Thursday, January 5, 2012

MPPMJ : UTUSAN


KEMBARA ILMU KERANA ALLAH
Manusia yang berilmu diangkat Allah darjatnya berbanding mereka yang tidak berilmu.

Insan yang memiliki pengetahuan yang tinggi disanjung manusia walau di mana sahaja berada.



Perkataan mereka dijadikan dalil, semangat mereka dijadikan sumber motivasi,tauladan mereka dijadikan ikutan. Ke mana sahaja menjejakkan kaki, mereka menjadi bualan dan kebanggaan. Bak kata pepatah, dicampak ke darat menjadi gunung, dilempar ke laut menjadi pulau.

Kerana ilmu kita kembara merentas benua, kerana ilmu kita berjauhan daripada keluarga, kerana ilmu kita sanggup meredah apa sahaja.




Tapi, adakah semuanya dinilai sebagai ibadah di sisiNya? Alangkah ruginya jika kita lakukan segalanya hanya mahukan perhatian manusia. Dijulang, disanjung,dihormati tapi di sisi Pencipta Ilmu, ia ibarat debu yang berterbangan dan mengotorkan…

Kita selamanya hidup sebagai penuntut ilmu dan tidak dapat lari daripada peperiksaan. Hakikat peperiksaan bukan sahaja menggunakan pen dan kertas lalu memuntahkan segala yang terbuku di fikiran, kemudian menarik nafas lega setelah meluahkan segalanya, dan terus lupa setelah beberapa ketika.

Hakikatnya, peperiksaan sebenar adalah ketika di hadapan Allah kelak, ketika disoal mengenai bagaimana usia kita dihabiskan.

Dalam kehidupan seharian juga, iman kita diperiksa dengan pelbagai bentuk ujian yang melelahkan jiwa untuk dinilai Allah kekuatan hamba-hambaNya.

Buat sahabat-sahabat seperjuangan di Mesir,
Kembaralah…bertebaran jauh mencari ilmu kerana Allah.
Beramallah…seiring dengan peningkatan ilmu kerana Allah.
Berkhidmatlah…dengan ilmu yang tersimpan di dada kerana Allah.
Semoga semuanya bernilai ibadah...

Selamat menduduki peperiksaan,
Bittaufiq wannajah fil imtihan fiddarain.

~Apabila sesuatu perkara dilakukan kerana dunia, maka ia hanya bersifat tidak kekal dan sementara dan apabila sesuatu dilakukan kerana Allah, maka ia akan bersifat teguh dan ampuh.~


SYAHIRAH SALWA MD HARUN PENGERUSI HEWI, MAJLIS PERWAKILAN PELAJAR MALAYSIA JORDAN (MPPMJ)

______________

Saya sokong HEWI. Salam ukhwah, salam mahabbah, salam mujahadah.

No comments: