Terlalu banyak yang mahu dibicarakan jika menyentuh tentang
wanita dan aurat. Bermula persoalan asas, batas aurat yang ditentukan syariat
sehinggalah mencakupi perkara berbangkit yang timbul.
Bukan sekadar pakaian, pembawaan diri, pergaulan dan
batasannya, malahan gambar-gambar yang tersebar di ruang siber juga harus
diambil kira oleh seseorang Muslimah dalam menentukan tahap kesempurnaan
penutupan aurat dan hijabnya. Semua memberi gambaran tentang aurat dan hijab
yang sewajarnya diambil berat oleh setiap wanita muslim.
Walaubagaimanapun, terdapat satu lagi persolan berkait
penutupan aurat yang tidak kurang pentingnya untuk diketengahkan iaitu hukum
pemakaian purdah atau niqab.
Wajib
dan Tidak
Baik ulama' silam mahupun
kontemporari, persoalan ini tidak pernah sunyi dibincangkan demi kemaslahatan
wanita Islam dan ummah secara umumnya. Secara ringkasnya, hukum pemakaian
purdah merupakan masalah yang diperselisihkan hukumnya yang diiktiraf.
Antara barisan ulama' kontemporari
yang tegas menyatakan rupa paras wanita adalah aurat ialah Sheikh Ibn Baz rhm. dalam
banyak fatwanya. Dr Sa'id Ramadhan Al-Buthi dalam Ila Kul Fatat Tu'min bi
Allah, Abu Al-Ala' Al-Mawdudi dalam Al-Hijab. Sementara ulama' yang
menyatakan wajah wanita bukan aurat ialah majoriti ulama semasa seperti Dr.
Yusuf Al-Qaradawi dalam bukunya al-Niqab li al-Mar'ah al-Muslimah bayna
Al-Qawl bi Bid'iyatih wa al-Qawl bi Wujubih, Sheikh Taqiyuddin al-Nabhani
dalam al-Nizam al-Ijtima'i fi al-islam dan Sheikh Nasiruddin al-Albani
dalam Jilbab al-Mar'ah al-Muslimah fi al-Kitab wa as-Sunnah.
Berbeza
Pandangan
Daripada penjelasan ringkas hukum
purdah di atas, seseorang Muslimah boleh berpegang pada pandangan yang
mewajibkan pemakaian niqab atau tidak. Perlu diingat, ulama telah
membahaskan secara panjang lebar tentang wanita, aurat dan hukum yang
bersangkut paut dengannya termasuk hukum berpurdah melalui penilaian dan
perbahasan dalil-dalil daripada al-Quran dan sunnah bagi tujuan dakwah dan
menjauhi keburukan atas nama Islam dan iman.
Walau bagaimanapun, tidak perlu bagi
mana-mana wanita yang berpegang kepada salah satu daripanya memandang hina atau
buruk kepada golongan yang berbeza pandangan daripada mereka kerana
kedua-duanya masih berada dalam daerah pahala.
Dalam hal ini, Sheikh Nasiruddin
al-Albani rhm. menyatakan :
" Dapat diambil kesimpulan
bahawa permasalahan menutup wajah bagi seorang wanita dengan purdah (niqab)
atau yang seumpamanya seperti yang dikenakan oleh sebahagian wanita zaman ini
yang bersungguh-sungguh menjaga dirinya adalah suatu perkara yang terdapat
dalam syariat dan termasuk amalan atau perbuatan yang terpuji walaupun ia
bukanlah satu hukum yang diwajibkan (atas mereka). Kepada mereka yang
mengenakannya (menutup wajah) beerti dia telah melakukan kebaikan dan mereka
yang yang tidak melakukannya pula tidaklah berdosa. " ( Al-Albani, Jilbab Al-Mar'ah al-Muslimah
fi al-Kitab wa al-Sunnah hlm. 128 ).
Kefahaman dan Taqwa
Kini
kita terlalu jauh dari tempoh kenabian dan terlalu lama terpisah dari zaman
salafussoleh yang amat menitikberatkan sifat warak dan berjaga-jaga dalam
setiap tindakan, sehingga terlalu banyak ajaran dan aturan Islam yang dipandang
lekeh. Realiti kini menunjukkan wanita bebas berada di luar rumah tanpa batas,
hilir mudik berada di hadapan lelaki ajnabi atau bersama-sama lelaki bukan
mahram tanpa keperluan yang syarii. Ditambah lagi, mereka keluar dari rumah
dengan mengenakan busana yang kurang sempurna, memperlihatkan perhiasan dan
mengenakan haruman di badan.
Justeru,
perkara yang paling utama pada pandangan saya, baik berpurdah atau tidak kedua-duanya
perlu memiliki kefahaman yang didasari ketaqwaan kepada Allah s.w.t tentang
suruhan menutup aurat dan berhijab bagi wanita ketika berada di luar rumah
sebagai suatu konsekuensi iman yang ada di dada mereka.
Muslimah
yang benar-benar faham tentang arahan ini pasti menyedari semua itu adalah
hijab (tabir pelindung) yang bertindak umpama benteng dan diniding yang
menyelamatkan mereka dari daripada pandangan nakal dan gangguan lelaki fasiq yang
tidak berakhlak.
Rasulullah
s.a.w bersabda, maksudnya : " Wanita itu aurat. Apabila dia keluar dari
rumah, syaitan terus memandangnya (untuk menghiasinya pada pandangan lelaki sehingga
terjadilah fitnah). " ( Riwayat at-Tarmizi )
Ramai
umat Islam pada hari ini terlepas pandang akan hadis Nabi s.a.w di atas. Jika
ada yang mengetahuinya, tidak ramai yang dapat menerima dengan hati terbuka dan
bersuluh iman kerana inti patinya yang tidak selari dengan hawa nafsu mereka. Bahkan
mereka mendakwa ia hanya merendah-rendahkan kaum wanita, tidak lagi relevan dengan
perkembangan zaman.
Sama
ada Muslimah tersebut mengenakan purdah atau tidak, berada di luar rumah, alam
nyata atau alam maya, mereka perlu diawasi dan dibatasi secukupnya. Yang perlu
diimplentasi ialah roh penutupan wajah itu iaitu merendahkan pandangan daripada
dipandang atau memandang secara tidak wajar.
Lazimi Rumahmu
Allah
s.w.t memerintahkan wanita duduk di rumah jika tiada sebarang urusan yang
memerlukan mereka keluar seperti menuntut ilmu, bekerja menambah ekonomi keluarga,
mendapatkan rawatan atau nasihat perundingan dan lain-lain yang diizinkan
agama, dengan manfaat agar nilai dan harga diri wanita sebagai perhiasan dunia yang
indah dapat terus dipelihara.
Allah
s.w.t berfirman, maksudnya :
" Dan hendaklah kamu berada di rumahmu dan
janganlah kamu berhias dan bertingkah laku seperti orang Jahiliah yang terdahulu.
" ( Surah al-Ahzab 33 : 33 ).
Walaupun
ayat ini ditujukan kepada isteri Nabi s.a.w, namun wanita selain mereka perlu mentadabbur
ayat ini dan mengambil manfaat daripadanya. Amat wajar difahami ayat ini bukan untuk
membataskan gerak-geri seorang wanita atau mengurangi peranannya dalam
masyarakat. Hakikatnya, ayat ini menjelaskan tentang cara seorang wanita
tatkala dia keluar dari sempadan rumahnya agar tetap selari mengikut ajaran Islam.
Sayangnya,
ramai yang telah terlupa tentang perkara ini dan "membuka" diri bukan
sekadar dengan menjadi pengunjung tetap pusat beli belah tanpa tujuan membeli dan
berlegar-legar, bahkan mereka menggunakan hujung-hujung jari sahaja untuk
memperagakan wajah dan rupa.
Buka Diri
Malangnya, fenomena
ini tidak terkecuali kepada Muslimah yang tidak menutup wajah semata-mata, tetapi
turut menjangkaui Muslimah yang memakai niqab dan purdah.
Pengalaman saya
sendiri tatkala menemukan foto-foto Muslimah berpurdah yang bergambar dengan
solekan dibahagian mata dan dilirikkan pula mata itu dengan gaya yang tidak
sesuai dengan akhlak seorang Muslimah solehah yang benar-benar mahu menutup
pintu fitnah daripada menerjah masuk ke dalam dirinya atau orang yang
melihatnya. Di bawah gambar-gambar tersebut, terdapat banyak pujian daripada
teman-teman lelaki dan wanita kerana kecantikan matanya yang satu-satunya dapat
mereka teliti dan perhati.
Benar,
mengenakan solekan di mata iaitu dengan memakai celak termasuk dalam perbahasan
perhiasan yang biasa nampak nampak darinya sebagaimana pendapat pendapat Ibn
Abbas, Anas bin Malik dan Qatadah.
Justeru, harus
mengenakan celak mata baik bagi lelaki dan wanita sebagaimana yang dinyatakan
oleh Dr.Abd Karim Zaidan dalam Al-Mufassal fi ahkam al-Mar'ah wa al-Bayt al-Muslim
fi al-Syariah al-Islamiyyah.
Namun,
mengenakan celak dan solekan yang tebal agar lebih menyerlah kecantikan mata dan
menambahkan keindahan pesonanya, sudah tentu tidak termasuk dalam keharusan ini
kerana ia sudah dikira tabarruj ( berhias ) yang ditegah kerana mampu menarik
perhatian orang yang melihat dan melahirkan perasaan yang tidak baik terutama kepada
kaum lelaki.
Begitu juga
kepada adik-adik remaja yang berpurdah di luar tetapi membiarkan gambar mereka dengan
wajah tidak bertutup disebarkan dalam laman sosial dan blog sehingga boleh
ditatap oleh lelaki berkali-kali oleh lelaki.
Sungguhpun tidak
haram membuka purdah, namun tindakan ini tidak selari dengan objektif mereka berpurdah
ketika berada di khalayak ramai dan konsep hijab itu sendiri, apatah lagi
apabila gambar yang dipamerkan itu juga memperlihatkan aksi-aksi melampaui
batasan yang sepatutnya. Jika sebaliknya, ia dibolehkan dengan harapan dan izin-Nya
ia dapat menyedarkan Muslimah lain yang menatap untuk mencontohi tindakan mereka
berpurdah dan melindungi kecantikan wajah kerana Allah s.w.t.
Disebalik Secebis Kain Itu
Muslimahku,
kita melindungi aurat dan mengenakan hijab yang sempurna bukan kerana semakin
ramai wanita melakukannya, terikut-ikut trend semasa dan mahukan pujian sebagai
wanita solehah yang terpilih dan mulia. Tetapi demi mencari keberkatan dengan
mengikut cara para isteri Nabi dan Muslimah pada zaman Baginda s.a.w yang
merupakan sebaik-baik contoh teladan dan tuntutan buat buat Muslimah beriman.
Baik
berpurdah atau tidak, insafilah kita membawa syiar Islam di sebalik apa yang
dipakai. Kita melindungi diri demi mencari redha Ilahi kerana sesungguhnya
Allah s.w.t menghendaki pakaian untuk melindungi aurat itu juga merupakan
penutup dan tabir pelindung daripada pandangan "mata" syaitan durjana.
Ia pemangkin rasa malu, penghindar cemburu melulu dan pemelihara maruah serta
harga dirimu.
Di
sebalik pakaian kita, suburkan rasa malu dengan menjauhi larangan-Nya dan berpegang
erat dengan segala perintah-Nya. Sedarilah, malu itu sememangnya penentu nilai
seorang Muslimah bertaqwa dan beriman. Semoga kita tergolong dalam kalangan
mereka, amin.
Artikal ini dipetik dari ruangan Tanbih, Majalah Solusi #44. hlm. 52-53
Dikarang oleh Ustazah Noraslina Jusin - www.ummuhusna99.blogspot.com