Thursday, May 17, 2012

CERPEN : KEAJAIBAN HATI ( 1 )



Sahabat, kita pasti kembali bersatu. 
Kematian bukan pengakhiran kepada suatu ikatan persahabatan.  
Sahabat, moga kasihku padamu terus setia kerana aku tahu kita berkongsi Kasih Dia yang SATU..


    " Pak cik boleh pandu lebih laju lagi? Saya ada temujanji ni, takut tiba lewat pula nanti ." Pinta Khaulah kepada pemandu teksi yang berusia lingkungan 40-an itu. Seakan-akan dia ingin memintas waktu bagi memenuhi temujanji bersama sahabatnya.

Dia tergesa-gesa.

" Assalamualaikum mak cik, maafkan saya kerana menghalang perjalanan. Mengapa jalan ini di tutup dan orang ramai bersesak-sesak di hadapan sana ye ? " Dia kehairanan.

" Waalaikumussalam. Oh, ada runtuhan bangunan. Highland Towers telah sujud ke bumi." Balas mak cik yang ingin meneruskan perjalanan.

Khaulah terus mencari sahabatnya di tempat yang dijanjikan.

Rasa cemas terpancar di wajahnya.

Sekujur tubuh berwajah pucat yang kaku diangkat atas pengusung menghampiri Khaulah seolah-olah menyambut ketibaannya.

" Berhenti! Tunggu, nanti dulu. " Dia menjerit perlahan ketika usungan itu hendak di masukkan ke dalam ambulans.

Didakapnya seerat mungkin sambil air mata kerinduan mengalir deras.

" Ya Allah ! Qalbi ! Sahabat, maafkan aku. Bangunlah. Janganlah terus membisu. Qalbi.." Khaulah terus merangkul tubuh sahabatnya sambil manangis teresak-esak. Qalbi yang sentiasa menjadi peneman setia sewaktu dirinya sukar dan senang sudah tiada lagi.

Wajah ceria Qalbi yang sentiasa tersenyum kini tinggal dalam bayangan. Hanya kasih yang terpatri bersama kebaikan budi tetap kekal di dalam hati.

Pada hari saat Khaulah terbangun, dia benar-benar terlupa dengan SMS itu. Dia sibuk menyiapkan assignment. SMS itu baru dia baca lewat tengah hari, itu pun setelah assignmentnya selesai. Dia benar-benar menyesal kerananya !

" Demi masa. Sesungguhnya manusia berada dalam kerugian, kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan kebajikan serta berpesan-pesan kepada kebenaran dan saling menasihati dengan kesabaran
( Surah Al-Asr : 1-3 )

" Khaulah, jangan lupa temujanji kita di Highland Towers tepat jam 5 petang. Saya berharap sangat kita dapat bertemu sebelum saya berangkat jauh dari negeri kelahiran. Jangan lewat walau seminit ye - Sahabatmu Qalbi ."

Begitu bunyi SMS dari Qalbi. Dia sangat berpegang pada ketepatan waktu. Sesiapa yang melewati waktu perjanjian tidak harus dinanti. Kebiasaannya, orang yang hadir lewat menghadiri temujanji bagai dihargai sebaliknya orang yang tiba awal dihukum pula. Mungkinlah orang yang tiba awal itu telah membatalkan temujanji dengan orang lain semata-mata ingin memenuhi temujanji bersama kita.

Tidak hairanlah dengan petua kontroversinya itu Qalbi berjaya melanjutkan pelajaran ke Australia. Namun telah ditakdirkan dia harus pergi ke tempat yang lebih jauh di mana dia tidak mungkin kembali lagi di dunia.

“ Pada hari kiamat ,sudah tidak berguna lagi harta benda,anak-anak kecuali orang yang datang menghadap Allah dengan hati yang sejahtera.”
( Surah As-Syura,ayat 88-89 )

Walaupun Qalbi lebih jauh dari dulu, Khaulah semakin rapat dengan ahli keluarga Qalbi. Tidak pernah dia melupakan jasa mereka sewaktu dia sekeluarga kehilangan tempat berteduh dek kerana hangus dijilat api.



***


Duhai Bintang,
tanpamu di langit terbentang,
tak indah bila malam datang,
sepi berlalu tanpamu,
langit terlalu luas,
bagi helang seperti aku...


Kisahnya bersama Qalbi sudah lama berlalu, dia tidak pernah menutup ruang persahabatan dengan sesiapa. Tempat untuk insan bergelar sahabat duduk di hatinya tidak dihadkan. Sekiranya ada insan yang dapat mengganti Qalbi, dia pasti akan lebih setia..lebih setia pada janji.

Khaulah menyambung pengajiannya dalam bidang kejuruteraan di Universiti Putra Malaysia ( UPM ). Tanpa disengajakan di asrama, dia sebilik dengan mahasiswi Cina berwajah putih gebu.

Pada mulanya, Karen memang seorang yang keras kepala. Suka berfoya-foya bila waktu malam tiba. Sering mengajak rakan-rakannya melepak di bilik mereka. Tapi, tujuan mereka bukan untuk membincangkan hal pelajaran sebaliknya sengaja ingin mengganggu ketenteraman Khaulah. 

Mereka tidak menyukai muslimah sepertinya. Tiap kali Khaulah ingin membaca Al-Quran, ketika itulah Karen menguatkan suara lagu di laptopnya. Langsung tiada hormat.

Namun, semua perlakuan rakan sebiliknya itu tidak sedikit pun mengundang kemarahan dan menggugat aktiviti ibadahnya setiap waktu. Sebaliknya akhlak yang ditonjolkan Khaulah selama beberapa bulan telah menawan hati Karen.

" Hei perempuan! Baca buku ke, nak menyanyi ke, boleh perlahan sikit tak ? Mengapa kau tak nak berambus dari bilik ini hah?! Tak serik lagi ke apa yang aku lakukan semuanya pada kau? Tak pernah pula kau marah padaku. " Bentak Karen.

Terhenti bacaan Al-Quran Khaulah. Dia menoleh sabar.

" Mengapa saya perlu memarahi awak? Dan mengapa pula saya ingin keluar dari bilik ini? Bukan ada haiwan buas ingin membaham saya. Lagi pun saya berasa begitu selesa di sini." Jawabnya ringkas dengan senyuman manis terukir di bibirnya.

" Islam tidak pernah mengajar bertindak keras sesama makhluk termasuklah golongan orang bukan Islam seperti awak. Malah harus menghormati agama yang mereka anuti. Selagi tiada kemudaratan pada maruah agama dan diri." Tambahnya dengan suara yang lembut dan sopan.

" Nah, sudilah ambil. Coklat ini buat awak, juga sebagai rakan bilik saya dan teman-teman awak tu, tetamu bilik 'kita' juga.. " Hulur Khaulah sambil tersenyum.

Karen terpana sebentar. Terus dia mendiamkan diri serta beransur keluar dari bilik.

" Dong ! " Pintu ditutup kuat.

" Haha. Setakat coklat, aku ada banyak la. Semua sama je. Tak payah tunjuk baik sangatlah. 
Muslimah konon! " Kedengaran dari luar tingkap suara Karen.


Sabda Rasulullah SAW , mafhumnya :
" Sesungguhnya dalam diri manusia itu ada seketul daging. Apabila daging itu baik, maka baiklah seluruh anggota, dan apabila daging itu rosak, maka rosaklah seluruh anggota. Ketahuilah, itulah hati."
( Hadith direkodkan oleh Imam Bukhari dan Muslim )


 ***
bersambung..




I 2 Zulkaedah 1431H I
I 10 Oktober 2010 I
I Plaza Home, Irbid I



No comments: