kuat untuk mengajak kita turun ke medan dakwah.

Tetapi jika anda berdakwah di kategori ketiga, anda berdakwah untuk mencari makna hidup. Dakwah bukan semata-mata untuk menerima pengiktirafan kampus, tetapi dakwah anda adalah untuk memberikan makna kepada diri dan rakan. Setelah diri merasa begitu bertuah terpilih menerima sentuhan Iman, terasa dalam diri untuk berkongsi tuah itu dengan saudara yang lain.

Dakwah anda bukan hanya untuk kejayaan diri, tetapi juga untuk kejayaan orang lain. Bukan hanya berjaya mengubah cara fikir, cara pakai dan cara cakap, tetapi berjaya mengubah erti hidup dan bertemu jalan menuju Syurga!

Akhirnya pendakwah ketiga, berdakwah kerana pada dakwah itulah dia bertemu kepuasan hidup. Pada dakwah itulah dia memberi makna kepada hidup. Keinginan untuk berdakwah, adalah kerana kemanisan iman dan penghargaan yang tinggi terhadap hidayah Tuhan, yang melimpah ruah di dalam hati, sebelum datang soal wajib dakwah dan panggilan dakwah terhadap kerosakan bi’ah (persekitaran).

Dakwah ini adalah dakwah dalam ke luar. Bukan lagi dakwah luar ke dalam. Dakwah ini adalah dakwah untuk memberi, bukan sekadar menghitung terima.

Kenapa soal ini penting?

DUNIA KERJAYA DAN RUMAHTANGGA

Apabila adik-adik di kampus terjun ke medan kerjaya dan berumahtangga, mereka yang dahulunya aktif berdakwah akan kecundang satu demi satu.

Mereka kecundang bukan kerana fikiran telah berubah.

Dulu saya yakin dakwah itu wajib, tetapi kini di alam kerja dan rumahtangga, saya berjumpa dengan wajib yang lebih besar dan tinggi. Tidak ramai yang ‘gugur’ kerana berfikir begini.

Mereka kecundang bukan kerana suasana persekitaran sudah kekurangan maksiat dan sebab dakwah. Malah maksiat makin banyak, makin menggila. Tetapi lagi banyak maksiat bertebaran, makin kurang pendakwah yang bertahan.

Gugurnya da’ie dari jalan dakwah bukan kerana itu semua.

Gugur itu hanya kerana 5 huruf yang sakti.

S.I.B.U.K.

Ya, jika sibuk dijadikan alasan, tidak akan ada sesiapa pun yang berani membantah. Jika dahulu kita sendiri, kini sudah bersuami atau beristeri. Anak-anak bakal menyusul. Dulu satu ibu dan satu bapa, satu keluarga dan satu saudara mara. Kini semua berganda dua. Hujung minggu hanya sehari atau dua.

Tanpa disedari, sudah setahun tidak berusrah. Sudah setahun tidak berceramah, sudah setahun bercuti dari dakwah. Salahkah bercuti dari dakwah? Akal mungkin berkata ya, tetapi hati sedap menikmatinya.

Jika dahulu, makna hidup dicari pada kawan yang mad’u dan diri yang da’ie, tetapi kini makna hidup beralih pada kerjaya, pada rumah tangga, pada semua selain dakwah.

BAGAIMANA MENGATASINYA?

Bagaimanakah adik-adik boleh selamat dan terkecuali dari fenomena warisan ini?

Saya sendiri masih bertarung, selagi nyawa dikandung tubuh.

Tetapi saya percaya, saya berdakwah bukan untuk menerima, tetapi kerana mahu memberi. Dan pada memberi itu, saya meng’erti’kan hidup, lantas terasa berbaloi mengorbankan Sabtu dan Ahad demi Sabtu dan Ahad, meninggalkan anak sendiri untuk bertemu anak orang lain, demi erti hidup yang pada MEMBERI.

Kerana itulah saya masih terus bertahan, walaupun dalam seribu kepayahan.

“Kenapa mahu berdakwah?”, tanyalah kepada diri.


Sumber : Abu Saif @www.saifulislam.com

13 Mac 2007

*******


No comments: