Sunday, June 24, 2012

KEMBARA SYUHADA' ( 1 )

5:01 AM 0 Comments

Bismillahi wa a'la barokatillah.

Semoga para pembaca yang dikasihi Allah sentiasa sihat,ceria dan terus kuat mempertahankan agamaNYA.



LANGKAH DI HARI SAYYIDUL AYYAM


02 Sya'ban 1433 Hijrah bersamaan 22 Jun 2012. Hari Jumaat.

Apa maknanya disebalik tarikh dan hari itu? Mungkin ada makna mungkin juga tiada makna apa-apa. Biar saya maknakan. Maknanya berbaki 3 kali Jumaat sebelum saya berangkat meninggalkan bumi Jordan setelah tamat pengajian di sini. Tarikh ini juga tarikh bermakna dan istimewa bagi saya. Tambahan, mengharap hari ini, dapat memberi makna dalam memahami erti hidup.

Langkahan di hari penghulu segala hari. Melangkah kembara kali-2 dan terakhir ke maqam-maqam di dataran syuhada' , Muktah.



ABDULLAH BIN RAWAHAH


Peperangan Muktah sungguh memberi kesan dan banyak pengajaran bagi sesiapa yang ingin mengambil pengajaran.

Abdullah Bin Rawahah mengambil tempat di medan ini. Peperangan yang terjadi di Muktah, Jordan bersamaan bulan Jamadil Awal tahun ke-8 Hijrah. Beliau adalah sahabat yang diamanahkan oleh Nabi Muhammad S.A.W untuk mengetuai angkatan tentera Islam dan memegang panji Islam selepas Zaid Bin Harithah dan Jaafar Bin Abu Thalib  ( Jaafar At-Tayyar ).

Baginda mengutus sebuah pasukan besar dalam peperangan Muktah, yang dipimpin oleh Zaid bin Haritsah. Lalu baginda saw bersabda : 

“Apabila dia terbunuh, maka pimpinan diserah kepada Ja’far bin Abu Thalib. Jika Ja’far juga terbunuh, maka pimpinan diserahkan kepada Abdullah bin Rawahah.” 
(HR Bukhari 7/393 dari hadith Ibnu Umar, Ahmad 5/291,300,301 dari hadith Abu Qatadah). 



Abdullah Bin Rawahah memberikan semangat kepada kaum Muslimin, beliau berkata :  

“ Wahai saudara! Demi Allah, sesungguhnya yang kalian benci yang telah menjadikan kalian keluar adalah yang kalian inginkan, iaitu syahid. Kita tidak memerangi mereka dengan jumlah, tidak pula dengan kekuatan, tidak pula dengan banyaknya tentera. Melainkan tidaklah kita memerangi mereka selain kerana agama ini yang mana Allah telah memuliakan kita dengannya. Maka bergeraklah ( maralah ), kerana sesungguhnya yang menanti adalah satu dari dua kebaikan, kemenangan atau mati syahid. ”



Kamera silap setting tarikh.


Abdullah Bin Rawahah merupakan seorang penulis dan penyair yang terkemuka. Rasulullah S.A.W sangat menyukai nukilan syairnya sehingga mendapat pujian. Ada juga yang mengatakan ibnu Rawahah penyair kesayangan Nabi Muhammad S.A.W. Selain baktinya dalam peperangan Muktah, penulisan syairnya juga banyak mengabdikan kejayaan Islam. 








Entah mengapa saya begitu teruja dengan syairnya, Abdullah Bin Rawahah :




" Tetapi sesungguhnya aku meminta pada Yang Maha Pemurah keampunan
dan tusukan yang mematikan dapat melenyapkan segala kekotoran
atau tikaman ( tombak ) dengan tanganku yang tersedia terlatih
yang boleh mengoyakkan isi perut dan hati
sehingga apabila mereka ( orang ) melewati kuburukanku,mereka berkata :
semoga ALLAH menjadikannya sebagai pejuang dan ia menjadi kenyataan

* * * *

Sesungguhnya kulihat pada dirimu kebaikan yang kuketahui
dan ALLAH maha mengetahui bahawa penglihatanku tidak menipuku 
Engkau adalah Nabi dan sesiapa yang diharamkan syafaatnya ( Nabi )
di hari perhitungan kelak, maka takdir telah menghinakannya
Semoga ALLAH meneguhkan kebaikan yang Dia berikan padamu
sebagaimana Dia meneguhkan Musa dan menolongmu
seperti mereka yang diberi pertolongan " 




Sungguh berat hati ingin meninggalkan maqam ini. Hanya mampu mengadu dan berdoa padaNYA. Semoga air mata yang tertumpah tidak menjadikan langkahan dan hidup hari ini sia-sia, menjadi penghapus dosa dan menjadi saksi bahawa diri pernah menjejak ke sini. Sedarnya diri hamba tidak layak bersama para sahabat, moga diri ini terus thabat mempertahankan apa yang telah para sahabat perjuangkan demi agama Islam terchenta. Bi iznillah.


Allahumma solli a'la sayyidina Muhammad, ya robbi solli a'lahi wa sallim.



I catatan 2.58 pm I
I 4 Sya'ban 1433/24 Jun 2012 I
I Bayt Dzuu Fadhleen I

Monday, June 18, 2012

WAWANCARA BERSAMA ISTERI BAKAL PRESIDEN MESIR ( Dr. MUHAMMAD MURSI )

6:18 AM 0 Comments

 

Assalamualaikum ikhwah dan akhawat sekalian,

Semakin besar harapan Dr. Muhammad Mursi untuk meraih kemenangan dalam pilihanraya presiden pertama  secara bebas di Mesir, semakin ramai orang yang berminat untuk mengetahui tentang isteri beliau di mana beliau dalam sebuah wawancara di salah sebuah stesen televisyen menyebut bahwa isterinya banyak memberi pengaruh terhadap prestasi  besar yang diraih dalam kehidupannya dan sangat berperanan baginya untuk mewujudkan berbagai kejayaan sehingga mendapatkan sokongan rakyat bagi dicalonkan untuk menjadi presiden Mesir. 

Nama isteri beliau adalah Najla Mahmud. Dilahirkan pada tahun 1962 di desa Ain Syams, timur Kaherah. Setelah berkahwin, dia ikut suaminya tinggal di Amerika Syarikat ketika suaminya hendak menyelesaikan program doktor falsafahnya di sana. Kini keduanya menetap di Kaherah.
Berikut adalah wawancaranya dengan media Ikhwanonline.net


Dr. Mursi menyatakan dalam beberapa kali wawancara bahwa anda adalah penasihat khususnya. Apakah dia minta nasihat anda sebelum dilantik menjadi calon presiden. Apa reaksi anda dan anak-anak anda ketika itu?

Tentu sahaja, sebelumnya tidak ada di antara kami yang terfikir  akan isu pencalonan presiden beliau, apalagi Jamaah Ikhwanul Muslimin dan Parti Kebebasan dan Keadilan pada mulanya menetapkan untuk tidak menaikkan sesiapapun dari mereka untuk dicalonkan sebagai presiden.

Namun keputusan berubah apabila parti dan jamaah telah mengangkat Khairat Syatir untuk maju dalam pemilihan presiden.

Kami sudah cukup gembira ketika itu, Allah telah membebaskan kami dari tanggungjawab berat tersebut sambil kami tetap akan mengerahkan segala potensi dan kekuatan untuk menjayakan program tersebut, tetapi dalam kedudukan sebagai 'perajurit' bukan kerana ingin ke depan.

Namun oleh kerana jamaah dan parti bekerja berdasarkan sistem dan mereka meramalkan akan berlaku permainan dan muslihat politik, maka perkara tersebut menjadi alasan untuk mengetengahkan suami saya Dr. Muhammad Mursi untuk menunaikan tugas dan projek ini jika ternyata Ir. Khairat benar-benar dilarang.

Ketika penolakan terhadap Syatir benar-benar berlaku, perkara tersebut semakin menguatkan bahwa kita bekerja bukan kerana jawatan, tetapi berjuang kerana Allah Ta'ala. Buktinya Syatir menerima keputusan penolakan terhadap dirinya dan berjuang bersungguh-sungguh untuk berkempen bagi pihak Dr. Mursi. 


Apakah anda merasa tersinggung dengan julukan sebahagian orang yang mengatakan bahwa Dr. Mursi adalah 'Tayar Ganti'?

Sama sekali tidak, kerana pemilihan tersebut bukan menunjukkan urutan keutamaan. Ertinya bahwa keduanya adalah layak, sedangkan pengganti tidak semestinya lebih lemah. Istilah 'tayar ganti' adalah bahasa media, sedangkan jamaah tidak memilihnya untuk menjadi'tayar ganti', akan tetapi untuk menghadapi muslihat dan permainan politik. 


Bagaimana keluarga menghadapi keputusan jamaah yang menetapkan Dr. Mursi sebagai calon presiden?

Meskipun tabiat manusia pada umumnya tidak menyukai ujian, tetapi kami menyambutnya dengan  cinta, ridha dan qanaah.

Kami semuanya sepakat dengan keputusan jamaah tetapi pada awalnya, ketika mereka mengajukan tawaran pencalonan presiden terhadap Dr. Mursi bersama  Ir. Khairat Syatir, kami berdua merasa sangat khuatir akan mengalami berbagai perancangan jahat maka saya katakan kepadanya, "Mengapa engkau menerima perkara tersebut berlaku pada Ir. Khairat Syatir sedangkan engkau tidak bersedia menerimanya pada dirimu?"

Hal ini bukan bererti kami tidak boleh risau, bagaimanapun kami sebagai manusia apalagi keputusan diambil dalam waktu yang sangat singkat. Kesimpulannya, kami akan sokong setiap calon dari Ikhwan, apakah dia Dr. Mursi atau Syatir atau lainnya, dengan segenap kemampuan yang kami miliki, samada berupa ucapan mahupun gerakan hingga ke akhirnya. 


Apakah anda tidak khuatir akibat yang perlu anda bayar beserta keluarga dari pencalonan ini?

Kami sudah benar-benar sedari apakah risiko yang akan kami tanggung, tetapi semua itu menjadi ringan jika dibandingkan dengan apa yang akan kami berikan kerana Allah dan umat ini.

Demikianlah kami belajar dari Jamaah Ikhwan, bahwa kemaslahatan umat didahulukan dari kemaslahatan peribadi. Oleh yang demikian, kami bersedia menanggung berbagai risiko dengan kurnia Allah,'Siapa yang berjuang kerana Allah, akan diberikan keteguhan saat menghadapi ujian.'


Apa yang anda ketahui tentang karakteristik seorang ketua negara yang terdapat pada Dr. Mursi?

Dr. Muhammad adalah seorang ahli politik yang matang. Walaupun dalam kesibukannya, beliau sentiasa memberi perhatian terhadap berbagai perkembangan dan masukan serta analisa yang beraneka ragam. Dari hari ke hari saya melihat sifat-sifat kenegarawanannya semakin tumbuh untuk memikul jawatan sebagai Ketua Negara.

Ditambah pula dengan bakat kepimpinan dan pentadbiran dengan semangat tinggi serta kesetiaan yang besar terhadap negara dan rakyatnya.

Itu semua diraih berkat kesungguhan dan kemahuan kuat untuk meraih prestasi demi prestasi seraya memohon pertolongan kepada Allah, sabar menghadapi ujian dan pengendalian diri ketika mengalami peristiwa besar dan merenung untuk mendapatkan penyelesaian terbaik agar dapat keluar dari berbagai krisis dalam keadaan terbaik. 


Dr. Mursi sering menyatakan bahwa anda merupakan prestasi terbesar yang diraihnya dalam hidup. Bagaimana komentar anda?

Ini semua merupakan kurniaan dari Allah terhadap keluarga kami yang diberikan nikmat berupa taufiq, cinta dan kasih sayang. Dr. Muhammad sebagaimana orang Mesir katakan adalah 'orang hebat, anak dari orang-orang hebat'.

Dia selalu mengenang perjuangan saya ketika saya mengikutinya ke Amerika setahun setengah setelah perkahwinan kami di Mesir. Ketika itu dia sedang menyelesaikan program PHDnya.

Ketika itu saya mengerahkan segenap kemampuan  untuk membantunya dalam menyelesaikan tugas dan meraih prestasi terbaik. Meskipun misi tersebut sangat berat, kami tetap rajin berdakwah sebelum akhirnya kami meninggalkan berbagai tawaran Amerika yang menggiurkan untuk kemudian kami pulang ke negara kami agar dapat mempersembahkan segenap kesungguhan kepada negara kami.

Inilah yang kami utamakan. Di sini kami melalui kehidupan yang sangat berat, berupa ugutan rejim lama, kezaliman, penahanan serta berbagai ancaman lain. Namun, Allah telah memberikan kami kurniaan kesabaran, keteguhan dan kejayaan atas kemurahan dan kurniaNya. 


Pelajaran apa yang diperolehi oleh keluarga Mursi dari pengalaman pilihanraya sebelumnya?

Pada pilihanraya tahun 1995 yang diselenggarakan tanpa kehadiran pengawasan dari mahkamah serta kemungkinan berlakunya berbagai penipuan, kami dapat belajar dari Dr. Mursi bahwa seseorang perlu mengerahkan segala usahanya terlebih dahulu, sedangkan hasilnya ada di sisi Allah.

Sedangkan jamaah memiliki matlamat yang sangat banyak yang ingin diwujudkan bagi umat ini. Di antaranya adalah keberadaan mereka di kerusi parlimen. Oleh kerana itu, jamaah mendorong setiap anggotanya agar mendampingi rakyat dan sentiasa berkomunikasi dengan mereka.

Yang kedua kami belajar darinya bagaimana menghormati keputusan jamaah. Ketika jamaah memintanya untuk diajukan sebagai calon pada pilihanraya tahun 2000, beliau tetap menerimanya walaupun baru sembuh dari sakit ketika itu. Beliau tidak pernah menolak permintaan Ikhwan. Ketika itu saya merasa berat, kerana saya tahu bahwa rejim lama tidak akan membiarkan keberadaannya di kerusi parlimen.

Banyak keluarga anggota parlimen yang mendapatkan kemudahan istimewa. Bagaimana keadaan keluarga Mursi ketika dia duduk di kerusi parlimen selama 5 tahun?

Selain berharap pahala dari Allah, tidak ada kemudahan yang kami dapatkan selain gangguan dan ancaman kerana dia merupakan tokoh dan anggota parlimen yang paling kehadapan. Anak saya, Ahmad, lebih dari sekali ditahan sebagai usaha ugutan terhadap bapanya agar tidak lagi mencalonkan diri pada pilihanraya berikutnya.

Begitu juga saudaranya, Usamah, sempat ditahan, dicolek pada malam hari oleh pihak unit khas dan mendapatkan perlakuan yang kasar, ketika itu beliau sedang menuju ke masjid untuk menemui saudaranya. Ini ditambah pula dengan berbagai isu lain yang dikaitkan dan sering disebarluaskan. Di antaranya isu bahwa dia melantik anak perempuannya sebagai dekan, padahal dia sendiri dalam kumpulannya yang disingkirkan. Perlantikannya berlaku semata-mata kerana sebuah peristiwa. 


Serangan media akhbar sangat keras terhadap calon dari Parti Kebebasan dan Keadilan. Apakah anda tidak khuatir? Sejauh mana pengaruhnya pada keluarga anda?

Allah Azza wa Jalla sentiasa menggagalkan setiap usaha yang dikerahkan untuk mencari aib seseorang. Media di sini memang terkenal zalim dan telah hilang kredibilitinya, mereka sering memihak dan mencipta isu-isu. Hingga kini saya belum dapat mengembalikan kepercayaan terhadap akhbar Mesir kerana seringkali mereka menyebar berita bohong tentang keluarga kami.

Meskipun demikian, saya masih merasakan kemuliaan Islam dan semakin menambah keyakinan saya bahwa saya berada di jalan yang benar kerana saya benar-benar yakin terhadap program Ikhwanul Muslimin. Bagi mereka yang mengamati sirah dengan baik, akan mengetahui bahwa beginilah sunnatullah, bahkan para rasulpun menghadapi berbagai ujian. Dan hal ini akan semakin menambah kekuatan bagi kami. 


Tersebar isu bahwa Dr. Mursi melarang anda untuk meneruskan kuliah. Apakah perkara itu benar?

Saya pergi ke Amerika setelah saya menyelesaikan pendidikan menengah atas. Di sana saya belajar bahasa Inggeris secara khusus. Setelah itu saya bekerja tanpa gaji sebagai penterjemah secara langsung bagi para wanita muallaf Amerika dalam pengajian mereka di Bait Thalib Muslim di Los Angeles.

Pada mulanya setelah kembali dari Amerika saya berniat untuk meneruskan kuliah, tapi akhirnya saya lebih memilih untuk sepenuh masa dalam mendidik anak-anak saya. Akhirnya saya dan anak-anak dapat menyelesaikan hafalan Al-Qur’an. Saya memberikan mereka pelajaran hingga sekolah menengah atas. Dari sinilah saya mulai melakukan aktiviti dakwah bersama jamaah Ikhwan. Itulah pekerjaan saya.

Adapun Dr. Muhammad, tidak pernah melarang saya untuk meneruskan pelajaran dan tidak melakukan campur tangan dalam masalah ini. Justeru sebaliknya, apabila saya memintanya untuk memperkukuhkan kembali kemampuan bahasa Inggeris saya, dia memberi memotivasi kepada saya. 


Mendapatkan kewarganegaraan Amerika adalah mimpi bagi orang yang bekerja dan tinggal di sana. Apakah anda pernah berusaha untuk mendapatkannya?

Sebagaimana yang diketahui bahwa undang-undang Amerika menetapkan bahwa sesiapa yang dilahirkan di negara Amerika akan mendapatkan kewarganegaraan Amerika. Inilah yang berlaku kepada kedua anak kami, Ahmad dan Syaima.

Adapun saya dan Doktor, sebenarnya mudah sekali bagi kami untuk mendapatkan kewarganegaraan tersebut, akan tetapi tidak selangkahpun yang kami tempuhi untuk itu. Saya cabar sesiapa sahaja yang dapat menghadirkan bukti bertulis yang menunjukkan bahwa kami adalah warganegara Amerika. Oleh kerana itulah kami dapat membantah orang-orang yang menuduh kami dalam masalah ini, kerana mereka tidak mendapatkan satu bukti pun. 


Apakah anak-anak anda memanfaatkan kewarganegaraan Amerika mereka?

Kewarganegaraan anak-anak tidak kami gunakan sama sekali. Ketika Ahmad dipenjara, salah seorang aktivis kemanusiaan menasihatinya agar menghubungi kedutaan Amerika, mereka akan mengatur proses pembebasannya sekarang juga.

Maka dia terus menjawab, "Saya adalah warga Mesir, hidup di negara Mesir dan akan memilih Mesir."

Itu pula yang dijawab oleh Mursi, meskipun dia tidak mendengar ucapan Ahmad.

Dia berkata,
"Anak saya adalah warga Mesir, apa yang berlaku pada teman-temannya, berlaku pula padanya. Saya tidak akan minta tolong dengan institusi di luar Mesir untuk campur tangan dalam urusan dalaman negara Mesir walaupun mereka bertindak zalim kepada kami."


Mengapa Dr. Mursi memutuskan untuk menamatkan urusan pelajarannya di Amerika Syarikat dan kembali ke Mesir?

Ketika Doktor menyelesaikan masa kuliahnya di sana, yang selalu terbayang dalam fikirannya adalah bagaimana memberikan manfaat kepada masyarakatnya dari ilmu yang dia raih, apalagi dia menghendaki untuk kembali ketika anak-anaknya masih dalam masa pertumbuhan agar mereka terdidik di sana.
Ketika kami kembali, Ahmad masih berusia 4 setengah tahun sedangkan Syaima berusia 2 setengah tahun. Setelah itu kami tidak pernah mengunjungi Amerika lagi. Kami tinggalkan Universiti Amerika yang menawarkan berbagai macam tawaran. Lalu beliau kembali ke Universiti Zagazig yang ketika itu masih dalam peringkat permulaan. 


Apakah anda tidak menolak keputusan tersebut?

Pada mulanya saya menentangnya, khususnya anak-anak ketika itu masih dalam usia yang tidak perlu dikhuatirkan. Apalagi saya tahu bahwa Doktor ketika itu sangat menyukai pelajaran dan melakukan kajian di mana segala kemudahan tersedia di Amerika. Namun ketika itu dia menjawab bahwa dia ingin agar permulaan pertumbuhan anak-anaknya seperti anak-anak di negaranya.

  
Bagaimana menurut anda peranan isteri bagi seorang Presiden setelah revolusi?

Saya ingin tetap berada di tengah-tengah masyarakat, hidup seperti mereka hidup dan mendengarkan keluh kesah mereka sepertimana perkataan Sayyidina Umar, "Seandainya ada seekor keledai tersesat di Irak, niscaya saya akan ditanya oleh Allah."

Bagaimana halnya dengan manusia yang tidak mendapatkan segelas air bersih atau tidak mempunyai pembiayaan untuk berubat?!

Ada masyarakat yang masih hidup di bawah paras kemiskinan. Merekalah kelompok pertama yang akan menjadi perhatian saya dalam ruang lingkup sosial di luar institusi dan itulah yang selama ini saya ceburi dalam bidang sosial selama sekian tahun di sektor wanita dalam jamaah Ikhwan. 


Bagaimana dengan kegiatan dakwah anda?

Saya akan tetap berdakwah dan tidak mungkin saya tinggalkan kerana inilah hidup saya selama 30 tahun. 


Apakah anda pernah mengimpikan menjadi wanita nombor satu di Mesir? Bagaimana perasaan anda sekarang?

Julukan itu saya tolak sama sekali. Julukan itu berlaku untuk Jihan Sadat dan Suzan Mubarak di mana kedua-duanya ikut campur tangan dalam segala urusan samada politik atau ekonomi.
Islam mengajarkan bahwa Presiden Mesir berikutnya adalah pelayan Mesir nombor satu, maka itu ertinya bahwa isterinya juga adalah merupakan pelayan wanita Mesir nombor satu. 

Setelah sekian tahun hidup dalam kezaliman yang dialami oleh keluarga Dr. Mursi, apa yang anda rasakan ketika menyaksikan kejatuhan diktator Mubarak? 

Ketika itu saya ingat firman Allah Ta'ala,
"Katakanlah, Ya Allah pemilik segala kerajaan, Engkau berikan kerajaan kepada siapa yang Engkau kehendaki dan Engkau cabut kerajaan dari siapa yang Engkau kehendaki." (QS Ali Imran : 26)

Darinya kami mengambil pelajaran bahwa kekuasaan tidak akan berterusan pada seseorang. Dan kekuasaan, jika Allah kehendaki berakhir, maka Dia akan mencabutnya, setelah Dia memberinya dengan mudah, disamping hal itu merupakan kehendak rakyat yang telah dizalimi selama masa kekuasaan diktator, agar hati mereka senang. Khususnya Khairat Syatir dan Hasan Malik yang terlambat dibebaskan.

Ketika saya melihat pemimpin yang digulingkan  itu berada di atas katilnya di ruang tertuduh, dengan berbagai usaha peguam untuk menyembunyikannya dari pandangan, saya ingat bagaimana Khairat Syatir dahulu ketika di sidang perbicaraan dengan kepala tegak. Semua itu memberikan keyakinan pada saya bahwa pertolongan Allah itu pasti datang. 


Bila anda akan mengatakan kepada Dr. Muhamad Mursi, 'Cukup sudah kerja anda sampai di sini?"

Saya tidak akan mengatakan kepada doktor, 'Cukuplah kerja anda sampai di sini' kerana Islam mengajarkan kepada kami untuk sentiasa beramal hingga akhir kesempatan. Ini disebabkan kami beramal kerana Allah. Saya tidak dapat melihat Dr. Mursi tidak beramal. Apabila itu berlaku, justeru saya merasa ada yang aneh padanya. 

Sebagai penutup, apa yang ingin anda katakan kepada suami anda?

Semoga Allah menolongmu memikul tanggungjawab ini dan memberimu keteguhan  dan keridhaan serta menjadikan kami sebagai penolongmu di jalan tersebut.
  
Ya Allah, tetapkanlah kaki kami di jalan dakwahMu dan berikanlah kami sifat istiqamah beramal untuk melaksanakan segala tuntutan dan perintahMu. Kurniakanlah kemenangan kepada golongan mukminin yang sebenar sehingga syariatMu akan tertegak semula di bumi Mesir dan di bumi-bumi lain di seluruh dunia sehingga kalimahMu tegak berdiri dan memayungi setiap insan di dunia bagi merealisasikan“Rahmatan Lil Alameen”.

Ameen Ya Rabbal Alameen

DR. MUHAMMAD MURSI PRESIDEN MESIR

5:55 AM 0 Comments




Alhamdulillah. Seluas-luas kesyukuran padaNYA dipanjatkan. Jutaan tahniah dirakamkan dan diucapkan buat Dr Muhammad Mursi yang telah dapat mendahalui calon lain dalam piliharaya Mesir kali ini. Walaupun keputusan ini belum lagi diumumkan secara rasmi, impaknya sudah cukup memberi hadiah yang bermakna buat semua muslimin Mesir yang mengharapkan keadilan dan buat 'tenaga kerja' khususnya. Kemenangannya bukan kemenangan individu, tapi kemenangan Islam.

Dalam kenyataan di Facebook, Mursyidul Am PAS, Tuan guru Nik Abdul Aziz Nik Mat melakukan solat sunat dua rekaat tanda kesyukuran selepas merakamkan ucapan tahniah atas kemenangan calon Presiden Muhammad Mursi. Ayuh teman-teman yang cintakan kemenangan Islam, panjatkan kesyukuran kita padaNYA. Solat dua rekaat. Moga dengan kesyukuran yang kita zahirkan, Allah tambahkan nikmat buat kita dan sahabat-sahabat.


" Baru selesai merakam kesyukuran dan tahniah atas kemenangan calon Presiden Mesir, Dr. Muhammad Mursyi... untuk Harakahdaily. Saya akan solat sunat syukur dua rekaat dan berseru agar semua pihak yang cintakan kemenangan Islam turut menzahirkan syukur dengan solat dua rekaat. Allahu Akbar. " 
[ FB Nik Abdul Aziz Nik Mat ]



Lagi Berita : harakahdaily


I 18 Jun 2012 I
I Bayt Dzuu Fadhleen I
I 4 petang I