Saturday, May 5, 2012

BERTUNANG BUKAN BERKAHWIN


Soalan: Sejauh manakah seseorang boleh berkenalan dengan tunangnya?
Ifah, Perak 

Jawapan: Terima kasih kepada saudari yang bertanya. Soalan ini menunjukkan keperihatinan tentang perkara biasa yang terjadi dalam masyarakat kita. Ia juga menggambarkan saudari sangat mengambil berat tentang perlunya mengikut syari’at dalam kehidupan seharian termasuk perkara yang berkaitan dengan bertunang. Tulisan ini bukan untuk membahaskan tajuk bertunang dalam Islam secara lengkap, hanya jawapan ringkas persoalan di atas.

1. Bertunang atau dalam bahasa Arab disebut al-khitbah merupakan pintu masuk ke alam perkahwinan. Ia dilakukan selepas seorang lelaki mencari dan berpuas hati dengan semua sifat yang ada bagi seorang wanita untuk dijadikan bakal isterinya. Oleh kerana perkahwinan adalah satu perkara yang serius dan mempunyai impak yang besar maka pertunangan telah disyari’atkan dalam Islam sebagai permulaannya.


gambar hiasan


2. Bertunang ialah seorang lelaki meminta kepada seorang perempuan untuk berkahwin dengannya, kemudian perempuan serta walinya bersetuju. Dalam Islam bertunang adalah  persetujuan dan janji untuk berkahwin yang perlu dihormati oleh orang ramai. Kedua-dua pihak boleh membubarkannya tidak seperti nikah, lafaz talak hanya dimiliki oleh suami. Dr. Mahmud Ali al-Sartowi menyatakan:

Tiadalah pertunangan itu melainkan janji untuk berkahwin, ia merupakan kontrak yang tidak lazim, kedua-dua pihak berhak untuk membubarkan pertunangan pada bila-bila masa sahaja. (al-Sartowi, Syarh Qanun al-Ahwal al-Sahsiah)

3. Seorang lelaki boleh menyatakan hasratnya kepada seorang wanita yang masih anak dara secara terus terang. Namun ia dilarang secara terus terang jika seseorang ingin bertunang dengan perempuan yang masih dalam ‘iddah kematian suami, sebaliknya hendaklah dengan cara kinayah (tidak terus terang). Inilah pertunangan yang disebut di dalam al-Qur’an menerusi fiman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 235 yang bermaksud:
 
Dan tidak ada salahnya bagi kamu tentang apa yang kamu bayangkan untuk meminang perempuan (yang kematian suami dan masih dalam ‘iddah), atau tentang kamu menyimpan dalam hati (keinginan berkahwin dengan mereka). Allah mengetahui bahawa kamu akan menyebut-nyebut atau mengingati mereka), akan tetapi janganlah kamu membuat janji dengan mereka di dalam keadaan rahsia, selain dari menyebutkan kata-kata (secara sindiran) yang sopan. Dan janganlah kamu menetapkan dengan bersungguh-sungguh (hendak melakukan) akad nikah sebelum habis ‘iddah yang ditetapkan itu.

4. Untuk mengelakkan pergaduhan dan permusuhan sesama muslim dengan hanya kerana seorang perempuan, maka Islam melarang seorang lelaki meminang seorang perempuan yang telah menjadi tunang orang lain. Namun jika lelaki yang pertama mengizinkan atau telah meninggalkannya maka ia tidak dilarang. Diriwayatkan bahawa nabi SAW bersabda yang bermaksud:

Tidak boleh seorang lelaki meminang seorang tunang saudaranya sehinggalah lelaki yang pertama meninggalkannya atau mengizinkannya. (Riwayat al-Bukhari)


 
5. Bertunang lebih afdhal tidak diwar-warkan atau diiklankan secara terbuka, tidak seperti perkahwinan yang perlu disebarkan. Maknanya pertunangan hendaklah disembunyikan melainkan jika terdapat keperluan. Ini untuk menjaga maruah kedua-dua belah pihak kerana ia merupakan kontrak yang tidak lazim, iaitu kedua-dua pihak lelaki atau perempuan boleh membubarkannya secara mutlak tanpa mendapat persetujuan tunangnya. Diriwayatkan bahawa nabi SAW bersabda yang bermaksud:

War-warkanlah nikah dan sembunyikanlah pertunangan. (Riwayat al-Dailami)



Bertunang bukan berkahwin
6. Bertunang hanyalah janji untuk berkahwin. Ia tidak sama dengan berkahwin yang kesannya seorang wanita (isteri) adalah halal bagi suaminya selepas akad nikah. Manakala bertunang seorang perempuan tidak menjadi halal sedikit pun bagi tunang lelakinya. Ia sama seperti sebelum bertunang, yang berbezanya ialah tidak boleh lelaki lain meminangnya. Ini yang mungkin menjadi punca kekeliruan orang ramai sehingga ada yang menyangka bertunang menjadi ‘lesen’ untuk berpegangan tangan. Tidak kurang yang menjadikannya ‘tiket’ untuk memadu cinta dan sayang.

7. Oleh kerana bertunang adalah janji untuk berkahwin, maka ia boleh jadi akan berlaku atau sebaliknya. Islam mengambil kira perkara itu demi menjaga maslahat kedua-dua pihak khususnya perempuan. Kerana ia melibatkan maruah yang mungkin boleh didedahkan kepada orang ramai sekiranya perkahwinan tidak berlaku. Sebab itu pertunangan tidak menjadikan pasangannya halal sebagaimana halalnya sebuah perkahwinan. Kedua-dua pihak kekal sebagai ajnabi (orang luar) yang hukumnya sama seperti hukum-hakam yang umum bagi ajnabi, antaranya mesti menjaga pandangan. Firman Allah SWT dalam surah al-Nur ayat 30-31, maksudnya:

Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki yang beriman supaya mereka menundukkan pandangan mereka (daripada memandang ang haram), dan memelihara kehormatan mereka. Demikian itu lebih suci bagi mereka; Sesungguhnya Allah amat mendalam pengetahuannya tentang apa yang mereka kerjakan. Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menundukkan pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka.


 
8. Begitu juga tidak boleh menyentuh di antara satu sama lain. Bertunang tidak menjadikan harus perbuatan berpegangan tangan sesama tunang. Apatah lagi naik motor bersama berboncengan sebagaimana yang pernah kita saksikan. Rasulullah SAW memberikan amaran tentang hal ini sebagaimana dalam sebuah hadith yang bermaksud:

Menusuk jarum besi ke kepala kamu adalah lebih baik bagi kamu daripada memegang seorang perempuan yang tidak halal baginya. (Riwayat al-Baihaqi) 



9. Suara bagi seorang tunang juga perlu dikawal dengan penuh berakhlak. Bukan tidak boleh bercakap langsung dengan tunangnya, tetapi tidak boleh dimanjakan sebagaimana seorang isteri kepada suaminya. Dalam perkataan lain tidak boleh mengada-ngada atau gedik. Allah SWT melarang suara wanita yang boleh menyebabkan seorang lelaki tertarik kepadanya, firmanNya dalam surah al-Ahzab ayat 32 bermaksud:

Maka janganlah kamu berkata-kata dengan lembut manja (semasa bercakap dengan lelaki ajnabi) kerana yang demikian boleh menimbulkan keinginan orang yang ada penyakit dalam hatinya, dan sebaliknya berkatalah dengan kata-kata yang baik.
 

                    
10. Selain itu, seorang perempuan juga tidak boleh mendedahkan perhiasannya kepada tunangnya. Auratnya masih wajib ditutup kerana tunangnya masih dianggap ajnabi. Jika ingin bertemu atau berjumpa mestilah bersama dengan mahramnya. Diriwayatkan bahawa nabi SAW bersabda yang bermaksud:

Seorang lelaki tidak boleh bersunyian dengan seorang wanita melainkan bersama dengan mahram. (Riwayat al-Bukhari)



Hubungan dalam tempoh bertunang

11. Tempoh bertunang ada yang pendek dan ada yang panjang. Ia berbeza-beza mengikut perbezaan situasi seseorang dengan seorang yang lain. Namun yang lebih baik adalah tempoh yang singkat untuk mengelakkan maksiat dan keburukan yang timbul daripada kedua-dua pihak. Semakin panjang tempoh bertunang semakin banyak kehendak dan permintaan yang diluar kawal dan tidak patuh syari’at.

12. Tidak dinafikan tempoh pertunangan ini boleh dianggap tempoh untuk berkenalan. Tetapi ramai yang tersilap dengan menyangka bahawa ia adalah berkenal-kenalan sesama tunang, sedangkan berkenalan yang dimaksudkan adalah berkenalan dengan ahli keluarga perempuan agar menjadi lebih dekat dan diyakini oleh keluarga tunangnya. Akhirnya ia melahirkan rasa tangggungjawab yang kemudian Allah Azza wa Jalla bakal menganugerahkan kepadanya sakinah dan mawaddah apabila berkahwin kelak insyaAllah sebagaimana firmanNya dalam surah al-Rum ayat 21:

 
Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaanNya dan rahmatNya, bahawa Dia menciptakan untuk kamu, isteri-isteri daripada jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikannya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan.

13. Berkenalan ini yang sering disalahgunakan untuk menghalalkan perbuatan tertentu seperti keluar makan bersama, duduk berdua-duaan sama ada di alam nyata atau alam maya, study dan siapkan assignment bersama, serta bertukar-tukar gambar. Apabila ditanya mengapa lakukan semua itu?



Jawabnya mudah: untuk lebih mengenalinya supaya senang bila kahwin nanti. Semua ini hanya alasan semata-mata untuk menutup kemahuan hawa nafsunya. Sedangkan untuk mengenali dan menyelidik latar belakang tunang sepatutnya dilakukan sebelum bertunang lagi iaitu ketika proses memilih dan istikharah, bukannya selepas bertunang. Kerana bertunang maknanya kita telah membuat pilihan.

14. Tempoh bertunang sepatutnya menjadi tempoh yang bersih dan suci daripada sebarang dosa, kerana kita sedang memulakan langkah untuk membina sebuah kehidupan yang punyai matlamat yang besar. Langkah-langkah permulaan ini perlu baik dan tidak sumbang. Jadikan ia kukuh dengan kekuatan taqwa dan taat. Jika tempoh ini dicemari dengan perbuatan yang bercanggah dengan syara’ dikhuatiri ia memberikan kesan yang besar kepada rumah tangga yang bakal dibina.  Firman Allah SWT dalam surah al-Taubah ayat 109 bermaksud:

Maka adakah orang yang membangunkan binaannya yang didirikan di atas dasar taqwa kepada Allah dan (untuk mencari) keredaan Allah itu lebih baik, ataukah orang yang membangunkan binaannya yang didirikannya di tepi jurang yang (hampir) runtuh, lalu runtuhlah ia dengan yang membangunkannya ke dalam api neraka?

15. Atas dasar inilah kita dapati terdapat ilmuan yang agak keras jawapannya dengan tidak membenarkan segala perhubungan dalam tempoh bertunang. Mereka menggunakan kaedah sadd al-zarai’e (menutup jalan) kerana bimbang akan mudharat yang tidak dinafikan peratus berlakunya. Lihat sahaja kes pembuangan bayi, tangkapan khalwat dan masalah sosial. Pandangan seumpama ini tidak salah kerana kaedah yang digunapakai ada asasnya.

16. Manakala pendapat yang mengatakan boleh berkenalan dalam tempoh bertunang, berhubung, berjumpa dan menjaga tunangnya, pastinya mereka tidak mengatakan secara mutlak, sebaliknya mesti mengikut syarat-syarat dan garis panduannya. Sebenarnya kedua-kedua pandangan tidak bercanggah di antara satu sama lain, matlamatnya satu hanya kaedah yang berbeza.

17. Kesimpulannya, Islam adalah cara hidup yang mengatur dan memandu manusia hatta dalam soal bertunang. Ia merupakan janji yang perlu dijaga agar mengikut panduan syara’ kerana bertunang bukannya berkahwin. 

 
Anhar Opir
11 Jumada al-Akhir 1433H
Sweileh, Amman


Sumber : Ustaz Anhar Opir  






No comments: