Thursday, January 5, 2012

ZAKAT : Zakat Fitrah di Perantauan




" Sesungguhnya Kami telah jadikan setiap sesuatu dengan ukurannya "
( Al- Qamar : 49 )


Beberapa Persoalan dan Panduan
Berkaitan Pembayaran Zakat Fitrah di Perantauan
----------------------------------------------------------------------------


Apakah Maksud Zakat Fitrah:

Zakat fitrah ialah zakat yang dikenakan kerana sempurnanya puasa (al-fitr) di bulan Ramadhan. Ia juga digelar zakat Ramadhan, "zakat puasa", "zakat badan" atau "zakat kepala" atau zakat individu untuk membezakannya dari zakat ke atas harta.



Apakah dalil yang mewajibkan zakat fitrah?

Terdapat beberapa hadith berkaitan kewajipan membayar zakat fitrah ini antaranya:
  • {Ibnu Umar رضي الله عنهما meriwayatkan bahawa Rasulullah صلى الله عليه وسلم telah memfardhukan zakat fitrah di bulan Ramadhan dengan kadar segantang tamar atau segantang barli ke atas setiap individu yang merdeka mahupun hamba sahaya, samaada lelaki ataupun wanita dikalangan kaum Muslimin} - Sahih al-Bukhari & Muslim -
  • {Ibnu Umar رضي الله عنهما meriwayatkan bahawa Rasulullah صلى الله عليه وسلم telah memfardhukan zakat fitrah sebanyak satu gantang tamar atau satu gantang barli ke atas hamba sahaya dan individu merdeka, lelaki dan wanita, budak kecil dan orang tua di kalangan kaum Muslimin serta memerintahkannya ditunaikan sebelum manusia keluar untuk menunaikan solat raya} - Sahih al-Bukhari -
  • {Ibnu Abbas رضي الله عنهما meriwayatkan bahawa Rasulullah صلى الله عليه وسلم telah memfardhukan zakat fitrah sebagai penyuci bagi orang yang berpuasa dari perkara yang sia-sia dan kata-kata yang keji serta untuk memberi makanan kepada golongan miskin, sesiapa yang membayarnya sebelum solat maka ia adalah zakat yang diterima, dan sesiapa yang menunaikannya selepas solat maka ia dianggap hanya sebagai salah satu sedekah} - Sunan Abi Daud & Ibnu Majah -





Siapakah yang diwajibkan membayarnya?

Para ulamak al-Syafii berpendapat bahawa setiap individu Muslim yang akil baligh serta mempunyai harta melebihi keperluan makanan asasi diri dan keluarga dibawah tanggungannya pada waktu yang diwajibkan zakat ke atasnya iaitu pada malam dan hari raya Aidil Fitri adalah diwajibkan membayarnya. Sekiranya duit di tangannya hanya mencukupi untuk membeli makanan diri dan keluarga pada malam dan hari raya tersebut maka dia tidak wajib membayar zakat fitrah bahkan berhak menerimanya.



Adakah golongan yang tidak wajib atau tidak mampu berpuasa juga wajib berzakat?

Jumhur ulamak juga berpendapat bahawa golongan yang tidak diwajibkan berpuasa seperti kanak-kanak yang belum baligh serta golongan yang tidak mampu berpuasa seperti warga emas dan mereka yang tidak siuman dan pesakit kritikal yang tiada harapan sembuh juga wajib membayarnya cuma kewajipan tersebut adalah dibahu penjaga mereka sekiranya mereka tidak mempunyai harta sendiri.



Bagaimana pula dengan mereka yang mempunyai hutang?

Tidak disyaratkan seseorang itu bebas dari hutang kerana hutang seseorang itu tidak menggugurkan kewajipannya dalam memberi nafkah dan menyara anak dan isterinya maka sudah tentu hutang juga tidak menggugurkan kewajipan berzakat fitrah. Ini juga adalah kerana zakat fitrah itu dikaitkan dengan diri individu itu sendiri dan bukannya dengan harta beliau.



Adakah zakat fitrah mempunyai syarat yang sama seperti zakat harta?

Berbeza dengan zakat harta, zakat fitrah hanya mempunyai dua syarat sahaja seperti yang disebutkan di atas iaitu beragama Islam dan berkemampuan. Tidak disyaratkan mesti cukup nisab dan haul kerana ialah adalah zakat terhadap setiap individu Muslim dan bukannya terhadap harta mereka.



Siapakah yang termasuk di dalam tanggungan seseorang itu?

Seseorang itu wajib membayar zakat fitrah untuk kesemua ahli keluarga yang dibawah tanggungan dan berhak menerima nafkah darinya seperti:

  • Isteri atau isteri-isterinya
  • Anak-anak yang belum baligh
  • Anak-anak lelaki yang sudah baligh tetapi masih perlu ditanggung kerana tiada pendapatan sendiri kerana masih belajar atau sakit kritikal dan tidak boleh bekerja atau kerana tidak siuman.
  • Anak-anak perempuan yang sudah baligh dan belum lagi berumahtangga.
  • Ibubapa yang tidak mempunyai pendapatan atau harta sendiri dan bergantung hidup kepada mereka.



Adakah isteri yang mendapat biasiswa pengajian atau sudah bekerja perlu membayar zakat fitrah mereka menggunakan duit sendiri?

Ulamak mazhab al-Syafii menetapkan bahawa sepertimana seorang suami itu wajib untuk memberi nafkah walaupun isterinya bekerja dan mempunyai harta, suami tetap bertanggungjawab untuk membayar zakat fitrah untuk isteri. Namun begitu isteri boleh secara sukarela membayarnya menggunakan duitnya sendiri dengan izin suaminya. Namun jika suami tidak mengizinkan maka dia tidak wajib membayarnya kerana kewajipan sebenar adalah di bahu suami.



Bagaimana pula dengan kanak-kanak atau orang tidak siuman yang berharta?

Jumhur ulamak termasuk mazhab al-Syafii sendiri berpendapat bahawa bayaran zakat fitrah kanak–kanak yang belum baligh dan golongan kurang siuman atau terencat akal yang mempunyai harta sendiri diwajibkan dari harta kanak-kanak atau golongan istimewa itu sendiri. Namun begitu bapa atau penjaga mereka boleh secara sukarela membayar zakat fitrah menggunakan hartanya sendiri jika dia mahu dan ia dianggap sah apatah lagi jika harta yang ada itu tidak banyak demi untuk menjaga kemaslahatan jangka panjang golongan itu juga.



Adakah penuntut Malaysia di Jordan ini dianggap masih dibawah tanggungan bapa atau penjaga mereka?

Kesemua penuntut Malaysia di Jordan ini wajib membayar sendiri zakat fitrah mereka kerana:

  • Mereka bukan lagi di bawah tanggungan bapa atau penjaga kerana telah mempunyai sumber kewangan sendiri. Sekiranya kanak-kanak yang belum baligh pun wajib mengeluarkan zakat fitrah dari harta mereka sendiri sudah tentu mereka yang sudah baligh dan mendapat biasiswa atau pinjaman pengajian wajib membayar sendiri zakat fitrah mereka. Tentulah tidak patut melepaskan tanggungjawab pembayaran zakat fitrah yang tidak sampai 2 dinar itu kepada bapa dan penjaga dengan alasan masih dibawah tanggungan mereka kerana belum bekerja sedangkan kesemua pembelian barang-barang keperluan diri yang lain (termasuk melancong) boleh dilakukan sendiri.
  • Mereka telah pun melepasi had umur yang wajib bagi bapa atau penjaga mereka untuk menanggung mereka iaitu sehingga baligh untuk kaum lelaki. Bagi mahasiswi pula, walaupun hukum fiqah menetapkan bahawa tanggungjawab bapa atau penjaga untuk menyara mereka adalah sehingga mereka berumahtangga namun mereka kini telahpun memenuhi sebab pertama yang dinyatakan di atas iaitu mempunyai pendapatan atau sumber duit perbelanjaan sendiri dan bukan lagi wajib ditanggung oleh bapa.



Adakah terdapat pengecualian terhadap syarat di atas?

Ya, sekiranya seorang penuntut itu belajar dibawah tanggungan persendirian sepenuhnya dari bapa atau penjaga mereka tanpa ada menerima bantuan rasmi kerajaan maka dia dianggap belum mempunyai pendapatan sendiri dan masih dibawah tanggungan penjaga.



Adakah penerima zakat/ dermasiswa Baitul Mal negeri-negeri wajib membayar zakat fitrah?

Ya, penerima zakat atau dermasiswa di kalangan mahasiswa Malaysia di Jordan ini juga wajib membayar sendiri zakat fitrah tersebut sekiranya memenuhi dua syarat di atas. Begitu juga penerima pinjaman JPA atau MARA.



Bilakah diwajibkan membayar zakat Fitrah?

Diwajibkan membayarnya sebaik sahaja terbenam matahari di hari akhir Ramadhan (malam Raya) dan menjadi sunnah nabi untuk membayarnya di pagi raya sebelum bermulanya solat. Ini kerana antara tujuan zakat ini ialah untuk menyucikan lagi jiwa orang-orang yang telah menyempurnakan puasa (disamping menggembirakan fakir miskin di hari raya).



Adakah boleh membayarnya sebelum atau selepas waktu tersebut?

Harus bagi pembayar zakat untuk menunaikan kewajipan mereka sebaik sahaja bermula hari pertama Ramadhan kerana zakat fitrah diwajibkan atas dua sebab iaitu kerana puasa Ramadhan serta kerana menyambut aidil fitri.

Oleh itu jika terdapat salah satu diantara dua sebab ini maka dia boleh mendahulukan pembayaran zakatnya itu kerana masuknya bulan Ramadhan seperti juga boleh membayar zakat bagi harta yang telah mencukupi nisab tetapi belum sampai haul setahunnya lagi. Namun begitu tidak boleh dan tidak sah zakat fitrah yang dibayar sebelum masuknya Ramadhan kerana tidak terdapat dua sebab yang disebutkan di atas sama seperti membayar zakat harta yang tidak cukup nisab dan tidak sempurna haulnya. Dia tetap wajib membayarnya sekali lagi apabila masuk sahaja bulan Ramadhan atau apabila tiba hari raya.


Begitu juga makruh membayarnya selepas selesai solat Aidil Fitri kerana tujuan zakat fitrah ialah untuk diagihkan kepada fakir miskin di hari raya. Sekiranya dia hanya membayarnya selepas berlalu hari raya pertama maka ia dianggap sebagai qadha’ kepada zakat fitrah tahun tersebut. Dia juga dianggap berdosa kerana sengaja melengahkan pembayaran tersebut (kerana ada masa sebulan untuk berbuat demikian). Oleh itu elok lah disegerakan pembayarannya terutamanya jika yakin tidak akan sempat membayarnya di pagi raya kerana kesibukan atau memang menjadi kebiasaannya untuk datang lewat ke masjid atau sering bangun lewat.



Bagaimana pula dengan janin dalam kandungan atau mereka yang meninggal dunia di bulan puasa?

Kedua-duanya tidak diwajibkan membayar zakat fitrah kerana ia hanya wajib ke atas mereka yang sempat hidup sehingga terbenam matahari di hari terakhir Ramadhan (malam raya) seperti disebutkan di atas. Sekiranya dia meninggal dunia sebelum masuk waktu maghrib di hari terakhir itu maka tidak wajib zakat ke atasnya. Begitu juga sebaliknya bagi bayi yang lahir sebelum terbenam matahari tersebut maka bapanya wajib membayar zakat untuknya, tetapi sekiranya bayi tersebut meninggal dunia sebelum maghrib atau hanya lahir selepas maghrib maka tidak wajib zakat ke atasnya.



Bagaimana pula dengan pasangan yang berumahtangga di bulan Ramadhan atau Syawal?

Sekiranya pasangan tersebut bernikah di bulan Ramadhan dan kekal berumahtangga sehingga ke malam Raya maka suami wajib membayar zakat fitrah untuk isterinya. Sebaliknya bagi pasangan yang sah bercerai sebelum malam raya atau hanya bernikah di hari raya maka suami tidak wajib membayar untuk isterinya itu.



Dimanakah sepatutnya dia membayar zakat fitrah?

Dia wajib membayar zakat fitrah di tempat dia bermukim dan berpuasa walaupun bukan negara asalnya.



Sekiranya dia pulang beraya ke kampung?

Dia bebas memilih untuk membayarnya samaada di tempat dia bermukim iaitu Jordan ataupun di kampung halamannya sendiri di Malaysia. Semuanya terpulang kepada perkiraannya sendiri di manakah terletaknya asnaf yang lebih berhak menerimanya. Namun apa yang penting ialah kewajipan membayar zakat fitrah hanya bermula di tempat dia menyambut malam raya iaitu di Malaysia manakala pembayaran zakat fitrah sepanjang dia berpuasa di Jordan hanyalah harus hukumnya seperti disebutkan sebelum ini.



Bolehkah seseorang itu membayar zakat fitrah di luar tempat dia bermukim atau bermastautin?

Boleh sekiranya terdapat tempat lain yang lebih memerlukan berbanding rakyat setempatnya seperti kawasan yang musnah akibat peperangan atau kadar kemiskinannya adalah lebih tinggi dari kawasannya sendiri seperti di bumi Palestin. Namun begitu, tugas ini adalah di bawah tanggungjawab amil untuk menentukannya agar lebih selaras dan berkesan urusan pengagihan tersebut.



Bolehkah seseorang itu membayar zakat fitrahnya terus kepada fakir miskin tanpa melalui amil?

Para Fuqaha' mazhab al-Syafii telah membahagikan harta zakat kepada dua kategori:

  • Harta Batin ialah harta yang tidak boleh dilihat dan dikira oleh selain dari pemiliknya sendiri (tersembunyi dari pandangan pemerintah) seperti duit tunai, barang-barang perniagaan, rikaz (harta karun serta logam dan mineral) dan zakat fitrah. *Harus bagi pemilik harta ini menunaikan zakat harta serta zakat fitrahnya sendiri (sekiranya dia mahu) dan mengagihkan terus kepada mereka yang berhak tanpa melalui pemerintah atau pusat zakat. Pemerintah pula tidak boleh memaksa pemilik harta atau zakat fitrah ini membayarnya melalui mereka melainkan sekiranya terdapat laporan bahawa pemilik tersebut tidak mengeluarkan zakat yang wajib itu maka pemerintah boleh memaksanya membayar zakat itu samaada secara terus kepada asnaf ataupun melaluinya.
  • Harta Zahir ialah harta yang boleh dilihat dan dikira oleh selain dari pemiliknya sendiri seperti hasil ternakan atau hasil pertanian iaitu tanaman seperti bijiran dan buah-buahan. *Harus juga bagi pemilik harta ini menunaikan zakat hartanya sendiri dan mengagihkan terus kepada mereka yang berhak tanpa melalui pemerintah atau pusat zakat. Namun begitu pemerintah berhak memaksa pemilik harta ini membayarnya melalui mereka dan menghukum mereka yang engkar.

Namun begitu untuk kedua-dua kategori di atas, pembayaran kepada pemerintah yang adil yang menyediakan baitul mal atau pusat kutipan dan agihan zakat yang tersusun adalah lebih afdhal malah wajib sebenarnya kerana tugas kutipan dan agihan zakat secara amnya adalah tanggungjawab pemerintah sebagai amil dan bukannya individu.

Perbezaan pandangan di atas mengikut kategori harta hanyalah jika pemerintah tidak memainkan peranannya dengan berkesan dalam mengumpul dan mengagihkan zakat seperti di kebanyakan negara Islam seperti Jordan ini. Malahan Syeikh Yusuf al-Qaradhawi sendiri menyatakan bahawa nas-nas dan dalil-dalil syarak yang menetapkan bahawa zakat adalah merupakan tanggungjawab pemerintah tidak membezakan di antara harta zahir dan batin.

Adapun dalam kes Malaysia di mana setiap negeri mempunyai pusat kutipan dan agihan yang professional dan teratur serta enakmen syariah yang jelas berkaitan zakat maka isu pengagihan secara individu tidak timbul. Ini terutamanya kerana pusat-pusat kutipan dan agihan zakat negeri-negeri lebih mempunyai pengalaman serta kepakaran sepenuh masa untuk menilai kumpulan sasar yang berhak dianggap sebagai asnaf di samping mempunyai pengkalan data jumlah asnaf yang lebih lengkap untuk diseimbangkan dengan jumlah kutipan yang ada.

Adapun secara individu, berkemungkinan besar tidak ramai yang mempunyai ilmu pengetahuan dan pengalaman yang cukup dalam menilai samaada seseorang itu berhak dianggap sebagai asnaf atau pun tidak. Tambahan pula jika semua individu mengagihkan sendiri zakat mereka sudah tentu berlaku ketidakseimbangan dalam pengagihan kerana mungkin terdapat:


  • asnaf yang berhak tetapi tidak menerimanya langsung
  • asnaf yang menerima zakat kurang dari jumlah yang diperlukan.
  • asnaf yang menerima jumlah yang melebihi dari sepatut diterima.
  • golongan yang tidak layak tetapi menerimanya juga.
Antara aspek negatif dalam pengagihan secara terus tanpa melalui baitul mal ialah berkemungkinan si pembayar atau pengagih itu akan merasakan dirinya lebih tinggi dan mulia serta memandang rendah dan hina terhadap si penerima walaupun mungkin tanpa disedari atau sengajakan.

Dalam kes Jordan pula, memandangkan tiada pusat kutipan zakat yang professional ditubuhkan oleh kerajaan Jordan di setiap mantiqah sepertimana di Malaysia (sekadar lujnah zakat di Kementerian Awqaf Jordan) dan tugas tersebut diusahakan sendiri secara sukarela oleh pelbagai pertubuhan kebajikan, maka unit zakat dan sedekah MPPM boleh dianggap sebagai wakil yang syarie untuk mengutip dan mengagihkan kesemua zakat harta dan zakat fitrah rakyat Malaysia di sini.



Berapakah kadar zakat fitrah yang wajib dibayar?

Kadarnya seperti yang disebutkan di dalam hadith Nabi صلى الله عليه وسلم ialah الصاع (segantang) iaitu lebih kurang 2.5kg dari mana-mana makanan asasi sesebuah masyarakat atau negara tanpa terhad kepada jenis makanan tertentu yang disebut dalam hadith sahaja. Namun begitu dia hanya boleh memilih nilai satu jenis makanan asasi sahaja dan tidak boleh mencampur adukkan nilai pelbagai jenis makanan dalam satu gantang seperti mengira nilai separuh gantang beras dicampur dengan separuh gantang gandum atau tamar.



Bagaimanakah penetapan makanan asasi bagi rakyat Malaysia di Jordan? Adakah kadar tersebut mengikut nilai makanan asasi rakyat Jordan atau makanan asasinya sendiri iaitu beras?

Terdapat 3 pendapat di dalam mazhab al-Syafii berkaitan maksud makanan asasi ini iaitu:

  • Makanan asasi penduduk sesebuah negara walaupun berbeza dari makanan asasi diri dan keluarganya – pendapat rajih jumhur ulamak mazhab.
  • Makanan asasi diri dan keluarganya walaupun berbeza dari makanan asasi penduduk negaranya – pendapat marjuh ulamak terdahulu mazhab serta pendapat Imam al-Syafii sendiri.
  • Dia boleh membuat pilihan samaada membayar mengikut kadar makanan asasi penduduk sesebuah negara atau makanan asasi diri dan keluarganya – pendapat ketiga di dalam mazhab.
Oleh itu rakyat Malaysia di Jordan ini bebas membayar mengikut keikhlasannya samaada mengikut nilai yang ditetapkan oleh kerajaan Jordan berdasarkan harga semasa gandum atau mengikut purata harga beras makanan hariannya (nilai pertengahan sekiranya dia memakan pelbagai jenis beras) yang pastinya lebih mahal dari gandum. Sudah tentu membayar harga yang lebih tinggi adalah lebih afdal sempena Ramadhan yang mulia ini terutamanya mereka yang jarang atau tidak pernah menghulurkan sedekah langsung sepanjang 11 bulan yang lalu.

Tambahan pula ia hanyalah kewajipan setahun sekali yang tidak seberapa nilainya berbanding nikmat gaji, biasiswa, pinjaman, zakat atau dermasiswa kurniaan Allah Taala kepadanya itu.

Contoh:

Sekiranya dia secara kebiasaannya membeli beras Thailand 10kg seguni yang berharga JD7 (JD0.70 sekilo) maka nilai zakat fitrahnya yang boleh dibayar pada tahun itu hanyalah JD1.75 (JD0.70 X 2.5kg). Sekiranya jenis beras yang dimakannya adalah lebih mahal seperti basmathi Pakistan maka sudah tentu nilai zakatnya adalah lebih mahal.

Prof. Dr Muhammad al-Zuhaily menyimpulkan:

"Sekiranya di dalam sesebuah negara itu terdapat pelbagai jenis makanan asasi dan tiada suatupun yang dominan, maka wajib dikeluarkan makanan asasi yang digunakannya sendiri. Jika tidak, dia boleh juga memilih mana-mana satu kerana tidak ada suatu pun makanan asasi yang patut diutamakan berbanding yang lain. Namun begitu yang lebih afdhal ialah makanan yang lebih dimuliakan dan lebih tinggi nilai pemakanannya" (المعتمد في الفقه الشافعي 2/101).



Adakah wajib membayar zakat fitrah dalam bentuk makanan seperti beras atau boleh diganti dengan nilai duit?

Jumhur ulamak mazhab Maliki, al-Syafii dan Hanbali berpendapat tidak boleh sekali-kali membayar zakat fitrah menggunakan nilai duit kerana wajib membayarnya menggunakan barang makanan asasi seperti yang ditetapkan hadith.

Ulamak mazhab Hanafi pula berpendapat boleh membayarnya samaada menggunakan barang makanan ataupun mengikut duit mengikut nilai makanan asasi kerana tujuan utama ialah untuk membantu golongan fakir dari meminta sedekah di hari raya dan maksud ini boleh tercapai dengan membayar nilai duit bahkan ia adalah lebih afdal dari barang makanan kerana duit dapat memberi golongan fakir miskin pilihan yang lebih banyak untuk memenuhi keperluan hidup mereka di hari raya berbanding makanan. Berkemungkinan besar golongan ini terpaksa menjual barang makanan yang diterima tersebut (sekiranya banyak) dengan harga yang murah pula untuk membeli kelengkapan raya yang lain. Ini kerana keperluan hidup mereka di hari raya tidak terhad kepada makanan sahaja tetapi mungkin memerlukan pakaian yang baru atau ubat-ubatan. Namun mereka menyebutkan juga bahawa pada waktu-waktu di mana terdapat kekurangan makanan asasi dan bijirin yang ketara seperti kemarau atau bencana alam yang lain maka pembayaran menggunakan makanan asasi adalah lebih afdal.


Syeikh Yusuf al-Qaradhawi menyebutkan:
"Pada pandangan saya, baginda Rasulullah صلى الله عليه وسلم telah memfardhukan zakat fitrah dengan menggunakan makanan kerana dua sebab: Pertama: kekurangan penggunaan duit di kalangan bangsa Arab pada zaman itu, maka sudah tentu pembayaran dengan makanan adalah lebih mudah. Kedua: Nilai duit juga akan sentiasa berbeza dan berubah – ubah kuasa membelinya dari zaman ke zaman dan ini berbeza dengan nilai segantang makanan yang akan sentiasa dapat memenuhi keperluan individu tertentu, tambahan pula makanan pada masa itu adalah lebih mudah untuk si pemberi dan lebih bermanfaat kepada si penerima والله أعلم بالصواب ."



Siapakah yang berhak menerima zakat fitrah?

Keutamaan diberikan kepada golongan fakir dan miskin di kalangan kaum Muslimin kerana itu yang disebutkan di dalam banyak hadith yang berkaitan namun harus juga diberikan kepada 6 kategori asnaf yang lain (amil, muallaf, hamba sahaya, berhutang, fi sabilillah dan ibnu sabil) seperti pendapat jumhur ulamak kerana ayat al-Quran telah menyenaraikan 8 asnaf itu tanpa membezakan antara zakat harta atau fitrah teruatamanya sekiranya terdapat sebab kukuh atau kepentingan untuk berbuat demikian seperti ketiadaan fakir miskin atau terdapat lebihan kutipan yang banyak pada tahun tersebut. Namun fakir dan miskin hendaklah diutamakan seperti yang ditarjihkan oleh Syeikh Yusuf al-Qaradhawi tetapi tanpa menutup peluang asnaf yang lain juga.


_______________________________

Bahan-bahan Rujukan:

عصام أبو النصر؛ تساؤلات معاصرة عن الزكاة والإجابة عليها، دار النشر للجامعات (2008) القاهرة.
محمود شمس الدين أمير الخزاعي، أحكام صدقة الفطر في الفقه الإسلامي، دار الكتب العلمية (2001) بيروت.
يوسف القرضاوي، فقه الزكاة، مؤسسة الرسالة ناشرون، (2007) بيروت.
عمر سليمان الأشقر، محمد سليمان الأشقر، محمد عثمان شبير، محمد نعيم ياسين، أبحاث فقهية في قضايا الزكاة المعاصرة، دار النفائس (2000) عمان.
محمد الزهيلي، المعتمد في الفقه الشافعي، دار القلم (2007) دمشق.
مصطفى ديب البغا، مصطفى الخن، علي الشربجي، الفقه المنهجي على مذهب الإمام الشافعي، دار المصطفى (2008) دمشق



Ustaz Heizal Hezry Omar*
[Penasihat Syariah Unit Zakat dan Sedekah MPPMJ]
2 Ramadhan 1430


*Antara buku yang pernah ustaz terbitkan :
" Tafsir Ayat-Ayat Al-Quran Berkaitan Puasa di Bulan Ramadhan "
( Surah al-Baqarah : Ayat 183 - 187 )

No comments: