SOMALIA
Saat ummat Islam seluruh dunia menunaikan ibadah puasa dengan penuh nikmat dalam bulan Ramadhan yang mulia ini, pada saat itu juga puluhan ribu warga Somalia kehilangan nyawa akibat kebuluran dan jutaan lagi terdedah kepada ancaman kebuluran yang sangat teruk.
“Perut cucu saya sudah kurus kering kerana dia mengalami kelaparan terlampau. Saya fikir stok makanan yang diperoleh ini tidak mencukupi dan mampu bertahan untuk beberapa hari saja kerana kami perlu berkongsi dengan tujuh orang ahli keluarga lain,” kata seorang mangsa sambil menunjukkan perut cucu lelakinya yang berusia lima tahun.
Beginilah senario terbaru di Somalia yang sedang berhadapan dengan krisis makanan kronik dalam tempoh dua dekad. Krisis kemanusiaan terburuk pada abad ke-21 itu telah menyebabkan separuh daripada rakyat tempatan bergelut mendapatkan bantuan makanan bagi meneruskan kehidupan.
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menjangkakan krisis kebuluran berkenaan akan terus merebak dalam tempoh dua bulan di Somalia sekiranya tiada bantuan dihulurkan.
Berdasarkan data yang dikeluarkan Unit Analisis Keselamatan Makanan dan Nutrisi (FSNAU), seramai 3.76 juta rakyat Somalia terpaksa mengharapkan bantuan kemanusiaan dari segi makanan dan ubat-ubatan.
Disebabkan tidak mampu lagi untuk menjalani kehidupan di tempat sendiri yang sudah kehabisan sumber makanan, majoriti rakyat Somalia sanggup merentas kawasan panas kering dan berkaki ayam di bawah terik matahari yang mencecah 50 darjah celsius ke kem-kem pelarian yang menyediakan makanan.
Malangnya, belum pun sempat menjejakkan kaki di kem berkenaan, segelintir daripada mereka mati dalam perjalanan terutamanya kanak-kanak dan bayi. Cuaca panas dan kebuluran antara faktor utama yang meragut nyawa mereka. Sementara yang berjaya tiba di kem dalam tempoh 24 jam tampak lesu, tidak terurus dan kurus kering.
Dianggarkan secara purata setiap hari, seramai 60 bayi mati akibat kelaparan dan kekurangan makanan berkhasiat, selain kemusnahan tanaman dan haiwan ternakan.
Mereka hidup bergelut dengan maut. Kita di sini bagaimana?
Justeru, sebagai sebuah badan yang proaktif dan responsif, MPPMJ menyediakan satu wadah bagi mahasiswa di Jordan yang ingin menghulurkan bantuan dan sumbangan. Selain itu, ia adalah merupakan salah satu usaha MPPMJ dalam memperkasakan peranan mahasiswa muslim daripada pelbagai aspek selari dengan tuntutan syara’.
Tabung bantuan kebajikan Somalia dilancarkan pada 28 Ogos 2011 melalui persatuan-persatuan zon (PZ) seluruh Jordan secara serentak. Kutipan dana yang diperolehi akan diserahkan terus ke negara darurat terbabit melalui Yayasan Amal Malaysia.
“Dan apakah jalannya yang engkau dapat mengetahui ,apakah amal-amal yang tinggi darjatnya di sisi Tuhan itu? Iaitu memerdekakan hamba abdi, atau memberi makan di hari kelaparan, kepada anak yatim dari kaum kerabat, atau kepada orang miskin yang terlantar di atas tanah. Kemudian mereka tergolong dalam kalangan orang beriman yang berpesan-pesan dengan sabar serta berpesan-pesan dengan kasih sayang”
(Surah al-Balad 12-17)
Semoga usaha kita yang tidak seberapa ini diberkati Allah. Rebutlah peluang keemasan di bulan Ramadhan ketika pintu-pintu syurga terbuka luas untuk hamba-hamba Allah yang ikhlas bersedekah.
PEMUDA-PEMUDI HARAPAN,
BERILAH MEREKA PELUANG,
HANYA JD 1…
Anisatul Qalbi Binti Mohd Sofiyuddin,
Pemangku Timbalan Presiden 2,
Majlis Perwakilan Pelajar Malaysia Jordan (MPPMJ),
Sesi 2011-2012.
Sumber : POrtal MPPMJ
No comments:
Post a Comment