Saturday, April 16, 2011

Perginya 'abah' yang disayangi.



Bismillah..


Minggu cuti asrama kali ini Anisa tidak pulang ke rumah. Cuti kali ini dia ingin ke rumah atuk & nenek sebelah bapanya di Shah Alam. Lagi pun rumah atuk lebih dekat dengan asrama. Biasanya giliran nenek sebelah ibu sewaktu dia pulang ke rumah nanti kerana rumah nenek sebelah ibu agak dekat. Selain membersihkan rumah dalam & luar, dia suka meringankan kerja atuk & neneknya dengan mencukupkan bahan-bahan dapur atau keperluan rumah lain sekiranya habis, lebih-lebih lagi tanpa pengetahuan mereka. Kadang mereka pergi membeli-belah bersama ( maknanya dia tak cukup duit sebaliknya atuk yang belanja ^^ ). Mengeratkan ukhwah & kasih sayang juga. Begitulah rutin sewaktu dia pulang bercuti, waktunya dibahagikan untuk keluarga,atuk & nenek,keluarga penjaga-penjaga sewaktu kecilnya,jiran tetangga & rakan-rakan yang lain sekiranya dia berkesempatan.

Di dapur rumah nenek..

Anisa : Nenek, boleh Anisa bantu? Biar cucu nenek yang masak hari ini.
Nenek : Boleh. Nenek nak masak Telur Masak Merah. Permintaan atuk untuk menu hari ini.
Nenek sambil mengukir senyuman.
Anisa : Mesti nenek ada resepi tersendiri. Bukan Anisa tak tahu nek, risau pula nanti rasanya jadi lain dari yang lain. Apakata nenek ajarkan cara-caranya dahulu, kemudian Anisa praktikkan. Tapi nenek jangan bagitau atuk siapa yang masak. Kalau atuk tanya, biar cucu nenek yang jawab ye nek.
Mereka berdua ketawa kecil.Itulah kali pertama dan terakhir dia menyediakan menu masakan permintaan atuknya.


***



Jordan-Sabtu,19 Februari 2011 : Dalam kesibukan menyertai program sukan peringkat Irbid anjuran PERMAI, petang itu dia menerima khabar dari pak ciknya di Amman bahawa atuknya telah meninggal dunia. Ayahnya menyampaikan berita melalui pak ciknya. Inna lillah-hi wa inna ilaihi raji'un. Ketika dia menghubungi ibunya untuk mendapatkan berita lanjut, tiada kata-kata yang mampu diungkapkan dari hati lembutnya. Dia lebih banyak membisu diiringi manik-manik jernih yang tumpah di pipinya.

" Setiap yang bernyawa pasti akan tiba ajalnya. Semua ok. Anak ibu jangan bimbang. Nanti bila keadaan dah stabil, telefon semula dan cuba cakap dengan nenek ye, tenangkan hati nenek. " Antara kata-kata ibunya yang sedang memandu dari mengambil salah seorang adiknya di asrama ke rumah atuk.

Dia tidak menyangka tahun lepas adalah tahun terakhir dia berhari raya bersama atuk kerana pada asalnya dia tidak merancang untuk pulang ke Malaysia. Hikmah perancangan dariNYA sangat cantik.




Atuk, cucumu,dia & mereka..

Merindui kepimpinanmu sebagai imam

Merindui kepimpinanmu sebagai ketua keluarga

Merindui suasana solat berjemaah & makan bersamamu

Merindui kemesraan & ketegasanmu sebagai datuk

Merindui akhlakmu yang mulia pada sesiapa saja

Merindui semangatmu yang kuat, azammu yang tinggi

Merindui semua suasana tika bersama denganmu

Mengagumi dirimu sebagai guru

Mengagumi anugerah Allah pada kepakaran yang engkau miliki

Belum sempat aku berguru denganmu, kini dirimu pergi buat selama-lamanya..


Dialah atukku dialah 'abah' pada anak-anaknya juga pada sesiapa yang mengenali dirinya.

Atuk bernama Ahmad bin Yusuf. Orang ramai memanggilnya 'abah'. Atuk pernah menjadi seorang pengetua Sekolah Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Sabak Bernam,Selangor ketika zaman mudanya. Kemudian berhijrah ke Shah Alam ditugaskan menjadi Imam Besar Masjid Negeri Shah Alam suatu ketika dahulu. Juga pernah menjadi tabib diraja selepas bersara menjadi imam, lagi mencurahkan baktinya sebagai guru di masjid yang sama dia menjadi imam. Pernah juga menjadi hakim tilawah peringkat antarabangsa. Pernah juga dianugerahi tokoh Maal Hijrah dan boleh mengubati penyakit misteri dengan anugerah ilmu yang Allah anugerahkan kepadanya. Hari-hari yang dilaluinya penuh dengan amal kebaikan, ruang yang lapang tidak kurang zhikirnya pada Ar-Rahman malah makin bertambah. Sering bangun malam menambah kekuatan & tali ikatan antara hamba dan Pencipta Alam. Dihormati & disegani serta mempunyai ramai kenalan dalam & luar negara. Juga lain-lain amanah,gelaran & anugerah yang diterimanya. Cukuplah itu sahaja sedikit sebanyak tentang diri atuk.

Sebelum atuk menghembuskan nafasnya yang terakhir, dia meminta anak-anak pulang bertemu dengannya.Namun, tidak semua sempat ketemu. Semua adik-adikku sempat bersalaman dengan atuk kecuali adik lelakiku yang berada di luar negeri dan aku masih di bumi anbiya' ini. Dahi & kepala mereka sempat dikucup. Adik-adik sempat menyatakan sesuatu pada atuk & atuk sempat menyampaikan pesanan. Terharu bila terkenang.

Terima kasih sepupuku atas kiriman gambar


Aku di Jordan,setiap kali menghubunginya, atuk tetap mengatakan bahawa dia masih sihat dan kuat walau pada hakikatnya atuk tidak mampu lagi berbuat apa-apa melainkan terbaring di atas katil. Atuk menghembuskan nafas terakhirnya pada jam 8.55 malam waktu Malaysia pada 19 Februari 2011 disisi anak lelakinya(bapaku) juga bersama isterinya yang tercinta iaitu nenekku.Solat jenazah ditunaikan keesokan harinya di Masjid Negeri jam 10.15 pagi diimami oleh anak lelakinya,pak cikku Nizhomuddin. Sejumlah 3000 lebih makmum dan dikebumikan di Makam Diraja Shah Alam di hadapan Masjid Negeri. Allah telah membenihkan kasih sayang atuk melalui kehadiran orang ramai di majlis pengebumiannya. Juga dihadiri kerabat diraja dan mufti. Diiringi cuaca yang agak tenang pada hari itu. Alhamdulillah.

Nenek bakal tinggal bersama keluargaku setelah peninggalan atuk. Nenek amat beruntung kerana masih punya anak-anak & cucu-cucu yang amat menyanginya.


Tarbiyahmu sebagai murabbi

pesananmu tetap dihati

kan ku tetap tabahkan diri

menongkah arus ombak duniawi

meskipun kita jauh dibatasi bumi

hidup dan mati hanya kerana Ilahi..


Moga rohmu atuk dicucuri rahmat Allah Rabbul Izzati.

Atuk yang menamakan cucunya, Anisatul-Qalbi..


( وَلَنَبْلُوَنَّكُمْ بِشَيْءٍ مِّنَ الْخَوْفِ وَالْجُوعِ وَنَقْصٍ مِّنَ الأَمْوَالِ وَالأنفُسِ وَالثَّمَرَاتِ وَبَشِّرِ الصَّابِرِينَ )

Terjemahan : Dan pasti Kami akan menguji kamu dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan . Dan sampaikanlah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar.

( Al-Baqarah : 155 )


(الَّذِينَ إِذَا أَصَابَتْهُم مُّصِيبَةٌ قَالُواْ إِنَّا لِلَّهِ وَإِنَّا إِلَيْهِ رَاجِعُونَ )

Terjemahan : (iaitu) orang yang apabila ditimpa musibah, mereka berkata " sesungguhnya kami milik Allah & kepadaNYa lah kami kembali "

(AL-Baqarah : 156)



"اللَّهُ يَتَوَفَّى الأَنفُسَ حِينَ مَوْتِهَا وَالَّتِي لَمْ تَمُتْ فِي مَنَامِهَا فَيُمْسِكُ الَّتِي قَضَى عَلَيْهَا الْمَوْتَ وَيُرْسِلُ الأُخْرَى إِلَى أَجَلٍ مُسَمًّى إِنَّ فِي ذَلِكَ لَآيَاتٍ لِّقَوْمٍ يَتَفَكَّرُون "

Terjemahan : Allah memegang nyawa (seseorang) saat kematiannya dan nyawa (seseorang) yang mati ketika dia tidur; maka Dia tahan nyawa orang yang telah Dia tetapkan kematiannya dan Dia lepaskan nyawa yang lain sampai waktu yang ditentukan. sungguh,pada yang demikian itu terdapat tanda-tanda ( kebesaran ) Allah bagi kaum yang berfikir.

( Az-Zumar : 42 )

No comments: