Friday, January 29, 2010

~ Tudungkan aku ibu ~



Aku cuba melayan tangan yang ingin digerakkan.Sungguh,tinggal menuntut ilmu di Jordan banyak memberi aku ilham serta pengajaran disepanjang jalan perhambaan.Hati sebagai raja pun memberi arahan,akhirnya mula mencoret mengisi ruang yang asalnya tiada ruang untuk diri dimanjakan.

Teringat aku tika sedang rancak mencoret,watak utama berasal dari Indonesia yang aku lahirkan dalam coretan membuatkan aku teringat kepada seorang teman.Dia bernama Kar(saja aku rahsiakan nama penuhnya) berasal dari Indonesia.Aku mengenalinya hasil perkenalanku dengan sahabat arab,Rona.Tidak perlu ku lebarkan kisah Rona.Kar ialah pembantu rumah keluarga Rona.

Suatu masa,aku terbaca 'post' di Yahoogroup PERMAI tentang pasangan pelajar yang ingin meminta bantuan mencarikan pembantu rumah sekitar kawasan terdekat,Irbid,Jordan.Tugas sebagai Timbalan Pengerusi Kebajikan & Keselamatan PERMAI menyerlahkan lagi tanggungjawabku.Inginku cuba membantu.Aku terus teringat kpada Kar & terus menghubunginya agar dapat membantu pasangan itu.Setelah dia memberikan nombor agen pembantu negara Indonesia(hakikatnya amat sukar mencari pembantu mengikut pilihan),dia bersahaja memanjangkan mesej perbualan.Kadang lucu kadang sayu.

Kar :"Anisa,kalau di pikir-pikir kamu itu lucu juga.Umur kamu berapa si an,kalau aku udah mahu 24..udah punya anak laki-laki masih kecil umur 1 setengah tahun..namanya Raihan Ali Firdaus.Menurut kamu,nama anak saya bagus enggak?"

Aku : "Lucu?Apa yang lucunya kak ?..Bagus akak namanya.Sangat cantik namanya..'wangian di syurga(firdaus)' kan? akak ingin memaksudkannya apa ye? Tapi kalau Raihan Firdaus(wangian syurga) sudah baik juga,inshaAllah.

Kar : "Terima kasih Anisa,tapi Anisa kalau kamu punya anak laki-laki mau di beri nama apa ya?Sebenarnya saya datang ke Jordan cuma pelarian dari suami.Saya ke sini tanpa pengetahuan suami.Suami saya tahu selepas aku ada di jordan,makanya di suruh pulang.Anak,saya tinggalkan semenjak umur 10 bulan.Kalau melihat foto anak saya,saya menangis merasa menyesal.Saya itu orangnya egois,enggak pernah dengar nasihat suami."

Aku : "umur saya 19 tahun..tidak tahu mahu kasi nama apa..perlu ada sepakatan dengan suami dan orang lain juga(belum terfikir).Banyak saja nama yang baik-baik,tetapi nama yang terbaik perlu kita pilih untuk anak kerana itu adalah harta yang terbaik,juga amanah yang paling bernilai di dunia & di akhirat(inshaAllah)..Mungkin akak harus pulang ketemu suami & anak.Suami akak sering memarahi akak?atau dia ada melakukan sesuatu diluar batasan Islam terhadap kakak?...kerana kakak egois?itu mungkin dulu kakak,tapi kini aku yakin,akak ibu & isteri terbaik buat anak & suamimu,tiada yang bisa menggantikan dirimu kerana kamu begitu berharga(sebab itu,suamimu suruh pulang)..teringat saya tentang suatu hadith(mafhumnya):" jika mati seseorang itu maka terputuslah segalanya kecuali 3 perkara: amal jariah yang ditinggalkan,ilmu yang dimanfaatkan & doa anak yang soleh(mendoakan)" "

Maafkan aku kakak....~Semoga Allah merahmati & memudahkan urusanmu kakak Kar & sekeluarga~

Mai kakak,adik dan teman.Jangan malu jangan segan.Cerita bisu tinggalkan pesanan,mungkin hanya cebisan.Aku mulakan dengan nama Ar-Rahman.

" TUDUNGKAN AKU IBU "


“Congratulation!Awak sungguh hebat!” Sofiah rakan sekuliah memujinya kerana berjaya menyelesaikan segala permasalahan yang diutarakan pensyarah sebentar tadi dengan cepat dan tepat.
Bab ‘Bisness Management Project’ agak sukar kali ini.
“Be enjoy but be professional and proficient,ok” itulah ungkapan yang sering diutarakan dan dipraktikkan dalam segala urusan kehidupannya.
Antara kata yang dikutip dari mantan presiden Britain sekaligus menjadi prinsipnya yang teguh.
Wafa,siapa yang tidak mengenalinya,dialah pelajar Indonesia Phd yang terbaik dalam kalangan pelajar Phd yang lain di University of Wales United Kingdom.Sejak dirinya bergelar Mahasiswa Master di University of Yarmouk lagi,kepintaran dan kecekapannya sudah terserlah.Terkenal juga dengan idealisme yang tinggi.
Pangkat mumtaz yang diraihnya menyebabkan pihak University of Yarmouk menghadiahkannya biasiswa bagi melanjutkan pelajarannya dalam jurusan ekonomi dan perbankan Islam di negara orang putih.
***
Zaman dara remajanya diakhiri dengan sebuah perkahwinan.Tidak hairanlah jika dia digandingkan dengan seorang jejaka yang tidak kurang hebat seperti dirinya.Pasangan secocok yang amat berprestasi dan sepangkat meski berbeza profesion.
Wahidah adalah permata hati hasil buah percintaan mereka.Ketika ini,Wafa bekerja sebagai pembantu pengurus di salah sebuah syarikat terkenal di Indonesia sesuai dengan pangkat Phdnya.Kehadiran seorang putri bernama Wahidah telah menyerikan lagi rumahtangga yang dibina bersama suaminya.Kononnya,hanya Wahidah sahaja yang dapat melengkapkan kebahagian mereka,maka nama putri mereka itu diambil dari kalimah bahasa arab,Wahidah yang bermaksud satu atau seorang atau pun tunggal.
Sesungguhnya seorang ayah haruslah menunaikan hak ke atas seorang anak sebelum anak itu menunaikan hak terhadapnya.Hak si anak pernah dikatakan oleh Saidina Umar:
“Memilihkan ibu yang baik , menamakan dengan nama yang baik serta mengajarkannya Al-Quran.”
***
Kerja Wafa semakin menggila ketika Wahidah meningkat usianya enam bulan.Bagai ketitir betina terbang bebas kerana hampir setiap hari dia terbang dari satu kota ke kota yang lain juga dari negara ke negara yang lain.
“ Wafa,tidakkah Wahidah itu terlalu kecil untuk kau tinggalkan? “ tanya Muna kepada sahabatnya.
“Don’t worry.Everything is ok!Be enjoy but be professional and proficient.Aku sudah menyiapkan segalanya buat Wahidah “ pantas balas seorang ibu pintar dengan yakin.
Kata-katanya itu bukanlah dusta.Ia terbukti kerana layanan dan keprihatinan untuk putri kecilnya semua diuruskan oleh seorang ‘baby sitter’ yang profesional.Senang Wahidah memanggilnya Mak Fatimah.Wafa hanya mengatur dan mengawal jadual Wahidah melalui telefon.Putrinya itu membesar dengan sempurna,bijak dan aktif.
“Nanti,bila Wahidah telah dewasa,ikutlah jejak ayah dan ibumu ya” harapan seorang nenek kepada cucu kesayangannya.
Kadang neneknya sering menonjolkan kebanggaan dan kehebatan kedua ibu bapanya kepada Wahidah tentang kejayaan,wang ringgit dan kehidupan yang senang.
***
Wahidah bagai si malaikat kecil buat semua.Kini umurnya genap tujuh tahun.
“Wahidah dah besar sekarang.Jadi,kena pakai tudung.” pinta Mak Fatimah lembut.
“Skirt ini dah tak sesuai dengan Wahidah.Esok kita beli baju yang lebih sesuai dan cantik ye” tambahnya lagi.
Wafa juga sering mengingatkan Mak Fatimah agar tidak lupa mengajarkan anaknya ilmu agama.Teringat Mak Fatimah sewaktu dia mendengar tazkirah ringkas di Masjid Ar-Rahman tempoh hari.
“ Suruhlah anak-anakmu solat sedang mereka berumur tujuh tahun. “ Hadith Nabi Muhammad S.A.W
Ulama’ suka mengambil pengajaran bahawa pendidikan anak bermula tujuh tahun.Ertinya jika Islam mengarahkan pendidikan solat dibentuk ketika berumur tujuh tahun,maka hendaklah dibentuk bersama pendidikan penutupan aurat,sosial dan pergaulan serta adab dalam kehidupan.


“dan pukullah mereka sedang mereka berumur sepuluh tahun”hadith Nabi S.A.W
Islam juga menasihatkan proses peringatan tersebut mengambil tempoh tiga tahun sehingga berumur sepuluh tahun.Barulah dibenarkan si anak dipukul atau dirotan jika melakukan kesalahan seperti meninggalkan solat.

Pakar motivasi juga ada menyatakan bahawa seseorang itu dianggap telah menasihati anaknnya apabila dia melontarkan 200 kali nasihat atau ungkapan yang sama barulah mendapatkan teori pelaziman.
***

Permintaan si malaikat kecil semalam membuatkan Wafa dan suaminya mengerti bahawa anak mereka amat memerlukan perhatian.Atas pengertian itu,lalu pulanglah mereka untuk menghabiskan waktu bersamanya.
“Dia minta adik?” nada suaminya yang merasai kelainan atas permintaan anak kesayangannya.
“ Biasalah tu,tak ada kawan nak diajak bermain.“ tambah suaminya,Adli sambil tersenyum sengih.
Namun kesibukan mereka belum boleh membuktikan yang mereka bersedia menghadirkan teman sepermainan buat Wahidah.Sungguh Wahidah ‘memahami’ orang tuanya.Dia juga tidak mahu banyak merengek,seperti dia mewarisi karakter ibunya.
Meskipun ibu dan ayahnya sering pulang lewat,Wahidah tidak pernah merungut.Bahkan dia setia menanti dan menyambut kepulangan mereka dengan wajah yang ceria.Layaklah dia dengan sapaan manja si malaikat kecil oleh Wafa dan Adli.
Beruntung benar pasangan berprestasi itu.Hidupnya senang.Keluarganya bahagia,ditambah pula mempunyai anak yang memahami dan menurut kata.Pasti,makhluk disekeliling mereka mungkin ada yang berasa iri hati.Tetapi ada juga makhluk yang semakin kencang berdoa agar bahtera rumahtangga mereka terus terbina kukuh.

***
Peristiwa ini berulang dalam beberapa hari sebelum Wafa dan suaminya berangkat ke Syria atas urusan perasmian syarikat baru Wafa.
Petang itu,Mak Fatimah ingin menemaninya ke taman permainan seperti biasa.Taman permainan sering dijadikan tempat berhibur bagi Wahidah.
“Tak nak pakai..tak nak pakai..Wahidah nak ibu yang pakaikan “ rengekan Wahidah kepada Mak Fatimah apabila diminta memakai tudung dan baju yang sopan ketika hendak keluar rumah.
Wafa dan Adli berfikir bahawa Wahidah baru hendak memasuki alam persekolahan.Jadi,dia meminta ditingkatkan lagi keprihatinan terhadapnya.Cuma dengan gaya bahasa yang agak berbeza.
Tanpa menghiraukan permintaan si malaikat kecil,terus mereka berangkat pergi.
Kali ini,Wahidah menangis ketika ditinggalkan mereka.
***
Fikiran Wafa menerawang teringatkan anaknya.Hatinya terasa lain.Perasaan kasih rindu terhadap anak kecilnya,tiba-tiba menghentak kuat ketika hari terakhir mereka berada di Syria.Dibuang jauh-jauh perasaan itu sebolehnya.Hari itu mereka akan pulang ke Indonesia.
“ Puan Muna , Wahidah di masukkan ke hospital.Dia ditahan di wad sekarang ini.“ amat terkejut Muna akan berita itu.
Pantas dia ke ICU menemui anak sahabatnya.Terus dilayangkan mesej ringkas kepada Wafa dan suaminya serta menasihati mereka agar tidak terlalu risau tentang keadaan anaknya.
Setibanya Wafa dan suaminya di pintu rumah banglo tiga tingkat itu,tiada lagi si malaikat kecil yang menyambut ceria kepulangan mereka.
Segalanya telah terlewat.Dunia bagaikan kelam sebentar.Dia tidak percaya apa yang berada di hadapan matanya.Sekujur tubuh kecil terbaring kaku dipembaringan.
Patutlah fikirannya sering terfikir akan anak tunggal kesayangannya sejak kebelakangan ini.Hati diselaputi kerinduan yang tidak pernah dialaminya sepanjang kesibukannya bekerja semenjak Wahidah kecil dahulu.
Sebelum dia tiba di rumah,teringin benar dia membelikan sehelai tudung putih buat Wahidah dan memakaikannya sendiri.Rupa-rupanya itulah permintaan terakhir yang sering dituntut Wahidah selama beberapa hari sebelum ibunya berangkat pergi.
Allah S.W.T punya perancangan lain.Wahidah si malaikat kecil telah dijemput oleh Yang Maha Mengasihi.



***
Memang Wafa teringin dan menyimpan niat bahwa dia akan memakaikan sendiri pakaian anaknya.
Wafa masih mempunyai peluang dan ruang untuk dia memakaikan pakaian dan tudung buat si malaikat kecilnya itu.
Siang itu,keinginannya termakbul.
Siap dimandikan,Wafa mengafankannya dengan kain dan tudung putih yang akan membaluti seluruh tubuh serta kepalanya.
“ Wahidah,ini ibu nak.Ini ibu yang pakaikan baju dan tudung buat Wahidah” ucapannya lemah di tengah-tengah kesunyian jemaah.
Ombak deras membantai pantai kembali tenang.Awan mendung kembali cerah.Semuanya seolah-olah mengerti dan meredhai pemergiaan si malaikat kecil.
Satu persatu helaian kain putih dipakaikan sehinggalah ke anak tudung sambil hatinya meruntun sedih mengharap Wahidah kembali membuka matanya.Perlahan-lahan sahabat Wafa menjauhkan Wafa dari tubuh kecil itu sambil berusaha menyembunyikan tangisan.
***
Ketika tanah yang masih merah basah menutupi jasad Wahidah,Wafa tetap berdiri disisi pusara.Berkali-kali Muna memujuk menariknya pulang.
Wafa mengatakan “ Ini sudah takdir.Sama sahaja jika si malaikat kecil aku ini berada disisi atau aku diseberang lautan,kalau sudah masanya,dia tetap akan pergi jua.Ya kan?”
Dia langsung tidak merasa memerlukan hiburan orang lain ketika itu.Suaminya tidak terpeta kata tegap berdiri melihat pusara anak kesayangannya.
Tiba-tiba Wafa menjerit sekuat hati “ Aku ibunyaaa!!”
“ Bangunlah anakku.Ibu janji,ibu akan memakaikan tudung buat Wahidah,berilah ibu peluang sekali lagi” rintihnya kesal.

Dia redha.
 
Air matanya terus membanjiri tanah yang menaungi jasad kecil Wahidah.Sungguh,dialah anak tunggal yang tiada gantinya buat Wafa dan Adli.
Hari semakin senja.Burung-burung kembali terbang pulang ke sarang.Bunga-bunga mewangi pun menyaksikan kepulangan mereka berdua.
***
~Sekian,Wallahua'lam~
Harta yang dipinjamkan haruslah dipulangkan semula kepada tuannya yang hak.Begitu juga anugerah harta yang tidak ternilai harganya di dunia dan akhirat.Allah mengurniakan anak yang bersifat sementara buat pasangan suami dan isteri,maka harus Allah mengambilnya semula.
Ranting yang patah mati mustahil boleh dicamtumkan lagi.Perkara yang manusia sering anggap remeh itulah banyak yang menimbulkan kekesalan tiada bertepi dan amat dirasai pabila ia pergi.Bukan segalanya boleh dijual beli.Kasih sayang serta cinta sejati tiada sesuatu yang boleh menjadi pengganti.Ingatlah segala kurniaan Allah dan hargailah sebaiknya sebelum ia kembali ke negeri abadi.
~aku hanya hamba>hati_ARIA<~



No comments: