Monday, May 21, 2012

Bimbing Diri Menuju Cinta-NYA






Assalamu’alaikum w.b.t

Mudah-mudahan semua sahabat berada dalam keadaan yang baik.

Ana mohon ruangan ini untuk berpesan kepada diri ana serta sahabat-sahabat semua agar kita sentiasa istiqamah dalam melakukan amal soleh. Kita telah saksikan peringatan-peringatan yang disabdakan oleh Nabi kita SAW bahawa kita telah berada di satu zaman terakhir sebelum berlakunya kiamat. Tanda-tanda kecil yang disebutkan oleh baginda SAW telah berlaku di hadapan kita sendiri, hanya menanti detik munculnya tanda-tanda besar kiamat.

Ketika itu, sangat dibimbangi sekiranya ibadah wajib yang kita lakukan masih lagi berada di tahap sekadar-kadar, dan tak terasa sebagai seorang hamba yang memerlukan Tuhannya. Anggota zahir bersujud kepada Allah, namun hati tidak sama-sama sujud mengagungkan Allah. Bentuklah diri kita bermula dengan hati. Sentiasa bertaubat kepada Allah dan bersedia untuk kehidupan kita yang sebenar di sana nanti.

Lihatlah di sekeliling kita, saban hari dari kenalan kita, sanak saudara serta ahli keluarga kita, kembali menemui Allah. Terukir dalam sejarah akan manusia-manusia yang melakukan kejahatan serta kezaliman di muka bumi ini, mereka telah kembali kepada Allah Raja segala raja. Yang sabar serta istiqamah dalam amal yang soleh, juga kembali bertemu dengan Kekasihnya Rabbul Jalil. Maka pada saat semua makhluk dihimpunkan di bumi mahsyar itu,  bersedialah untuk dihitung segala amal perbuatan yang telah kita lakukan.

Tiada lagi yang berharga melainkan lafaz-lafaz kalimah memuji Allah, lafaz istighfar yang dirasakan seakan tiada nilai ketika di dunia dulu kini mnjadi penyelamat dari bakaran jahannam.

Firman Allah yang bermaksud :

” Dan tiap-tiap manusia Kami kalungkan bahagian nasibnya di lehernya, dan pada hari kiamat kelak, kami akan keluarkan kepadanya kitab (suratan amalnya) yang akan didapatinya terbuka (untuk ditatapnya) Lalu Kami perintahkan kepadanya; “ Bacalah kitab (suratan amalmu), cukuplah engkau sendiri pada hari ini menjadi penghitung terhadap dirimu (tentang segala yang telah engkau lakukan).”  { surah Al-Isra’ ayat 14 dan 15 }


Berkata Syeikh Ibnu Ato’illah dalam kitab Hikam :
“ Maka orang yang sempurna akal ialah yang lebih suka(gemar) pada apa yang kekal daripada yang rosak(lenyap),kerana telah terang nur hatinya dan tampak tanda-tanda bukti nur itu pada seri mukanya. ”


~ Bimbinglah diri kita menuju cinta-NYA ~


Ahmad Kailani Zahari
Presiden
Majlis Perwakilan Mahasiswa Malaysia Jordan (MPMMJ)
Sesi 2012/2013


Artikal asal : MPMMJ



No comments: