Monday, May 21, 2012

Bimbing Diri Menuju Cinta-NYA

4:04 AM 0 Comments





Assalamu’alaikum w.b.t

Mudah-mudahan semua sahabat berada dalam keadaan yang baik.

Ana mohon ruangan ini untuk berpesan kepada diri ana serta sahabat-sahabat semua agar kita sentiasa istiqamah dalam melakukan amal soleh. Kita telah saksikan peringatan-peringatan yang disabdakan oleh Nabi kita SAW bahawa kita telah berada di satu zaman terakhir sebelum berlakunya kiamat. Tanda-tanda kecil yang disebutkan oleh baginda SAW telah berlaku di hadapan kita sendiri, hanya menanti detik munculnya tanda-tanda besar kiamat.

Ketika itu, sangat dibimbangi sekiranya ibadah wajib yang kita lakukan masih lagi berada di tahap sekadar-kadar, dan tak terasa sebagai seorang hamba yang memerlukan Tuhannya. Anggota zahir bersujud kepada Allah, namun hati tidak sama-sama sujud mengagungkan Allah. Bentuklah diri kita bermula dengan hati. Sentiasa bertaubat kepada Allah dan bersedia untuk kehidupan kita yang sebenar di sana nanti.

Lihatlah di sekeliling kita, saban hari dari kenalan kita, sanak saudara serta ahli keluarga kita, kembali menemui Allah. Terukir dalam sejarah akan manusia-manusia yang melakukan kejahatan serta kezaliman di muka bumi ini, mereka telah kembali kepada Allah Raja segala raja. Yang sabar serta istiqamah dalam amal yang soleh, juga kembali bertemu dengan Kekasihnya Rabbul Jalil. Maka pada saat semua makhluk dihimpunkan di bumi mahsyar itu,  bersedialah untuk dihitung segala amal perbuatan yang telah kita lakukan.

Tiada lagi yang berharga melainkan lafaz-lafaz kalimah memuji Allah, lafaz istighfar yang dirasakan seakan tiada nilai ketika di dunia dulu kini mnjadi penyelamat dari bakaran jahannam.

Firman Allah yang bermaksud :

” Dan tiap-tiap manusia Kami kalungkan bahagian nasibnya di lehernya, dan pada hari kiamat kelak, kami akan keluarkan kepadanya kitab (suratan amalnya) yang akan didapatinya terbuka (untuk ditatapnya) Lalu Kami perintahkan kepadanya; “ Bacalah kitab (suratan amalmu), cukuplah engkau sendiri pada hari ini menjadi penghitung terhadap dirimu (tentang segala yang telah engkau lakukan).”  { surah Al-Isra’ ayat 14 dan 15 }


Berkata Syeikh Ibnu Ato’illah dalam kitab Hikam :
“ Maka orang yang sempurna akal ialah yang lebih suka(gemar) pada apa yang kekal daripada yang rosak(lenyap),kerana telah terang nur hatinya dan tampak tanda-tanda bukti nur itu pada seri mukanya. ”


~ Bimbinglah diri kita menuju cinta-NYA ~


Ahmad Kailani Zahari
Presiden
Majlis Perwakilan Mahasiswa Malaysia Jordan (MPMMJ)
Sesi 2012/2013


Artikal asal : MPMMJ



Saturday, May 19, 2012

PEDOMAN HIDUP : MUSIM BUNGA DI HATI

12:05 PM 0 Comments



 


اللهم اجعل القرأن العظيم ربيع قلوبنا

ونور صدورنا

وجلاء احزاننا

وذهاب همومنا وغمومنا و ذنوبنا

وسائقنا ودليلنا اليك والى جناتك جنات النعيم

 
Ya Allah Ya Tuhan kami, jadikanlah Al-Quran yang agung sebagai musim bunga 
( mekar berkembang ) di hati-hati kami ,

cahaya ( penerang ) dada-dada kami ,

pengosongan kesedihan( penderitaan ) kami

penghilang kegelisahan, kesedihan dan dosa-dosa kami

sebagai pemandu serta penuntun kepadaMU dan menuju taman-taman syurgaMU yang penuh kenikmatan..




Thursday, May 17, 2012

CERPEN : KEAJAIBAN HATI ( 1 )

11:08 AM 0 Comments


Sahabat, kita pasti kembali bersatu. 
Kematian bukan pengakhiran kepada suatu ikatan persahabatan.  
Sahabat, moga kasihku padamu terus setia kerana aku tahu kita berkongsi Kasih Dia yang SATU..


    " Pak cik boleh pandu lebih laju lagi? Saya ada temujanji ni, takut tiba lewat pula nanti ." Pinta Khaulah kepada pemandu teksi yang berusia lingkungan 40-an itu. Seakan-akan dia ingin memintas waktu bagi memenuhi temujanji bersama sahabatnya.

Dia tergesa-gesa.

" Assalamualaikum mak cik, maafkan saya kerana menghalang perjalanan. Mengapa jalan ini di tutup dan orang ramai bersesak-sesak di hadapan sana ye ? " Dia kehairanan.

" Waalaikumussalam. Oh, ada runtuhan bangunan. Highland Towers telah sujud ke bumi." Balas mak cik yang ingin meneruskan perjalanan.

Khaulah terus mencari sahabatnya di tempat yang dijanjikan.

Rasa cemas terpancar di wajahnya.

Sekujur tubuh berwajah pucat yang kaku diangkat atas pengusung menghampiri Khaulah seolah-olah menyambut ketibaannya.

" Berhenti! Tunggu, nanti dulu. " Dia menjerit perlahan ketika usungan itu hendak di masukkan ke dalam ambulans.

Didakapnya seerat mungkin sambil air mata kerinduan mengalir deras.

" Ya Allah ! Qalbi ! Sahabat, maafkan aku. Bangunlah. Janganlah terus membisu. Qalbi.." Khaulah terus merangkul tubuh sahabatnya sambil manangis teresak-esak. Qalbi yang sentiasa menjadi peneman setia sewaktu dirinya sukar dan senang sudah tiada lagi.

Wajah ceria Qalbi yang sentiasa tersenyum kini tinggal dalam bayangan. Hanya kasih yang terpatri bersama kebaikan budi tetap kekal di dalam hati.

Pada hari saat Khaulah terbangun, dia benar-benar terlupa dengan SMS itu. Dia sibuk menyiapkan assignment. SMS itu baru dia baca lewat tengah hari, itu pun setelah assignmentnya selesai. Dia benar-benar menyesal kerananya !

" Demi masa. Sesungguhnya manusia berada dalam kerugian, kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan kebajikan serta berpesan-pesan kepada kebenaran dan saling menasihati dengan kesabaran
( Surah Al-Asr : 1-3 )

" Khaulah, jangan lupa temujanji kita di Highland Towers tepat jam 5 petang. Saya berharap sangat kita dapat bertemu sebelum saya berangkat jauh dari negeri kelahiran. Jangan lewat walau seminit ye - Sahabatmu Qalbi ."

Begitu bunyi SMS dari Qalbi. Dia sangat berpegang pada ketepatan waktu. Sesiapa yang melewati waktu perjanjian tidak harus dinanti. Kebiasaannya, orang yang hadir lewat menghadiri temujanji bagai dihargai sebaliknya orang yang tiba awal dihukum pula. Mungkinlah orang yang tiba awal itu telah membatalkan temujanji dengan orang lain semata-mata ingin memenuhi temujanji bersama kita.

Tidak hairanlah dengan petua kontroversinya itu Qalbi berjaya melanjutkan pelajaran ke Australia. Namun telah ditakdirkan dia harus pergi ke tempat yang lebih jauh di mana dia tidak mungkin kembali lagi di dunia.

“ Pada hari kiamat ,sudah tidak berguna lagi harta benda,anak-anak kecuali orang yang datang menghadap Allah dengan hati yang sejahtera.”
( Surah As-Syura,ayat 88-89 )

Walaupun Qalbi lebih jauh dari dulu, Khaulah semakin rapat dengan ahli keluarga Qalbi. Tidak pernah dia melupakan jasa mereka sewaktu dia sekeluarga kehilangan tempat berteduh dek kerana hangus dijilat api.



***


Duhai Bintang,
tanpamu di langit terbentang,
tak indah bila malam datang,
sepi berlalu tanpamu,
langit terlalu luas,
bagi helang seperti aku...


Kisahnya bersama Qalbi sudah lama berlalu, dia tidak pernah menutup ruang persahabatan dengan sesiapa. Tempat untuk insan bergelar sahabat duduk di hatinya tidak dihadkan. Sekiranya ada insan yang dapat mengganti Qalbi, dia pasti akan lebih setia..lebih setia pada janji.

Khaulah menyambung pengajiannya dalam bidang kejuruteraan di Universiti Putra Malaysia ( UPM ). Tanpa disengajakan di asrama, dia sebilik dengan mahasiswi Cina berwajah putih gebu.

Pada mulanya, Karen memang seorang yang keras kepala. Suka berfoya-foya bila waktu malam tiba. Sering mengajak rakan-rakannya melepak di bilik mereka. Tapi, tujuan mereka bukan untuk membincangkan hal pelajaran sebaliknya sengaja ingin mengganggu ketenteraman Khaulah. 

Mereka tidak menyukai muslimah sepertinya. Tiap kali Khaulah ingin membaca Al-Quran, ketika itulah Karen menguatkan suara lagu di laptopnya. Langsung tiada hormat.

Namun, semua perlakuan rakan sebiliknya itu tidak sedikit pun mengundang kemarahan dan menggugat aktiviti ibadahnya setiap waktu. Sebaliknya akhlak yang ditonjolkan Khaulah selama beberapa bulan telah menawan hati Karen.

" Hei perempuan! Baca buku ke, nak menyanyi ke, boleh perlahan sikit tak ? Mengapa kau tak nak berambus dari bilik ini hah?! Tak serik lagi ke apa yang aku lakukan semuanya pada kau? Tak pernah pula kau marah padaku. " Bentak Karen.

Terhenti bacaan Al-Quran Khaulah. Dia menoleh sabar.

" Mengapa saya perlu memarahi awak? Dan mengapa pula saya ingin keluar dari bilik ini? Bukan ada haiwan buas ingin membaham saya. Lagi pun saya berasa begitu selesa di sini." Jawabnya ringkas dengan senyuman manis terukir di bibirnya.

" Islam tidak pernah mengajar bertindak keras sesama makhluk termasuklah golongan orang bukan Islam seperti awak. Malah harus menghormati agama yang mereka anuti. Selagi tiada kemudaratan pada maruah agama dan diri." Tambahnya dengan suara yang lembut dan sopan.

" Nah, sudilah ambil. Coklat ini buat awak, juga sebagai rakan bilik saya dan teman-teman awak tu, tetamu bilik 'kita' juga.. " Hulur Khaulah sambil tersenyum.

Karen terpana sebentar. Terus dia mendiamkan diri serta beransur keluar dari bilik.

" Dong ! " Pintu ditutup kuat.

" Haha. Setakat coklat, aku ada banyak la. Semua sama je. Tak payah tunjuk baik sangatlah. 
Muslimah konon! " Kedengaran dari luar tingkap suara Karen.


Sabda Rasulullah SAW , mafhumnya :
" Sesungguhnya dalam diri manusia itu ada seketul daging. Apabila daging itu baik, maka baiklah seluruh anggota, dan apabila daging itu rosak, maka rosaklah seluruh anggota. Ketahuilah, itulah hati."
( Hadith direkodkan oleh Imam Bukhari dan Muslim )


 ***
bersambung..




I 2 Zulkaedah 1431H I
I 10 Oktober 2010 I
I Plaza Home, Irbid I



Wednesday, May 16, 2012

64 Tahun Nakbah

6:18 AM 0 Comments

64 Tahun Nakbah – Israel Kini Semakin Gementar

64 tahun nakbah dulu dan kini1 215x300 64 Tahun Nakbah – Israel Kini Semakin Gementar

15hb Mei 1948 – 64 tahun Nakbah
 
NAKBAH bermaksud malapetaka atau bencana besar. Manakala Nakbah Palestin merujuk kepada penubuhan Negara Haram Israel yang telah diistiharkan secara resminya pada 15hb Mei 1948. Peristiwa ini berlaku selepas terlaksananya kependudukan dan penjajahan haram oleh rejim Yahudi Zionis ke atas tanah dan penduduk asal Negara Palestin secara sistematik dengan bantuan British dan PBB.
 
Pencetus penubuhan negara Yahudi

theodor herzl 216x300 64 Tahun Nakbah – Israel Kini Semakin Gementar

Cadangan penubuhan negara khas untuk orang-orang Yahudi telah dibuat oleh seorang wartawan Hungari, Theodore Hertzl yang merupakan pengasas gerakan Zionis yang kemudiannya dibukukan di dalam Die Judem Stat (Negara Yahudi) pada 1896. Kewujudan Pertubuhan Yahudi Antarabangsa (WZO) melalui persidangannya yang pertama di Basle, Switzerland pada 27-29hb Ogos 1897 di bawah pimpinannya telah membuka era aktiviti
 politik Zionis, mengorak langkah kepada pembentukan Negara Yahudi di Palestin.


Deklarasi Balfour

British yang merupakan sekutu kuat gerakan Zionis telah sentiasa menyebelahi mereka dengan mengisytiharkan Deklarasi Balfour pada 2hb November 1917 apabila kerajaan British telah memberi jaminan untuk mewujudkan sebuah negara khusus untuk bangsa Yahudi di Palestin. Ini merupakan usaha yang paling jahat dalam sejarah peradaban dunia kerana dengan jelas ianya mencabuli perjanjian  antarabangsa.
 
Holocaust.



hitler nazi parade 300x184 64 Tahun Nakbah – Israel Kini Semakin Gementar


Holocaust adalah satu peristiwa yang dirancang secara sistematik oleh Nazi German yang diketuai oleh Hitler dengan kerjasama pemimpin Zionis di Eropah pada ketika itu. Pembunuhan Yahudi di Eropah secara beramai-ramai itu adalah bertujuan untuk mempercepatkan perpindahan Yahudi Eropah bagi mempercepatkan penubuhan negara yang dikhususkan untuk Bangsa Yahudi iaitu di Palestin.


holocaust 64 Tahun Nakbah – Israel Kini Semakin Gementar
Holocaust ciptaan bersama Hitler dan Zionis

Pemimpin Zionis mempunyai terlalu banyak peluang untuk menyelamatkan bangsa Yahudi Eropah jika mereka mahu berbuat demikian. Namun jenayah terancang ini dilakukan demi cita-cita besar mereka untuk membina nrgra Israel dan kemudiannya Israel Raya. Sejak tahun 1933 berlakulah penghijrahan beramai-ramai yang sistematik yang melibatkan ratusan ribu Yahudi Eropah ke Palestin. Sedikit demi sedikit tanah milik penduduk Palestin dirampas samada dengan cara kekerasan mahupun  dengan cara penipuan oleh pendatang Yahudi.

Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB)

united nations general assembly hall new york city 300x208 64 Tahun Nakbah – Israel Kini Semakin Gementar 

Isu Palestin semakin panas dan mula dibawa ke peringkat antarabangsa di atas tuntutan British yang meminta supaya PBB memasukkan isu tersebut ke dalam agendanya. Laporan Badan Penyelidik Antarabangsa Palestin (UNSCOP) milik PBB telah mengakui tentang ketidak-adilan pengambilan tanah serta cadangan pembahagian bumi Palestin kepada dua buah negara yang berasingan iaitu Palestin dan Yahudi. Namun rentetan duka Palestin semakin berpanjangan apabila sidang pleno PBB yang dipengaruhi Yahudi telah mengeluarkan ‘Ketetapan 181’ yang malang pada 29hb November 1947 dengan membahagikan 2/3 tanah Negara Palestin kepada pendatang Yahudi manakala bakinya yang hanya 1/3 keluasan tanah pula diberikan kepada penduduk asal Palestin yang sah. Inilah situasi yang boeh dianggap mengharapkan pagar tetapi pagar makan padi.


Kelemahan Liga Negara Arab

Arab League Conference 300x199 64 Tahun Nakbah – Israel Kini Semakin Gementar 

Rakyat Palestin adalah antara bangsa yang paling malang di dunia kerana dilupakan oleh PBB, negara-negara Arab dan juga umat Islam sendiri. Ketika Yahudi Zionis erat bekerjasama dengan British dan PBB demi mencapai cita-cita mereka, Liga Negara Arab pula gagal membantu perjuangan rakyat Palestin bagi mempertahankan hak-hak asasi mereka dalam mempertahankan kedaulatan Negara Palestin yang telah mereka diami sejak 4500 tahun lamanya.

Penglibatan tentera dari Liga Negara Arab yang digembar-gemburkan itu hanyalah merupakan tragedi apabila mereka telah ditewaskan dengan mudah oleh angkatan tentera pengganas Yahudi yang juga telah meresap ke dalam pimpinan tentera Liga Negara Arab.
Dengan kekalahan yang mengaibkan tentera Arab di dalam peperangan ini dan diikuti dengan penaklukan 78 % bumi Palestin, Yahudi Zionis telah mengumumkan Negara “Israel” pada petang 14hb Mei 1948. British mengundurkan tentera dan pemerintahannya ke atas Palestin apabila Negara Israel  yang merdeka diistiharkan secara resminya pada 15hb Mei 1948.


Kemerdekaan Israel adalah Malapetaka Palestin

nakba031 64 Tahun Nakbah – Israel Kini Semakin Gementar 

Kesan langsung dari nakbah atau malapetaka ini ialah kekejaman pasukan tentera pengganas Yahudi Zionis yang telah bertindak mengusir lebih daripada 60 % rakyat Palestin (lebih kurang 800 000 orang daripada sejumlah 1.39 juta rakyat) ke luar negara manakala 30 ribu yang lain telah diusir ke daerah-daerah yang ditakluki mereka.

Daripada jumlah 580 perkampungan rakyat Palestin yang wujud sebelum perang 1948, rejim Zionis telah menghancurkan 478 buah kampung serta terlibat dalam lebih 34 jenayah pembunuhan beramai-ramai rakyat Palestin.

Peperangan 1948 telah memusnahkan kehidupan rakyat Palestin yang telah hidup di bumi bertuah ini sejak ribuan tahun lamanya. Sesungguhnya amat tidak adil apabila Yahudi menjadikan Holocaust atau peristiwa pembunuhan bangsa mereka di Eropah oleh Nazi Jerman sebagai alasan untuk mereka membina rejim mereka di atas lautan, penderitaan dan keperitan rakyat Palestin.

Mereka sengaja melupakan bahawa bangsa Yahudi bukanlah penduduk asal bumi Palestin sehinggakan pemerintah tentera mereka yang kemudiannya dilantik sebagai menteri pertahanan, Moshe Dayan mengakui sendiri bahawa setiap penempatan Yahudi dibina dari keruntuhan perkampungan rakyat Palestin. Ini adalah jenayah yang terancang melalui perencanaan dan pengiktirafan sebelumnya.

Jenayah Ini disahkan lagi apabila PBB yang telah mengeluarkan lebih daripada 110 resolusi mereka (sehingga tahun 2000) supaya mengembalikan hak 4.4 juta pelarian Palestin supaya dibenarkan pulang ke kampung halaman mereka. Namun tidak ada satu pun daripada resolusi-resolusi ini yang dilaksanakan oleh rejim Yahudi Zionis.

Nakbah 1948 yang melanda Palestin juga menimbulkan kenangan pahit dan perasaan terhina yang mendalam di kalangan rakyat Palestin, orang-orang Arab dan umat Islam secara keseluruhannya sehingga ke hari ini.


64 tahun An Nakbah

Kini 64 tahun telah berlalunya Nakbah Palestin, namun rakyat dan Negara Palestin terus diganyang Yahudi Zionis sehinggakan :

Rejim Zionis terus yang melakukan penindasan terhadap rakyat Palestin seperti meruntuhkan rumah-rumah mereka, membakar kebun-kebun mereka dan memperluaskan kawasan penempatan pendatang haram Yahudi. Sehingga kini Yahudi telahpun merampas dan menguasai lebih 95 % dari keseluruhan bumi Palestin.

tentera Israel al aqsa 300x205 64 Tahun Nakbah – Israel Kini Semakin Gementar

                                  Penodaan kesucian al Quds

Peningkatan serangan ke atas Masjid al-Aqsa oleh ekstrimis Zionis yang semakin kerap mencabul kehormatan dan kesucian qiblat pertama umat Islam di dalam rangka mereka mengYahudikan Baitul Maqdis. Mereka bercita-cita untuk meruntuhkan masjid Al Aqsa dan mendirikan Kuil Yahudi di atas tapak masjid sekarang. Mereka kini telah berjaya membina Kuil Yahudi (Sinagog Hover) bersebelahan dengan masjid al Aqsa melakukan penangkapan dan pemenjaraan orang-orang Palestin yang tidak bersalah sehingga lebih daripada 12 ribu di kalangan mereka kini merengkok di dalam penjara Israel. Di kalangan mereka adalah orang-orang tua, kanak-kanak malahan juga wanita yang hamil lagi sakit.

Sekatan ekonomi yang dirancang secara rapi oleh Zionis  menyebabkan orang-orang Palestin tersepit dan terpaksa bergantung kepada sumber pekerjaan yang dimiliki oleh Yahudi. Akibatnya ramai di kalangan rakyat Palestin yang menganggur dan dibelenggu kemiskinan serta kebuluran.

anak anak gaza1 64 Tahun Nakbah – Israel Kini Semakin Gementar


Ramai di kalangan kanak-kanak palestin yang telah dinafikan hak mereka untuk belajar sehinggakan jumlah mereka yang sempat ke pengajian menengah adalah dari peratusan yang sangat kecil.

Rejim Zionis tanpa malu dan segan telah membina tembok pemisah gergasi yang terpanjang di dunia iaitu sepanjang 720 km di Tebing Barat yang menyekat penghidupan rakyat Palestin di sana serta menjadikan Tebing Barat sebagai penjara yang terbesar di dunia.

Dijangkakan seramai 6.85 juta di kalangan rakyat Palestin adalah pelarian yang hidup dengan penuh kedaifan sejak 64 tahun yang lalu. Inilah jumlah pelarian yang paling lama dan paling ramai di dalam sejarah peradaban dunia.

Rejim Zionis kini berterusan menyiksa dan membunuh rakyat Palestin terutamanya di Gaza yang turut diakui pemimpin kanan mereka sebagai holocaust yang lebih hebat.
Penindasan, penodaan dan kekejaman  yang dilakukan oleh rejim Israel ini terhadap rakyat dan negara Palestin telah berlaku dalam tempoh yang amat panjang dan berlarutan. Sudah tentulah ianya tidak harus dibiarkan begitu sahaja.

Sambutan 64 Tahun kelahiran Israel

breaking news 300x200 64 Tahun Nakbah – Israel Kini Semakin Gementar

Hari Selasa ini, 15 hb Mei 2012 adalah tahun ke 64 kelahiran negara Haram Israel. Memang benar bahawa tarikh ini adalah detik derita bagi umat Islam. Namun saya kurang setuju sekiranya kita berhadapan dengan peistiwa ini dengan rasa sedih dan berputus harapan dengan keadaan umat Islam kini.

Sebenarnya kelihatan semakin banyak petanda bahawa kemenangan akan berpihak kepada umat Islam dan sampai masanya untuk kita  akhiri era sombong mereka itu.


                                                  Kebangkitan generasi pendokong Intifadhah

umat Gaza1 64 Tahun Nakbah – Israel Kini Semakin Gementar

1-Kebangkitan dan kesediaan ribuan barisan pemuda di Bumi Anbiya bagi melancarkan Intiadah yang ke 3 dengan persiapan pertempuran yang lebih hebat dan berpanjangan.

2-Kerajaan zionis Israel semakin panik dengan pelbagai perkembangan umat Islam di Timur Tengah, apatah lagi dengan permuafakatan di antara fraksi rakyat Palestin seumpama Hamas-Fatah dan yang lain-lainnya.

mujahidah gaza 64 Tahun Nakbah – Israel Kini Semakin Gementar

                                       Kelahiran ratusan ribu mujahid dan mujahidah muda

3-Kelahiran semula generasi al Qur’an yang unik di kalangan masyarakat Palestin terutamanya di kalangan generasi muda dan remaja yang berpegang teguh kepada al Qur’an dan Sunnah adalah aset penting bagi meraih kemenangan yang dijanjikan Allah kepada pendokong kebenaran dan keadilan.

4-Tumbangnya regim diktator Mubarak dan persetujuan Kerajaan Sementara Mesir untuk membuka ‘Rafah Gate’ secara berkekalan. Peristiwa demi peristiwa yang berlaku di kala Revolusi Mesir di Mesir ini begitu kuat didasari oleh kebangkitan rakyat dan aktivis Islam di kalangan penduduk Mesir yang bakal melakukan lebih banyak kejutan dan tekanan ke atas Israel.

turkey jet 64 Tahun Nakbah – Israel Kini Semakin Gementar


5-Kebangkitan Turki yang berani membantu perjuangan pembebasan Palestin secara terbuka tentunya mencabar keutuhan regim Zionis Israel yang sombong dan bongkak selama ini.

6-Dengan berlakunya Intifadah 2000, dengan jelas kelihatan berkurangnya kedatangan pendatang Yahudi Zionis ke Palestin. Malahan statistik yang terkini mendapati bahawa lebih daripada 700 ribu orang Yahudi telah cabut keluar dari Palestin sejak 12 tahun yan lalu.

7-Generasi muda Israel kini kelihatan tidak lagi beriman dan berminat dengan ‘agenda Israel Raya’ untuk apatah lagi berjuang bermati-matian untuk menjayakannya.
 
GazaBig 64 Tahun Nakbah – Israel Kini Semakin Gementar
                               Bom demografi : Setiap keluarga Palestin punyai 10-12 cahayamata

8-Statistik terkini juga telah mendapati pertambahan penduduk Palestin yang berlipat-kali ganda di Gaza, West Bank & Israel (Palestine-1948). Jumlah ini telah jauh melebihi bilangan kelahiran anak-anak Yahudi di Israel. Ini sebenarnya adalah merupakan projek bom demografi yang disengajakan bagi berhadapan dan menakutkan Zionis untuk projek jangka masa panjang.

9-Ekonomi Israel juga semakin merosot dengan Intifadah Pertama yang dilancarkan pada 1987, Intifadah al Aqsa pada tahun 2000 dan pertembungan yang berterusan selama ini terus menyebabkan ekonomi mereka merudum dan terus bergantung kepada bantuan Amerika Syarikat.

10-Sokongan dunia antarabangsa terhadap isu Palestin juga semakin meningkat. Bukan sahaja di kalangan negara-negara umat Islam bahkan di sebahagian dunia Barat yang lainnya.

                                            

al Qassam 64 Tahun Nakbah – Israel Kini Semakin Gementar
Briged al Qassam yang begitu digeruni musuh


Sejarah dunia telah membuktikan bahawa setiap kuasa besar yang memerintah mana-mana tamadun tidak akan terus berjaya mengekalkan tampuk kekuasaan buat selama-lamanya. Tarikh luput Zionis sebagai pemegang tampuk kekuasaan secara zalim di Palestin dan Timur Tengah sudah semakin menghampiri penghujungnya.

Dan semakin banyak petanda-petanda yang menunjukkan bahawa Islam akan kembali gemilang dan Zionis akan berhadapan dengan episod gelap yang akan menguburkan kesombongan mereka selama ini.

Pastikan bahawa anda juga tidak tertinggal daripada gerabak perjuangan yang mulia ini.
Semoga kita berjumpa di Masjid Al Aqsa yang bakal dibebaskan kelak !


al aqsa 64 Tahun Nakbah – Israel Kini Semakin Gementar


Al Aqsa pastinya akan bebas jua....

Salam perjuangan

Dr Z


Monday, May 7, 2012

SEMANGAT PERJUANGAN

5:44 AM 0 Comments

Perkongsian dari Farah Adeeba ke bumi Palestin.



Melihat video ini, penulis teringat kenalan & keluarga di Kem Pelarian Syria, Ramtha, Jordan. Saat berkongsi cerita, berkongsi semangat, berkongsi harta dan sebagainya. Bersyukur tidak terhingga kerana dipertemukan dengan mereka walau pada hakikatnya persinggahan di sana tidak dirancang sebegitu rupa. Save Syria MPPMJ '12 in my heart.


  
Putra kecil ini dari keluarga seorang syahid.
Moga anak kecil ini juga tergolong dalam golongan syuhada'
. Bi iznillah.

  روى عن النبي (ص) أنه قال "إنّ الرجل لتكون له الدرجة عند الله لا يبلغها بعمله حتى يبتلئ ببلأ في جسمه فيبلغها بذلك"
-رواه أبو يعلى في مسنده و ابن حبان في صحيحه-

Diriwayatkan Rasulullah S.A.W bersabda: Sesungguhnya seseorang insan itu ada baginya kedudukan tertentu di sisi Allah yang dia tidak tercapai kedudukan itu dengan amalannya sehingga Allah mengujinya dengan ujian pada dirinya,maka dia mencapai kedudukan itu

~ dipetik dari Buku Tanbih Al-Ghofileen 

Saturday, May 5, 2012

BERTUNANG BUKAN BERKAHWIN

11:55 AM 0 Comments

Soalan: Sejauh manakah seseorang boleh berkenalan dengan tunangnya?
Ifah, Perak 

Jawapan: Terima kasih kepada saudari yang bertanya. Soalan ini menunjukkan keperihatinan tentang perkara biasa yang terjadi dalam masyarakat kita. Ia juga menggambarkan saudari sangat mengambil berat tentang perlunya mengikut syari’at dalam kehidupan seharian termasuk perkara yang berkaitan dengan bertunang. Tulisan ini bukan untuk membahaskan tajuk bertunang dalam Islam secara lengkap, hanya jawapan ringkas persoalan di atas.

1. Bertunang atau dalam bahasa Arab disebut al-khitbah merupakan pintu masuk ke alam perkahwinan. Ia dilakukan selepas seorang lelaki mencari dan berpuas hati dengan semua sifat yang ada bagi seorang wanita untuk dijadikan bakal isterinya. Oleh kerana perkahwinan adalah satu perkara yang serius dan mempunyai impak yang besar maka pertunangan telah disyari’atkan dalam Islam sebagai permulaannya.


gambar hiasan


2. Bertunang ialah seorang lelaki meminta kepada seorang perempuan untuk berkahwin dengannya, kemudian perempuan serta walinya bersetuju. Dalam Islam bertunang adalah  persetujuan dan janji untuk berkahwin yang perlu dihormati oleh orang ramai. Kedua-dua pihak boleh membubarkannya tidak seperti nikah, lafaz talak hanya dimiliki oleh suami. Dr. Mahmud Ali al-Sartowi menyatakan:

Tiadalah pertunangan itu melainkan janji untuk berkahwin, ia merupakan kontrak yang tidak lazim, kedua-dua pihak berhak untuk membubarkan pertunangan pada bila-bila masa sahaja. (al-Sartowi, Syarh Qanun al-Ahwal al-Sahsiah)

3. Seorang lelaki boleh menyatakan hasratnya kepada seorang wanita yang masih anak dara secara terus terang. Namun ia dilarang secara terus terang jika seseorang ingin bertunang dengan perempuan yang masih dalam ‘iddah kematian suami, sebaliknya hendaklah dengan cara kinayah (tidak terus terang). Inilah pertunangan yang disebut di dalam al-Qur’an menerusi fiman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 235 yang bermaksud:
 
Dan tidak ada salahnya bagi kamu tentang apa yang kamu bayangkan untuk meminang perempuan (yang kematian suami dan masih dalam ‘iddah), atau tentang kamu menyimpan dalam hati (keinginan berkahwin dengan mereka). Allah mengetahui bahawa kamu akan menyebut-nyebut atau mengingati mereka), akan tetapi janganlah kamu membuat janji dengan mereka di dalam keadaan rahsia, selain dari menyebutkan kata-kata (secara sindiran) yang sopan. Dan janganlah kamu menetapkan dengan bersungguh-sungguh (hendak melakukan) akad nikah sebelum habis ‘iddah yang ditetapkan itu.

4. Untuk mengelakkan pergaduhan dan permusuhan sesama muslim dengan hanya kerana seorang perempuan, maka Islam melarang seorang lelaki meminang seorang perempuan yang telah menjadi tunang orang lain. Namun jika lelaki yang pertama mengizinkan atau telah meninggalkannya maka ia tidak dilarang. Diriwayatkan bahawa nabi SAW bersabda yang bermaksud:

Tidak boleh seorang lelaki meminang seorang tunang saudaranya sehinggalah lelaki yang pertama meninggalkannya atau mengizinkannya. (Riwayat al-Bukhari)


 
5. Bertunang lebih afdhal tidak diwar-warkan atau diiklankan secara terbuka, tidak seperti perkahwinan yang perlu disebarkan. Maknanya pertunangan hendaklah disembunyikan melainkan jika terdapat keperluan. Ini untuk menjaga maruah kedua-dua belah pihak kerana ia merupakan kontrak yang tidak lazim, iaitu kedua-dua pihak lelaki atau perempuan boleh membubarkannya secara mutlak tanpa mendapat persetujuan tunangnya. Diriwayatkan bahawa nabi SAW bersabda yang bermaksud:

War-warkanlah nikah dan sembunyikanlah pertunangan. (Riwayat al-Dailami)



Bertunang bukan berkahwin
6. Bertunang hanyalah janji untuk berkahwin. Ia tidak sama dengan berkahwin yang kesannya seorang wanita (isteri) adalah halal bagi suaminya selepas akad nikah. Manakala bertunang seorang perempuan tidak menjadi halal sedikit pun bagi tunang lelakinya. Ia sama seperti sebelum bertunang, yang berbezanya ialah tidak boleh lelaki lain meminangnya. Ini yang mungkin menjadi punca kekeliruan orang ramai sehingga ada yang menyangka bertunang menjadi ‘lesen’ untuk berpegangan tangan. Tidak kurang yang menjadikannya ‘tiket’ untuk memadu cinta dan sayang.

7. Oleh kerana bertunang adalah janji untuk berkahwin, maka ia boleh jadi akan berlaku atau sebaliknya. Islam mengambil kira perkara itu demi menjaga maslahat kedua-dua pihak khususnya perempuan. Kerana ia melibatkan maruah yang mungkin boleh didedahkan kepada orang ramai sekiranya perkahwinan tidak berlaku. Sebab itu pertunangan tidak menjadikan pasangannya halal sebagaimana halalnya sebuah perkahwinan. Kedua-dua pihak kekal sebagai ajnabi (orang luar) yang hukumnya sama seperti hukum-hakam yang umum bagi ajnabi, antaranya mesti menjaga pandangan. Firman Allah SWT dalam surah al-Nur ayat 30-31, maksudnya:

Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki yang beriman supaya mereka menundukkan pandangan mereka (daripada memandang ang haram), dan memelihara kehormatan mereka. Demikian itu lebih suci bagi mereka; Sesungguhnya Allah amat mendalam pengetahuannya tentang apa yang mereka kerjakan. Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menundukkan pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka.


 
8. Begitu juga tidak boleh menyentuh di antara satu sama lain. Bertunang tidak menjadikan harus perbuatan berpegangan tangan sesama tunang. Apatah lagi naik motor bersama berboncengan sebagaimana yang pernah kita saksikan. Rasulullah SAW memberikan amaran tentang hal ini sebagaimana dalam sebuah hadith yang bermaksud:

Menusuk jarum besi ke kepala kamu adalah lebih baik bagi kamu daripada memegang seorang perempuan yang tidak halal baginya. (Riwayat al-Baihaqi) 



9. Suara bagi seorang tunang juga perlu dikawal dengan penuh berakhlak. Bukan tidak boleh bercakap langsung dengan tunangnya, tetapi tidak boleh dimanjakan sebagaimana seorang isteri kepada suaminya. Dalam perkataan lain tidak boleh mengada-ngada atau gedik. Allah SWT melarang suara wanita yang boleh menyebabkan seorang lelaki tertarik kepadanya, firmanNya dalam surah al-Ahzab ayat 32 bermaksud:

Maka janganlah kamu berkata-kata dengan lembut manja (semasa bercakap dengan lelaki ajnabi) kerana yang demikian boleh menimbulkan keinginan orang yang ada penyakit dalam hatinya, dan sebaliknya berkatalah dengan kata-kata yang baik.
 

                    
10. Selain itu, seorang perempuan juga tidak boleh mendedahkan perhiasannya kepada tunangnya. Auratnya masih wajib ditutup kerana tunangnya masih dianggap ajnabi. Jika ingin bertemu atau berjumpa mestilah bersama dengan mahramnya. Diriwayatkan bahawa nabi SAW bersabda yang bermaksud:

Seorang lelaki tidak boleh bersunyian dengan seorang wanita melainkan bersama dengan mahram. (Riwayat al-Bukhari)



Hubungan dalam tempoh bertunang

11. Tempoh bertunang ada yang pendek dan ada yang panjang. Ia berbeza-beza mengikut perbezaan situasi seseorang dengan seorang yang lain. Namun yang lebih baik adalah tempoh yang singkat untuk mengelakkan maksiat dan keburukan yang timbul daripada kedua-dua pihak. Semakin panjang tempoh bertunang semakin banyak kehendak dan permintaan yang diluar kawal dan tidak patuh syari’at.

12. Tidak dinafikan tempoh pertunangan ini boleh dianggap tempoh untuk berkenalan. Tetapi ramai yang tersilap dengan menyangka bahawa ia adalah berkenal-kenalan sesama tunang, sedangkan berkenalan yang dimaksudkan adalah berkenalan dengan ahli keluarga perempuan agar menjadi lebih dekat dan diyakini oleh keluarga tunangnya. Akhirnya ia melahirkan rasa tangggungjawab yang kemudian Allah Azza wa Jalla bakal menganugerahkan kepadanya sakinah dan mawaddah apabila berkahwin kelak insyaAllah sebagaimana firmanNya dalam surah al-Rum ayat 21:

 
Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaanNya dan rahmatNya, bahawa Dia menciptakan untuk kamu, isteri-isteri daripada jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikannya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan.

13. Berkenalan ini yang sering disalahgunakan untuk menghalalkan perbuatan tertentu seperti keluar makan bersama, duduk berdua-duaan sama ada di alam nyata atau alam maya, study dan siapkan assignment bersama, serta bertukar-tukar gambar. Apabila ditanya mengapa lakukan semua itu?



Jawabnya mudah: untuk lebih mengenalinya supaya senang bila kahwin nanti. Semua ini hanya alasan semata-mata untuk menutup kemahuan hawa nafsunya. Sedangkan untuk mengenali dan menyelidik latar belakang tunang sepatutnya dilakukan sebelum bertunang lagi iaitu ketika proses memilih dan istikharah, bukannya selepas bertunang. Kerana bertunang maknanya kita telah membuat pilihan.

14. Tempoh bertunang sepatutnya menjadi tempoh yang bersih dan suci daripada sebarang dosa, kerana kita sedang memulakan langkah untuk membina sebuah kehidupan yang punyai matlamat yang besar. Langkah-langkah permulaan ini perlu baik dan tidak sumbang. Jadikan ia kukuh dengan kekuatan taqwa dan taat. Jika tempoh ini dicemari dengan perbuatan yang bercanggah dengan syara’ dikhuatiri ia memberikan kesan yang besar kepada rumah tangga yang bakal dibina.  Firman Allah SWT dalam surah al-Taubah ayat 109 bermaksud:

Maka adakah orang yang membangunkan binaannya yang didirikan di atas dasar taqwa kepada Allah dan (untuk mencari) keredaan Allah itu lebih baik, ataukah orang yang membangunkan binaannya yang didirikannya di tepi jurang yang (hampir) runtuh, lalu runtuhlah ia dengan yang membangunkannya ke dalam api neraka?

15. Atas dasar inilah kita dapati terdapat ilmuan yang agak keras jawapannya dengan tidak membenarkan segala perhubungan dalam tempoh bertunang. Mereka menggunakan kaedah sadd al-zarai’e (menutup jalan) kerana bimbang akan mudharat yang tidak dinafikan peratus berlakunya. Lihat sahaja kes pembuangan bayi, tangkapan khalwat dan masalah sosial. Pandangan seumpama ini tidak salah kerana kaedah yang digunapakai ada asasnya.

16. Manakala pendapat yang mengatakan boleh berkenalan dalam tempoh bertunang, berhubung, berjumpa dan menjaga tunangnya, pastinya mereka tidak mengatakan secara mutlak, sebaliknya mesti mengikut syarat-syarat dan garis panduannya. Sebenarnya kedua-kedua pandangan tidak bercanggah di antara satu sama lain, matlamatnya satu hanya kaedah yang berbeza.

17. Kesimpulannya, Islam adalah cara hidup yang mengatur dan memandu manusia hatta dalam soal bertunang. Ia merupakan janji yang perlu dijaga agar mengikut panduan syara’ kerana bertunang bukannya berkahwin. 

 
Anhar Opir
11 Jumada al-Akhir 1433H
Sweileh, Amman


Sumber : Ustaz Anhar Opir  






Friday, May 4, 2012

SEKEPING HATI YANG KHUSYUK

3:46 PM 0 Comments

Situasi 1 :
 
Sedang umurnya menjangkau 9 tahun :

" Sekejapnya kakak solat. Ibu tengok solat kakak macam ayam patuk beras je. Agaknya, kakak ada rasa khusyuk tak solat seperti itu  ? " ibunya menegur sambil tersenyum.

" Kenapa ibu cakap macam tu ? Khusyuk je kakak solat.. " jawabnya sambil cuba mempertahankan diri.

" Kakak, berhati-hatilah dalam solat. Solat itu asas. Kalau solat kita tercemar, perkara yang lain pun boleh ikut terjejas. Kita kena bagi perhatian dalam solat. Bila solat kita Allah tak pandang, macam mana Allah nak bagi perhatian pada perkara lain yang kita lakukan.. " lembut nada ibu. Nasihat seorang ibu yang amat mengasihi putrinya.

Sabda Nabi saw :

وقال النبي صلى الله عليه وسلم : نهى عن ثلاث - عن نقرة كنقرة الديك ، وإقعاء كإقعاء الكلب ، والتفات كالتفات الثعلب

Rasulullah Shallallahu Alaihi wa Sallam melarang 3 perkara dalam Solat. Yaitu solat dengan cepat seperti ayam yang mematuk, duduk diatas tumit seperti duduknya anjing, dan menolah-noleh seperti musang. 

(Hadis Riwayat Ahmad dan Abu Ya’la - Shahih Targhib - (556)




Situasi 2 :

" Ustazah, susah la nak khusyuk dalam solat. Ada cara mudah nak khusyuk tak ? " kanak-kanak itu ingin mengerti.

" Susah nak khusyuk ? Kamu mesti teringat anak kucing di rumah kan.. ( bergurau ). Pertama sekali mesti fokus & periksa wudhuk kita, adakah ia sempurna. Begini, khusyuk datang dari dalam hati kan ? Jadi, sebelum solat lupakan semuanya serta merta. Lupakan sebentar saja, tak lama. Hanya Allah yang berada dalam hati kamu. Boleh juga kita  membayangkan bahawa solat kita itu adalah solat yang terakhir. Pastikan kita benar-benar dalam keadaan bersedia. Kita harus ingat, syaitan lebih bersedia dari kita, dalam hati kita. Bersihkan hati dengan beristighfar & berselawat. Semasa solat, lihat tempat sujud. Sangat bagus jika kita faham makna bacaan solat. Jangan lupa segera beristighfar jika ingatan kamu terlompat keluar dari solat. Cuba bayangkan Allah melihat setiap gerak geri kamu..ha, kamu mesti cuba. Hendak seribu cara, tak hendak apakan daya..ustazah pun tak boleh tolong.. " ustazah itu cuba menerangkan dengan bahasa mudah agar kanak-kanak tadi memahami.

" Nak solat dengan ustazahlah.." pinta kanak-kanak itu.





Memang diakui, sukar untuk seseorang mencapai kekhusyukan dalam beribadah, terlalu banyak halangan untuk mencapai maksud solat yang sebenar. Tapi percayalah, sekiranya kita dapat mencapai khusyuk, betapa nikmatnya ibadah itu. Sehinggakan Allah memuliakan orang-orang  yang khusyuk dan juga tawadhuk ( rendah diri ) .



Sungguh beruntung orang-orang yang beriman,
(iaitu) orang-orang yang khusyuk dalam solatnya
(Al-Mukminun : 1-2)

“ ..sesungguhnya mereka adalah orang-orang yang selalu bersegera dalam mengerjakan kebaikan dan mereka berdoa kepada Kami dengan harap dan cemas. Dan mereka adalah orang-orang yang khusyuk kepada Kami ” 
(Al-Anbiya’ : 90)

 " ...lelaki dan perempuan yang sabar, lelaki dan  perempuan yang khusyuk, lelaki dan perempuan yang bersedekah, lelaki dan perempuan yang berpuasa, lelaki dan perempuan yang menjaga kehormatannya, lelaki dan perempuan yang banyak menyebut ( nama ) Allah, Allah telah menyediakan untuk mereka keampunan dan pahala yang besar ” 
(Al-Ahzab : 35)

       
      Perkongsian ilmuNYA disamping dapat mentarbiyah hati dan diri sendiri. Andai terdapat maklumat yang telah diketahui anggaplah ia sebagai peringatan bersama. Pernah diri ini memikirkan. Cuba kita renungkan sebentar kedua-dua ayat di bawah :


  •       Ayat 1   :  Hubungan Kegiatan Harian Dengan Solat
  •       Ayat 2   :  Hubungan Solat Dengan Kegiatan Harian  
    

Ya, tidak dinafikan ayat-ayat itu seakan serupa. Namun, maknanya amatlah berbeza. Penulis percaya pasti pembaca memahami maksud kedua-dua ayat dengan sekilas pembacaan. Mengenai ayat ke-2, pasti diketahui jelas, in shaa Allah. Cuma penulis ingin membuka sedikit ruang bicara mengenai ayat pertama kerana ia amat berkait rapat pada khusyuk itu sendiri.


Ringkasnya, khusyuk itu adalah kelemah-lembutan hati, tenang dan tenteram. Jika hati khusyuk, khusyuklah anggota yang lain kerana semua anggota akan mengikut telunjuk raja ( hati ).

Rasulullah SAW bersabda : 
" Sesungguhnya di dalam tubuh (manusia) ada seketul daging,jika baik daging itu maka baiklah seluruh tubuhnya,dan jika rosak daging itu maka rosaklah seluruh tubuhnya dan ketahuilah bahawa dialah HATI."
(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)



Satu ucapan yang ada dalam doa iftitah ialah kalimah yang bermaksud : 

" Aku hadapkan wajahku kepada Allah yang menciptakan langit dan bumi dengan penuh kepasrahan ( mengikuti ) agama yang benar, dan aku bukanlah termasuk otang-orang yang musyrik. "  ( Al-an'am : 79 )


 Apakah yang dimaksudkan wajah kepadaNYA ? Adakah wajah manusia ? Benar .. Pada zahirnya wajah orang yang mendirikan solat dituntut mengahadap ke arah kiblat. Walaupun kalimah itu menggambarkan wajah orang yang mendirikan solat. Namun wajah di sini ialah wajah hati ( 1 )

Apabila seseorang itu mengaku bahawa ia menghadapkan wajah hatinya kepada Tuhan, timbulnya persoalan di sini apakah benar-benar ketika wajah hati dan tumpuan ingatannya kepada Pemilik Hati ? Mungkin ada masalah di mana hanya lidahnya saja menyebut ' Allahu akbar' sedang hati dan ingatannya membesarkan perkara yang lain. Perbuatan ini telah menjadikan mereka mensyirikkan Allah pada pembukaan solat. Meskipun pada awal niatnya ingin menyembah Dia, secara tidak langsung mereka memulakan dosa besar. Semoga kita dijauhkan. Perlulah berhati-hati.

Tetapi sekiranya dalam kehidupan harian, hati manusia terlalu dibebani dengan perkara yang menyebabkan ia lebih membesarkan tuntutan nafsu, natijahnya ia akan terbawa-bawa dan memberi kesan ke dalam solat, sehinggakan wajah hatinya sukar menghadap Allah. 


Oleh itu, semua pekerjaan harian di luar solat mestilah sesuatu pekerjaan yang ditadbir di bawah pengawasan syariat.  


Mengapa ? Hal ini demikian kerana pekerjaan serta merta benda yang diusahakan oleh seseorang adalah untuk menyelamatkan solatnya, bukannya menjadi batu penghalang dan gangguan pada hati serta ingatan ketika solat.

Namun, ramai dalam kalangan manusia kabur , apabila hendak solat saja baru hendak cuba mengingati dan menghadapkan wajah hatinya kepada Allah SWT. Sedangkan pekerjaan hariannya langsung tidak mempunyai robitah ( ikatan ) dari segi ketaatan kepada Allah SWT, tidak memikirkan hukum haram halal dan larangan syariat terhadap pekerjaan hariannya itu, hatta sekecil-kecil larangan. Jom muhasabah kegiatan harian kita. 

Kehidupan pasti mempengaruhi hati. Wajah hati tidak mungkin dapat difokuskan kepada Allah SWT kecuali semua perkara selain Allah disapu bersih dari hatinya sebelum solat. Jika kehidupan di luar solat dan keperluan selaras serta semuanya untuk Allah SWT belaka, sudah pasti tiada musykilah yang boleh mengganggu wajah hatinya menghadap kepada Tuhan Yang Maha Saksi.






Khusyuk dalam solat juga ada sebab-sebab tertentu : 


[ Sebelum ]

1) Suci pada badan, tempat dan pakaian. ( Termasuk menggunakan siwak ).

2) Memperbaiki wudhuk.
* Wudhuk sering tidak mendapat perhatian, padahal wudhuk adalah ibadah zikir yang merupakan kebersihan jiwa yang dimulai dari luar ( fizikal ) sampai ke dalam rohaninya. Kesempurnaan solat bergantung kepada kesempurnaan wudhuk.

Rasulullah SAW bersabda :


" Sesiapa yang memelihara baik-baik solat lima waktu dan menyempurnakan wudhuknya dan menjaga waktu-waktunya, maka hal itu akan menjadi cahaya, hujah dan bukti baginya pada hari kiamat " 
( Hadith Riwayat Muslim )

3) Rasulullah bersabda : " Bersihkan mulut-mulut kalian dengan Al-Quran "

4) Menutup aurat



[ Semasa ]

1) Tuma'ninah ( berhenti sebentar ) di dalam solat.

2) Mengingat kematian di dalam solat.

Rasulullah SAW bersabda : 
  
" Ingatlah kematian di dalam solatmu, sesungguhnya jika seseorang mengingat kematian di dalam solatnya, maka ia harus memperbaiki solatnya, solatlah seperti seseorang menganggap dirinya tidak akan menunaikan solat lagi setelahnya " 
( Hadith Riwayat Abu Daud )

3) Menjauhkan semua yang dapat menyibukkan anda di dalam solat.

Dalam hadits riwayat Baihaqi dan Muslim disebutkan bahwa Nabi SAW dalam solat
menundukkan kepalanya dan pandangannya tertuju ke tanah.


Rasulullah SAW bersabda :  ”Apabila kalian melakukan solat maka janganlah
menolah-noleh karena Allah akan menghadapkan wajahNya kepada wajah hambanya ketika solat selama ia tidak menolah-noleh
.” (HR Tirmidzi dan Hakim)


4) Menjauhkan semua yang dapat menyibukkan anda dalam solat.

Aisyah mempunyai kain bergambar untuk tirai, Rasulullah SAW sholat menghadapnya. Lalu
Rasulullah SAW bersabda
Jauhkanlah kain itu, sesungguhnya gambarnya mengganggu
sholatku
.” (HR Bukhari & Muslim)

 
5) Memilih tempat yang tidak terlalu panas.

Rasulullah SAW bersabda : " Apabila hari tersangat panas, maka tanggungkanlah solat kerana sesungguhnya kepanasan bersangatan itu termasuk dari bahang api Neraka Jahannam " ( HR Sahih Muslim, no.972 )



* Bukan maksud menangguhkan di sini adalah dengan menggabungkan 2 solat.
* Boleh juga cari inisiatif lain.



6) Memilih tempat yang jauh dari kebisingan dan kesibukan.
 
 Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:
"Sesungguhnya orang sedang sembahyang sedang munajat kepada Tuhannya maka hendaklah kamu perhatikan apakah yang dimunajatkannya dan janganlah kamu menguatkan suara dengan membaca al-Quran. ( HR Ahmad)

* Sila tukar telefon bimbit anda kepada mode senyap ketika orang sedang solat.
* Jangan bercakap, bersembang, membaca Al-Quran terlalu kuat bagi mengelakkan konsentrasi orang yang sedang solat terganggu.
 
7) Membaca dengan perlahan-lahan ( tidak terlalu laju ) dan mentadabbur ayatnya.

Dari firmanNYA :

" Kitab ( Al-Quran ) yang Kami turunkan kepadamu penuh berakah agar mereka menghayati ayat-ayatnya dan agar orang-orang yang berakal sihat mendapat pelajaran."
( Surah Sad : 29 )

8) Solat di hadapan tabir dan dekat dengannya. 

Rasulullah SAW bersabda :
" Jika seseorang dari kalian menunaikan solat ke tabir, maka dekatkanlah dengannya.. " 
(
Diriwayatkan oleh Sayyidina Sahal R.A ) 

Imam Nawawi ada berkata :
" Hikmah menunaikan solat di hadapan tabir adalah agar membatasi pandangan mata terhadap yang berada di hadapan mahupun di belakangnya, serta mencegah syaitan untuk menggoda dan mengganggu. " 


9) Melihat ke tempat sujud. 

Hadith Riwayat A'isyah, " Rasulullah SAW jika solat beliau menundukkan kepalanya dan melemparkan pandangannya ke tanah. "


Ada juga faktor yang lain. Contohnya pemakanan. Mestilah dari sumber yang halal ( boleh kita rujuk hadith 40 yang ke-10. Andai dari sumber yang haram. Bagaimana hendak beribadah dengan tenang sih..dan sempurna. 

Solat juga " personal contact " kita dengan Allah. 

(1) Tafsir Ar-Razi, jilid 13, m/s 57




 
Firman Allah dalam surah Al-Baqarah ayat 238 :
 
" Peliharalah semua solat dan solat wusthaa. Dan laksanakanlah ( solat ) kerana Allah dengan khusyuk . " 

 
PERJUANGAN DI MEDAN HATI
SYAITAN JUGA BERJUANG SEKALI
AYUH KEJUTKAN HATI !

MENJAGA SEKEPING HATI BUKAN MUDAH
IA MEMERLUKAN MUJAHADAH

SALAM MUJAHADAH BUAT SEMUA !

Semoga hati bertambah ikhlas..

نستغفر الله العظيم من كل ذنب عظيم و نتوب اليه