Friday, May 4, 2012

SEKEPING HATI YANG KHUSYUK


Situasi 1 :
 
Sedang umurnya menjangkau 9 tahun :

" Sekejapnya kakak solat. Ibu tengok solat kakak macam ayam patuk beras je. Agaknya, kakak ada rasa khusyuk tak solat seperti itu  ? " ibunya menegur sambil tersenyum.

" Kenapa ibu cakap macam tu ? Khusyuk je kakak solat.. " jawabnya sambil cuba mempertahankan diri.

" Kakak, berhati-hatilah dalam solat. Solat itu asas. Kalau solat kita tercemar, perkara yang lain pun boleh ikut terjejas. Kita kena bagi perhatian dalam solat. Bila solat kita Allah tak pandang, macam mana Allah nak bagi perhatian pada perkara lain yang kita lakukan.. " lembut nada ibu. Nasihat seorang ibu yang amat mengasihi putrinya.

Sabda Nabi saw :

وقال النبي صلى الله عليه وسلم : نهى عن ثلاث - عن نقرة كنقرة الديك ، وإقعاء كإقعاء الكلب ، والتفات كالتفات الثعلب

Rasulullah Shallallahu Alaihi wa Sallam melarang 3 perkara dalam Solat. Yaitu solat dengan cepat seperti ayam yang mematuk, duduk diatas tumit seperti duduknya anjing, dan menolah-noleh seperti musang. 

(Hadis Riwayat Ahmad dan Abu Ya’la - Shahih Targhib - (556)




Situasi 2 :

" Ustazah, susah la nak khusyuk dalam solat. Ada cara mudah nak khusyuk tak ? " kanak-kanak itu ingin mengerti.

" Susah nak khusyuk ? Kamu mesti teringat anak kucing di rumah kan.. ( bergurau ). Pertama sekali mesti fokus & periksa wudhuk kita, adakah ia sempurna. Begini, khusyuk datang dari dalam hati kan ? Jadi, sebelum solat lupakan semuanya serta merta. Lupakan sebentar saja, tak lama. Hanya Allah yang berada dalam hati kamu. Boleh juga kita  membayangkan bahawa solat kita itu adalah solat yang terakhir. Pastikan kita benar-benar dalam keadaan bersedia. Kita harus ingat, syaitan lebih bersedia dari kita, dalam hati kita. Bersihkan hati dengan beristighfar & berselawat. Semasa solat, lihat tempat sujud. Sangat bagus jika kita faham makna bacaan solat. Jangan lupa segera beristighfar jika ingatan kamu terlompat keluar dari solat. Cuba bayangkan Allah melihat setiap gerak geri kamu..ha, kamu mesti cuba. Hendak seribu cara, tak hendak apakan daya..ustazah pun tak boleh tolong.. " ustazah itu cuba menerangkan dengan bahasa mudah agar kanak-kanak tadi memahami.

" Nak solat dengan ustazahlah.." pinta kanak-kanak itu.





Memang diakui, sukar untuk seseorang mencapai kekhusyukan dalam beribadah, terlalu banyak halangan untuk mencapai maksud solat yang sebenar. Tapi percayalah, sekiranya kita dapat mencapai khusyuk, betapa nikmatnya ibadah itu. Sehinggakan Allah memuliakan orang-orang  yang khusyuk dan juga tawadhuk ( rendah diri ) .



Sungguh beruntung orang-orang yang beriman,
(iaitu) orang-orang yang khusyuk dalam solatnya
(Al-Mukminun : 1-2)

“ ..sesungguhnya mereka adalah orang-orang yang selalu bersegera dalam mengerjakan kebaikan dan mereka berdoa kepada Kami dengan harap dan cemas. Dan mereka adalah orang-orang yang khusyuk kepada Kami ” 
(Al-Anbiya’ : 90)

 " ...lelaki dan perempuan yang sabar, lelaki dan  perempuan yang khusyuk, lelaki dan perempuan yang bersedekah, lelaki dan perempuan yang berpuasa, lelaki dan perempuan yang menjaga kehormatannya, lelaki dan perempuan yang banyak menyebut ( nama ) Allah, Allah telah menyediakan untuk mereka keampunan dan pahala yang besar ” 
(Al-Ahzab : 35)

       
      Perkongsian ilmuNYA disamping dapat mentarbiyah hati dan diri sendiri. Andai terdapat maklumat yang telah diketahui anggaplah ia sebagai peringatan bersama. Pernah diri ini memikirkan. Cuba kita renungkan sebentar kedua-dua ayat di bawah :


  •       Ayat 1   :  Hubungan Kegiatan Harian Dengan Solat
  •       Ayat 2   :  Hubungan Solat Dengan Kegiatan Harian  
    

Ya, tidak dinafikan ayat-ayat itu seakan serupa. Namun, maknanya amatlah berbeza. Penulis percaya pasti pembaca memahami maksud kedua-dua ayat dengan sekilas pembacaan. Mengenai ayat ke-2, pasti diketahui jelas, in shaa Allah. Cuma penulis ingin membuka sedikit ruang bicara mengenai ayat pertama kerana ia amat berkait rapat pada khusyuk itu sendiri.


Ringkasnya, khusyuk itu adalah kelemah-lembutan hati, tenang dan tenteram. Jika hati khusyuk, khusyuklah anggota yang lain kerana semua anggota akan mengikut telunjuk raja ( hati ).

Rasulullah SAW bersabda : 
" Sesungguhnya di dalam tubuh (manusia) ada seketul daging,jika baik daging itu maka baiklah seluruh tubuhnya,dan jika rosak daging itu maka rosaklah seluruh tubuhnya dan ketahuilah bahawa dialah HATI."
(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)



Satu ucapan yang ada dalam doa iftitah ialah kalimah yang bermaksud : 

" Aku hadapkan wajahku kepada Allah yang menciptakan langit dan bumi dengan penuh kepasrahan ( mengikuti ) agama yang benar, dan aku bukanlah termasuk otang-orang yang musyrik. "  ( Al-an'am : 79 )


 Apakah yang dimaksudkan wajah kepadaNYA ? Adakah wajah manusia ? Benar .. Pada zahirnya wajah orang yang mendirikan solat dituntut mengahadap ke arah kiblat. Walaupun kalimah itu menggambarkan wajah orang yang mendirikan solat. Namun wajah di sini ialah wajah hati ( 1 )

Apabila seseorang itu mengaku bahawa ia menghadapkan wajah hatinya kepada Tuhan, timbulnya persoalan di sini apakah benar-benar ketika wajah hati dan tumpuan ingatannya kepada Pemilik Hati ? Mungkin ada masalah di mana hanya lidahnya saja menyebut ' Allahu akbar' sedang hati dan ingatannya membesarkan perkara yang lain. Perbuatan ini telah menjadikan mereka mensyirikkan Allah pada pembukaan solat. Meskipun pada awal niatnya ingin menyembah Dia, secara tidak langsung mereka memulakan dosa besar. Semoga kita dijauhkan. Perlulah berhati-hati.

Tetapi sekiranya dalam kehidupan harian, hati manusia terlalu dibebani dengan perkara yang menyebabkan ia lebih membesarkan tuntutan nafsu, natijahnya ia akan terbawa-bawa dan memberi kesan ke dalam solat, sehinggakan wajah hatinya sukar menghadap Allah. 


Oleh itu, semua pekerjaan harian di luar solat mestilah sesuatu pekerjaan yang ditadbir di bawah pengawasan syariat.  


Mengapa ? Hal ini demikian kerana pekerjaan serta merta benda yang diusahakan oleh seseorang adalah untuk menyelamatkan solatnya, bukannya menjadi batu penghalang dan gangguan pada hati serta ingatan ketika solat.

Namun, ramai dalam kalangan manusia kabur , apabila hendak solat saja baru hendak cuba mengingati dan menghadapkan wajah hatinya kepada Allah SWT. Sedangkan pekerjaan hariannya langsung tidak mempunyai robitah ( ikatan ) dari segi ketaatan kepada Allah SWT, tidak memikirkan hukum haram halal dan larangan syariat terhadap pekerjaan hariannya itu, hatta sekecil-kecil larangan. Jom muhasabah kegiatan harian kita. 

Kehidupan pasti mempengaruhi hati. Wajah hati tidak mungkin dapat difokuskan kepada Allah SWT kecuali semua perkara selain Allah disapu bersih dari hatinya sebelum solat. Jika kehidupan di luar solat dan keperluan selaras serta semuanya untuk Allah SWT belaka, sudah pasti tiada musykilah yang boleh mengganggu wajah hatinya menghadap kepada Tuhan Yang Maha Saksi.






Khusyuk dalam solat juga ada sebab-sebab tertentu : 


[ Sebelum ]

1) Suci pada badan, tempat dan pakaian. ( Termasuk menggunakan siwak ).

2) Memperbaiki wudhuk.
* Wudhuk sering tidak mendapat perhatian, padahal wudhuk adalah ibadah zikir yang merupakan kebersihan jiwa yang dimulai dari luar ( fizikal ) sampai ke dalam rohaninya. Kesempurnaan solat bergantung kepada kesempurnaan wudhuk.

Rasulullah SAW bersabda :


" Sesiapa yang memelihara baik-baik solat lima waktu dan menyempurnakan wudhuknya dan menjaga waktu-waktunya, maka hal itu akan menjadi cahaya, hujah dan bukti baginya pada hari kiamat " 
( Hadith Riwayat Muslim )

3) Rasulullah bersabda : " Bersihkan mulut-mulut kalian dengan Al-Quran "

4) Menutup aurat



[ Semasa ]

1) Tuma'ninah ( berhenti sebentar ) di dalam solat.

2) Mengingat kematian di dalam solat.

Rasulullah SAW bersabda : 
  
" Ingatlah kematian di dalam solatmu, sesungguhnya jika seseorang mengingat kematian di dalam solatnya, maka ia harus memperbaiki solatnya, solatlah seperti seseorang menganggap dirinya tidak akan menunaikan solat lagi setelahnya " 
( Hadith Riwayat Abu Daud )

3) Menjauhkan semua yang dapat menyibukkan anda di dalam solat.

Dalam hadits riwayat Baihaqi dan Muslim disebutkan bahwa Nabi SAW dalam solat
menundukkan kepalanya dan pandangannya tertuju ke tanah.


Rasulullah SAW bersabda :  ”Apabila kalian melakukan solat maka janganlah
menolah-noleh karena Allah akan menghadapkan wajahNya kepada wajah hambanya ketika solat selama ia tidak menolah-noleh
.” (HR Tirmidzi dan Hakim)


4) Menjauhkan semua yang dapat menyibukkan anda dalam solat.

Aisyah mempunyai kain bergambar untuk tirai, Rasulullah SAW sholat menghadapnya. Lalu
Rasulullah SAW bersabda
Jauhkanlah kain itu, sesungguhnya gambarnya mengganggu
sholatku
.” (HR Bukhari & Muslim)

 
5) Memilih tempat yang tidak terlalu panas.

Rasulullah SAW bersabda : " Apabila hari tersangat panas, maka tanggungkanlah solat kerana sesungguhnya kepanasan bersangatan itu termasuk dari bahang api Neraka Jahannam " ( HR Sahih Muslim, no.972 )



* Bukan maksud menangguhkan di sini adalah dengan menggabungkan 2 solat.
* Boleh juga cari inisiatif lain.



6) Memilih tempat yang jauh dari kebisingan dan kesibukan.
 
 Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:
"Sesungguhnya orang sedang sembahyang sedang munajat kepada Tuhannya maka hendaklah kamu perhatikan apakah yang dimunajatkannya dan janganlah kamu menguatkan suara dengan membaca al-Quran. ( HR Ahmad)

* Sila tukar telefon bimbit anda kepada mode senyap ketika orang sedang solat.
* Jangan bercakap, bersembang, membaca Al-Quran terlalu kuat bagi mengelakkan konsentrasi orang yang sedang solat terganggu.
 
7) Membaca dengan perlahan-lahan ( tidak terlalu laju ) dan mentadabbur ayatnya.

Dari firmanNYA :

" Kitab ( Al-Quran ) yang Kami turunkan kepadamu penuh berakah agar mereka menghayati ayat-ayatnya dan agar orang-orang yang berakal sihat mendapat pelajaran."
( Surah Sad : 29 )

8) Solat di hadapan tabir dan dekat dengannya. 

Rasulullah SAW bersabda :
" Jika seseorang dari kalian menunaikan solat ke tabir, maka dekatkanlah dengannya.. " 
(
Diriwayatkan oleh Sayyidina Sahal R.A ) 

Imam Nawawi ada berkata :
" Hikmah menunaikan solat di hadapan tabir adalah agar membatasi pandangan mata terhadap yang berada di hadapan mahupun di belakangnya, serta mencegah syaitan untuk menggoda dan mengganggu. " 


9) Melihat ke tempat sujud. 

Hadith Riwayat A'isyah, " Rasulullah SAW jika solat beliau menundukkan kepalanya dan melemparkan pandangannya ke tanah. "


Ada juga faktor yang lain. Contohnya pemakanan. Mestilah dari sumber yang halal ( boleh kita rujuk hadith 40 yang ke-10. Andai dari sumber yang haram. Bagaimana hendak beribadah dengan tenang sih..dan sempurna. 

Solat juga " personal contact " kita dengan Allah. 

(1) Tafsir Ar-Razi, jilid 13, m/s 57




 
Firman Allah dalam surah Al-Baqarah ayat 238 :
 
" Peliharalah semua solat dan solat wusthaa. Dan laksanakanlah ( solat ) kerana Allah dengan khusyuk . " 

 
PERJUANGAN DI MEDAN HATI
SYAITAN JUGA BERJUANG SEKALI
AYUH KEJUTKAN HATI !

MENJAGA SEKEPING HATI BUKAN MUDAH
IA MEMERLUKAN MUJAHADAH

SALAM MUJAHADAH BUAT SEMUA !

Semoga hati bertambah ikhlas..

نستغفر الله العظيم من كل ذنب عظيم و نتوب اليه 


 

No comments: